28 February 2011

PRK Kerdau : memang wajar bukan Ustaz

Walaupun agak terlambat untuk membuat telahan tentang calon. Tetapi penulis cuba melontarkan sedikit pandangan tentang kepentingan PAS tidak menonjolkan calon dari kalangan Ustaz untuk melawan calon UMNO dalam Pilihanraya Kecil (PRK)N26 Kerdau kali ini.

Pilihanraya Kecil merupakan satu pilihanraya yang menjadi tumpuan satu negara. Mungkin penumpuan kali ini agak terbelah bahagi ekoran berlaku dua PRK serentak iaitu di Kerdau, Pahang dan Merlimau, Melaka.

Dalam Berita RTM hari ini, tiba-tiba media memaparkan kenyataan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man tentang kewajaran PAS tidak meletakkan calon berkelulusan agama. Daripada telahan tersebut, muncul idea untuk mengemaskinikan blog hari ini. (Terima kasih Ust. Tuan :D).

Apabila UMNO mengumumkan Ustaz Syed Ibrahim sebagai calon UMNO, terus terlintas di benak penulis, mungkin kali ini PAS akan menurunkan Ustaz Tuan Ibrahim sebagai regu. Ternyata telahan tersebut tersasar, selepas PAS mengumumkan Hassanuddin Salim sebagai calon.

Selepas direnungi, bagi penulis, strategi ini agak tepat untuk pertembungan dalam PRK di Kerdau.

Kalau PAS mencalonkan calon yang berkelulusan agama seperti UMNO dalam PRK kali ini, Nescaya akan berlaku pertembungan antara dua calon agamawan dalam parti yang saling bertentangan dari sudut dasar perjuangan.

Semestinya akan menimbulkan fitnah kepada masyarakat Islam apabila melihat berlaku pertembungan sebegini.

Walaupun PAS mempunyai jawapan konkrit terhadap persoalan ini, tetapi dalam suasana media yang tidak memihak akan menyukarkan PAS untuk menyebarkan jawapan terhadap masyarakat lagi. Di tambah lagi dalam keadaan pimpinan UMNO begitu berani mengeluarkan kenyataan tentang Islam dan disiarkan oleh media arus perdana.

Kesimpulannya masyarakat akan bertambah pening hasil daripada UMNO yang sentiasa memandai-mandai mengeluarkan pandangan agama dalam keadaan jahil agama.

Oleh itu, calon bukan kelulusan agama lebih sesuai dan terbaik dalam menghadapi PRK ini.

www.attakiri.blogspot.com

...Bekerja Untuk Islam...

27 February 2011

Ikhwanul Muslimin Pengganas?

Sebelum ini, rakyat Malaysia dimaklumkan tentang kedangkalan PM One Malaysia yang menuduh ikhwanul Muslimin dan Imam Al-Qaradhawi terlibat dalam keganasan dan ektrimis. Kenyataan tersebut telah dibidas oleh Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Presiden, Timbalan Presiden.

Kenyataan pimpinan tertinggi ini memperlihatkan bahawa PAS sebagai sebuah gerakan Islam sentiasa akan membela rakan seperjuangan yang lain daripada fitnah mereka yang tidak memahami Islam secara menyeluruh.

Hari ini, kebetulan Penulis menonton rancangan dalam chanel History yang menceritakan tentang latar belakang Ikhwanul Muslimin. Sejarah yang dipaparkan banyak mendedahkan bagaimana kegiatan ikhwanul Muslimin dalam melahirkan pengganas yang bangkit menentang pemerintah. Runtuhnya Menara WTC, New York adalah punca daripada kesan perekrutan ikhwanul Muslimin kepada ahlinya semenjak daripada tahun 1948 lagi. Dakwanya lagi, antara buku yang mengajar ahli ikhwanul muslimin menjadi pengganas adalah buku karangan Syed Qutb iaitu "Petunjuk Sepanjang Jalan".

Ikhwanul Muslimin juga dianggap sebagai sebuah gerakan yang gilakan kuasa untuk memerintah mesir.!

Ini antara dakwaan barat yang mengkin menjadi rujukan Perdana Menteri One Malaysia. Berbetulan pula, PM One Malaysia telah menggunakan perkhidmatan APCO World Wide sebagai penasihat.

Mungkin kalungan bunga kepada kubur Mustafa Kamal Attaturk (laknatullah) ini pun hasil daripada nasihat syarikat tersebut, waallahua'lam.

Ikhwanul Muslimin merupakan antara gerakan Islam yang pertama yang mempunyai agenda tarbiyyah yang tersusun selepas jatuhnya Khilafah Islam pada tahun 1924.

Gerakan yang dipelopori oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna telah berjaya menarik ratusan ribu umat Islam untuk sama-sama berjihad mengembalikan khilafah Islamiyyah yang telah gugur.

Di sinilah bermula kebencian barat kepada Ulamak Islam yang menceburkan diri dalam perjuangan. Al-Imam Hassan Al-Banna telah dibunuh dalam usaha yang terancang.

Hari ini, Imam Yusuf Al-Qaradhawi mula dikecam kerana dikatakan terlibat dalam usaha menjatuhkan Husni Mubarak melalui kenyataan beliau dalam Al-Jazeera.

Tuan Guru Presiden PAS pun pernah dituduh pengganas oleh media barat sehingga pernah dituduh sebagai orang dua dalam Al-Qaedah.

PAS seperti Ikhwanul Muslimin sebagai sebuah Gerakan Islam yang ditubuhkan untuk mengembalikan pemerintahan yang berteraskan kepada Al-Quran dan Sunnah.

Mengeluarkan kenyataan Ikhwanul Muslimin pengganas seakan sama mengeluarkan kenyataan seperti PAS juga pengganas.

Adakah dikira satu keganasan apabila sebuah pertubuhan terlibat dalam menjatuhkan pemerintah yang membunuh rakyatnya sendiri.?

Adakah dikira satu keganasan apabila sebuah pertubuhan terlibat dalam menjatuhkan pemimpin yang menghak milikkan harta rakyat.?

Adakah dikira satu keganasa apabila sebuah pertubuhan terlibat dalam menjatuhkan pemimpin yang mengongkong suara rakyat.?

Ikhwanul Muslimin hanya mempertahankan hak rakyat yang dijamin oleh Islam. jadi mana ganasnya.?

Penulis bukan pengkagum ikhwanul Muslimin (dalam konteks sekarang) tetapi tuduhan ikhwanul muslimin pengganas adalah tuduhan yang paling tidak boleh diterima...

bertaubatlah PM One Malaysia. Berusahalah untuk memahami Islam.

www.attakiri.blogspot.com

...Bekerja Untuk Islam..

24 February 2011

Kebangkitan ....Peluang gerakan Islam (PAS)

Tahun 2011 boleh dikatakan sebagai tahun kebangkitan. Bermula daripada Tunisia yang telah berjaya menjatuhkan Ben Ali. Kemudian berjangkit ke Perlembahan Nil sehingga Husni Mubarak terpaksa akur dengan kehendak rakyat.

Hari ini kebangkitan itu mula merebak ke Libya yang menyaksikan beratus nyawa terkorban dek kesombongan Muammar Ghadafi yang masih merasakan diri mendapat sokongan rakyat. Yaman, Bahrain dan Maghribi kelihatan cuba untuk meneruskan kebangkitan, tetapi masih di peringkat permulaan.

Tunisia menyaksikan bagaimana Prof. Rashid Al-Ghonusi disambut hampir 30,000 oleh rakyatnya selepas beliau di ancam oleh kerajaan Tunisia di bawah pimpinan Ben Ali puluhan tahun. Mesir menyaksikan bagaimana Imam Yusuf Al-Qaradawi disambut puluhan ribu rakyat Mesir di dataran Tahrir selepas beliau dinafikan hak untuk berada di Mesir puluhan tahun.

Libya menyaksikan bagaimana Imam Al-Qaradawi mengeluarkan pandangan supaya Muammar Ghadafi dibunuh kerana kezaliman pemimpin ini untuk terus bertahan dan sanggup membunuh rakyatnya sendiri.

Ini menandakan bahawa pentingnya peranan Ulamak dalam menerus dan membangkitkan semangat rakyat supaya menentang pemimpin dan kerajaan yang zalim. inilah yang ditakuti oleh golongan anti Islam apabila Ulamak mula mengambil peranan dalam mengobarkan semangat jihad.

PAS telah mula melibatkan Ulamak dari awal penubuhannya lagi sehingga sekarang dalam memastikan Malaysia melaksanakan pemerintahan yang berteraskan kepada Al-Quran dan Sunnah. Ini juga menunjukkan pentingnya Ulamak berpolitik dalam jalur Islam dan bukannya terikut dengan budaya politik barat yang menghalalkan cara demi untuk mencapai matlamat.

Bekas Presiden Mesir, Husni Mubarak pernah menyebut kepada umum bahawa kalau dia dijatuhkan, Ikhwanul Muslimin pasti akan mengambil alih pemerintahan dan akan mendirikan negara Islam. Begitu juga dengan Muammar Ghadafi pernah menyebut perkara yang sama. Penulis tidak pasti apa motif sebenar daripada ucapan sebegini. Mungkin pemimpin zalim ini ingin memberi amaran kepada barat supaya jangan menyokong kebangkitan ini.

Imam Qaradhawi pernah menyebut dalam khutbahnya di Dataran Tahrir bahawa rakyat Mesir jangan benarkan kepimpinan diatur oleh Barat dan Amerika. Kepimpinan mesir yang baru mesti diatur oleh rakyatnya sendiri. Penulis bersetuju dengan pandangan sebegini. Kalau dibiarkan barat dan Amerika yang mengatur, Jelmaan Husni Mubarak pasti akan muncul kembali.

Ramai orang menyebut, PAS perlu ambil pengiktibaran daripada strategi Ikhwanul Muslimin di Mesir yang tidak mewar-warkan kewujudan negara Islam dan menonjolkan Al-Baradei sebagai pemimpin untuk mengelirukan barat.

Bagi penulis, terlalu awal bagi PAS untuk meniru strategi Ikhwanul Muslimin ini. Bahkan Ikhwanul Muslimin baru sahaja menubuhkan parti politik. semestinya sepak terajang dalam berpolitik masih belum dirasai sebagaimana PAS pernah rasai apabila memasuki pilihanraya.

Kejayaan strategi Ikhwan masih belum dilihat lagi. Ini terbukti dalam kabinet sementara Mesir yang tidak melibatkan langsung anggota Ikhwan sebagai pengisi kemenangan dalam kabinet ini. Ikhwanul Muslimin pernah tertipu ketika bersama dengan Jamal Abdul Naser. adakah Ikhwanul Muslimin akan tertipu buat kali kedua.? ini belum pasti.

Isu sebegini juga sedang berlaku di Tunisia dan Libya. Adakah tokoh gerakan Islam rela membenarkan kepimpinan Islam di ambil oleh mereka berfikiran barat untuk kali kedua.?

Kebangkitan yang berlaku ini memberi peluang kepada PAS untuk melihat keberhasilkan setiap strategi gerakan Islam diseluruh dunia dalam mengisi kemenangan selepas revolusi. sekurang-kurangnya PAS pernah mempunyai pengalaman berdepan dengan sepak terajang sistem demokrasi yang tempang. PAS juga perpengalaman dalam merasai pembuangan daripada kerajaan campuran. PAS juga berpengalaman dalam mentadbir kerajaan.

Mungkin pengalaman-pengalaman ini perlu di ambil oleh ikhwanul Muslimin untuk memastikan gerakan Islam tidak diketepikan dalam mengisi kemenangan yang ada. Contohilah ketegasan Presiden PAS pasca PRU12 yang pernah mengingatkan rakan pakatan supaya tidak mengetepikan PAS dalam isu pentadbiran negeri yang dimenangi.

Jangan biarkan gerakan Islam hanya diguna pakai ketika menjatuhkan pemimpin zalim dan ditinggalkan selepas mendapat kemenangan.

Oleh itu, gunakan peluang daripada kebangkitan yang berlaku untuk membuka medan perbincangan antara gerakan-gerakan Islam seluruh dunia untuk merangka strategi bagaimana untuk mengisi kemenangan dengan panduan daripada Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Jangan benarkan barat yang mengatur kepimpinan ini.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

22 February 2011

Cinta keadilan satu fitrah

Hari ini Libya terus menerus bergolak. Terkini Imam Qaradhawi mengeluarkan kenyataan supaya Mummar Ghadafi oleh rakyatnya yang mampu berbuat demikian. Sebelum ini, Ben Ali dan Husni Mubarak telah meletak jawatan hasil desakan rakyat yang bencikan kezaliman.

Hari ini juga, Yaman dan Bahrain terus menerus bergolak. Selepas ini tidak pasti, negara manakah yang akan terus bergolak.

Mesir merupakan negara yang cukup menindas rakyatnya. Kediktatoran Husni Mubarak disangka mampu menghasilkan kegerunan tetapi yang terjadi adalah sebaliknya. Rakyat mempunyai kuasa keramat yang tidak dapat disangkal lagi.

Di sini terletaknya keadilan dan keindahan Islam. Islam semenjak dari awal meletakkan persetujuan rakyat sebagai asas untuk meneraju pemerintahan. walaupun pemimpin dipilih secara persetujuan mesyuarat. Keputusan tersebut akan diumumkan kepada rakyat untuk mendapat persetujuan atau yang dinamakan sebagai "bai'ah".

Perlantikan Saidina Abu Bakar dibuat dalam Mesyuarat di tempat Bani Sa'adah. Pada keesokan harinya diumumkan kepada rakyat Madinah untuk mendapat persetujuan. Semua rakyat memberikan bai'ah. Saidina Ali antara sahabat yang terawal memberikan bai'ah. Begitu juga dengan perlantikan 3 khulafa' Ar-Rasyidin yang lain. Kesemuanya akan mendapatkan bai'ah daripada rakyatnya sendiri.

Ini menandakan bahawa sokongan rakyat penting dalam meneruskan pemerintahan. Saidina Umar pernah menurunkan seorang gabenor yang sudah tidak mendapat sokongan rakyat. penurunan dilakukan bukan kerana kesalahan memilikperibadikan harta negara mahupun rasuah. Cuma kerana rakyat sudah tidak mahukannya lagi. Ketika itu, Saidina menurunkan supaya tidak berlaku fitnah yang lebih besar lagi.

Kejatuhan Rom dan Parsi pada zaman Amirul Mu'minin Umar Al-Khattab didalangi oleh pemberontahkan rakyat dalam kedua-duaa negara. Bahkan rakyat Rom dan Parsi begitu gembira apabila mendengar kedatangan tentera Islam untuk membuka negara mereka. Ini kerana rakyat kedua-dua buah negara telah mendengar khabar berkenaan dengan keadilan negara yang diperintah berasaskan Islam yang dipandu oleh Al-Quran dan Sunnah.

Inilah antara punca jatuhnya Empayar Rom dan Parsi ke tangan Umat Islam. walaupun ketika itu, Kedua-dua negara ini dianggap sebagai USA pada zaman sekarang.

Tuan Guru Presiden PAS pernah menyebut bahawa kalau umat Islam mengkaji kitab Feqh Politik Islam pasti akan mendapati bahawa sistem demokrasi berasal dari Islam. Namun bukan semua perkara perlu diserahkan kepada rakyat. Perkara yang telah menjadi digazetkan Al-Quran tidak boleh diperbahaskan dari sudut relevan atau tidak. perkara demikian perlu dibahaskan dari sudut macam mana perlaksanaannya dalam konteks semasa.

Manakala cara pemilihan pemimpin mesti diserahkan kepada rakyat tetapi mesti melalui kriteria-kriteria yang telah telah diperjelaskan oleh Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.

Keadilah merupakan fitrah manusia. apabilan pemimpin melakukan kezaliman samada terang-terangan atau tersembunyi. Lambat laun pasti akan dijatuhkan oleh rakyat. Mungkin kini pemimpin tersebut berada di puncak kuasa. Mungkin kini pemimpin tersebut telah bersara. tetapi kezalimannya akan terbongkar suatu masa nanti samada pemimpin tersebut sempat melihatnya atau pun tidak. Yang penting namanya kekal sebagai seorang pemimpin zalim dalam lipatan sejarah.

Ingat...Semua kerajaan tidak akan kekal.

www.attakiri.blogspot.com

...Bekerja Untuk Islam...

16 February 2011

Hentikan polemik..selesaikan krisis ini..

2 - 3 minggu lepas, penulis telah mengikuti semacam perbahasan dan tuduhan antara 2 tokoh ulamak pelapis iaitu antara Ust. Wan Ji Wan Hussin dan Ust. Zaharuddin Muhammad. Perbahasan yang bermula dengan tuduhan daripada Us. Wan Ji dan balasan jawapan daripada Us. Zaharudin melalui blog masing-masing. ( maklumat perbahasan boleh lihat dalam link ini, ini, dan ini. Manakala jawapan balas ust. Zaharuddin boleh dilihat di sini.)

Akhirnya atas inisiatif Ust. Zaharuddin dan Surau Al-Azhar yang ingin menghentikan perbalahan dalam blog yang tidak berkesudahan, dianjurkan muzakarah atau debat antara Ust. Zaharuddin dan Ust. Wan Ji di Surau Al-Azhar pada 1 Februari 2011. Penulis juga difahamkan bahawa Us. Wan Ji sudah dimaklumkan 1 minggu atau 2 minggu lebih awal tentang program muzakarah ini yang boleh dilihat daripada jawapan dalam blog beliau.

Penulis berpandangan ini antara jalan yang terbaik bagi menyelesaikan segala perbahasan tanpa menimbulkan sebarang prejudis secara terang-terangan dalam blog sehingga menimbulkan buruk sangka antara pembaca terhadap kedua-dua tokoh ini.

Tanggal 1 Februari 2011, program yang dirancang tidak menjadi kenyataan. Ketidak hadiran Ust. Wan Ji dalam Program (rujuk sini) tersebut agak mengecewakan ramai pihak. Akhirnya program tersebut bertukar menjadi kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ust. Zaharuddin Mohammad. Oleh itu, segala tuduhan yang dilemparkan kepada Ust. Zaharuddin tidak dapat dijawab secara rasmi dan direct pada malam tersebut.

Keadaan ini cukup mengecewakan penulis dan beberapa rakan-rakan yang lain. Kenapa pendakwa tidak berani untuk mendakwa secara berdepan. Kalau tidak berani secara berdepan, kenapa tuduhan dilemparkan secara online.? benarkah Islam mengajar begini? Sejak bila Islam membenarkan tuduhan dilemparkan secara semberono tanpa mengemukakan bukti yang kukuh.? Di mana Akhlak Ulamak dalam perkara ini.?

Penulis menjangkakan isu ini selesai sebegitu sahaja selepas muzakarah ditiadakan ekoran ketidak hadiran salah seorang ahli muzakarah. Oleh itu, konklusi mudah yang dapat dibuat ialah tuduhan pendakwa hanya rekaan semata-mata tanpa bukti.

Tiba-tiba pada 12 Februari, penulis terbaca 2 catatan dari Ust. Wan Ji. Pertama dari Blog (rujuk di sini) yang mengumumkan tentang wacana bersama dengan Ust.Zaharuddin Mohammad bagi berbincang isu yang bertajuk : Kepimpinan Jemaah ; sejauh mana boleh dikritik mengikut Islam. Kedua dari facebook ( rujuk di sini ) yang seolah-olah memperlihatkan yang ketidak hadiran Us. Zaharuddin membuktikan tuduhan yang dilemparkan sebelum ini adalah benar.

Selepas membaca kedua-dua catatan ini. Penulis agak terkejut kerana setahu penulis, Ust Zaharuddin yang penulis kenali bukan bersikap lempar batu sembunyi tangan. Oleh itu, penulis terus menelefon Us. Zaharuddin bagi bertanyakan tentang alasan ketidakhadiran dalam wacanan tersebut. Antara jawapan Ust. Zaharudin ialah beliau tidak dimaklumkan tentang program wacana itu berlaku samada tarikh, tempat dan tajuk. Bahkan wacana itu dipostingkan dalan blog Ust. Wan Ji pada 11 februari, jam 10 18 malam, kurang 24 jam daripada tarikh wacana! .

Ust.Zaharuddin juga menyebut, jika betul ada jemputan, Us. Wan Ji perlu perjelaskan siapa yang menjemput, bila jemputan dibuat. kalau menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), sila buktikan bila dan isi kandungan SMS yang di hantar kepada Ust.Zaharuddin.

Penulis bersetuju dengan saranan ini dan berharap Us. Wan Ji boleh membuktikan perkara ini supaya tidak timbul pengfitnahan kedua daripada berlaku.

Untuk menyelesaikan secara baik isu ini supaya tidak berpanjangan selepas 2 wacana terbatal begitu sahaja. Penulis dan beberapa sahabat lain atas nama Alumni Lepasan Syria (ALUSY) zon tengah bersedia menjadi penganjur untuk Muzakarah ini supaya dapat direalisasikan. Muzakarah ini, kami cadangan supaya diadakan di Bandar Baru Bangi, Selangor yang dikenali sebagai Bandar Ilmu.

Tujuan muzakarah ini adalah bagi menyelesaikan sebarang konflik dan tuduhan yang timbul antara kedua-dua belah pihak. Bahkan dapat menghuraikan segala kekusutan dan sangka buruk yang timbul daripada kalangan masyarakat khususnya mahasiswa ekoran perbahasan yang tidak berkesudahan secara online ini.

Harap kedua belah pihak bersetuju terhadap cadangan kami ini bagi menyelesaikan segala isu dan permasalahan yang timbul.

Sesungguhkan kami tidak inginkan kecuali kebaikan.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam.