09 August 2009

Kenangan Lalu (2002 - 2007) III : MANUSIA DAN MATI

MATI….satu kalimah yang begitu menggerunkan bagi mereka yang belum bersedia, walau bagaimanapun ianya tidak dapat dipisahkan, rapatnya ia dengan manusia bagaikan aur dengan tebing, tetapi kenapa kewujudannya seakan-akan dilupakan, ada golongan yang ingat akan mati tetapi mereka masih boleh bergelak ketawa secara berlebihan, sedangkan Rasulullah adalah seorang yang sedikit ketawa dan banyak sedihnya. Sedih Rasulullah boleh dilihat ketika baginda duduk berseorangan kerana mengingatkan mati dan azab selepasnya, itu Rasulullah yang terpelihara dari dosa, bagaimana dengan mereka yang selain dari Rasulullah yang tidak terlepas dari dosa ini, ada juga golongan yang sentiasa menyatakan bahawa “aku selalu ingat mati”, tetapi mereka masih boleh membuang masa dengan pelbagai perkara yang tidak berfaedah. Kadang-kadang perbuatan sedemikian seperti tidak mempercayai adanya hari pembalasan, sedangkan kematian itu merupakan satu perkara yang pasti dan semakin hampir kepada diri manusia.


Kalau seseorang itu menghadapi peperiksaan dalam masa sebulan lagi atau 2 minggu, tentu masing-masing akan membuat persediaan dari pelbagai sudut samada dengan menyusun jadual belajar yang ketat dan sanggup berjaga untuk memastikan mereka berjaya menjawab persoalan yang bakal ditanya, dan mereka yakin suka atau tidak peperiksaan tetap dihadapi, kalau mereka ini membuat persediaan untuk menghadapi kematian seperti persediaan untuk menempuh peperiksaaan atau lebih lagi, dengan melaksanakan segala yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang, tentu mereka ini akan bergembira menghadapi hari-hari yang mendatang. Dan perlu diingat golongan yang paling cerdik bukannya golongan yang berjaya dalam peperiksaan semata-mata tetapi adalah golongan yang paling banyak mengingati mati dan paling banyak membuat persediaan untuk ke sana. Kerana kematian adalah suatu perkara yang pasti datang.


Menyebut tentang kematian, terfikirkah sahabat semua, apa jasa yang akan ditinggalkan untuk ISLAM selepas kematian nanti. Rasulullah telah meninggalkan kepada umatnya satu agama yang syumul serta para sahabat yang diibaratkan sebagai bintang yang boleh menyebarkan Islam sehingga sampai ke generasi ini, panglima Salahuddin Al-Ayubi telah berjaya mengepalai tentera Islam untuk membebaskan Baitul Maqdis yang telah ditawan oleh tentera Salib hampir seratus tahun sebelum kematian, Assyahid Abdullah Azzam telah berjaya menyatukan para mujahidin di Afghanistan sebelum kematiannya sehingga menggerunkan musuh-musuh Islam sehingga mereka terpaksa merancang untuk menghapuskan beliau. Imam Nawawi meninggalkan harta pusaka untuk tatapan kalian walaupun umurnya singkat tapi manfaat digunakan sepanjang zaman itu adalah contoh-contoh yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu untuk Islam dan ianya menjadi satu sebutan sampai ke generasi hari ini dan akan datang. Bagaimana dengan kita? Apa jasa yang bakal ditinggalkan, adakah seseorang itu telah berjaya merubah sahabatnya yang dulunya meninggalkan kewajipan agama kepada pemuda yang cintakan kematian? Atau dapat membimbing sahabatnya untuk merealisasikan ilmu yang dipelajari? Ataupun hanya berjaya menjadi teman segelak ketawa bersama mereka dek melihat filem-filem yang mencuit hati.


Ingatlah sahabatku, bukanlah dikira mengingati kematian dengan hanya berzikir sehingga mengeluarkan air mata semata-mata tanpa menghiraukan masyarakat sekeliling yang begitu teruk bahkan golongan inilah yang pertama di azab oleh Allah kerana telah meninggalkan perkara yang penting dalam Islam iaitu amar ma'ruf nahi mungkar. Golongan Yahudi yang disumpah menjadi beruk bukan hanya mereka yang bekerja pada hari sabtu sahaja bahkan golongan yang melihat tetapi tidak mencegahpun disumpah menjadi beruk. Kerana itulah Abdullah bin Mubarak pernah menasihati Fudhail bin ‘Iyadh; Imamul Haramain. Sehingga Fudail bin Iyadh menitiskan air mata dan terus bersama-sama dengan Abdullah bin Mubarak untuk sama-sama berjuang sehingga menitiskan darah yang terakhir. Golongan inilah yang ingin dilahirkan dalam generasi kini. Inilah dia golongan yang sentiasa menanti dan mendambakan kematian mereka.


Sahabatku, marilah sama-sama membuat perubahan dan bersatu dalam menghadapi masyarakat yang semakin lama semakin leka dengan hiburan yang telah dirancang oleh golongan musuh untuk melekakan umat Islam kerana mereka begitu bimbang lahirnya golongan seperti tentera Salahuddin, atau tentera Muhammad Al-fateh yang begitu cintakan mati sehingga berjaya membuka kota Kostantinapel, dan berjayanya Salahuddin menbina sebuah kilang yang melahirkan singa-singa Allah yang menggegarkan dunia yang penuh kepasadatan sehingga kuffar terus melutut dengan dustur yang dibawa olehnya.. marilah bersama-sama membina satu generasi yang bakal menggegarkan musuh-musuh Islam akhir zaman ini kerana kalau bukan kita siapa lagi ???.


Wassalam.


(Artikel ini untuk ITQAN bil 20, bulan 3 2005)


www.attakiri.blogspot.com


Bekerja Untuk ISLAM...

No comments: