27 August 2009

Cinta Ramadhan 10 : Kemenangan Satu Anugerah

Pertamanya, tahniah kepada PAS dan PAKATAN atas rezeki kemenangan yang telah diberikan oleh Allah SWT. Harapnya segala janji yang ditabur dapat ditunaikan kepada rakyat Permatang Pasir. Ahli Politik Islam tidak akan menipu dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah.

Ramadhan merupakan Bulan kemenangan untuk Umat Islam. Pada bulan ini, syaitan telah dibelenggu untuk membebaskan perhambaan manusia kepada perkara kebatilan. Amat rugilah bagi umat Islam yang terus menerus melakukan perkara kemaksiatan pada bulan ini.

Kemenangan dalam Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan ramadhan ini merupakan antara salah satu tanda kebenaran perjuangan Nabi SAW. Ketika itu memperlihatkan kepada umat Islam bahawa pertembungan yang berlaku bukan pertembungan yang berkepentingan peribadi. Tetapi lebih kepada pertembungan antara aqidah dan pegangan.

Kaum Musyrikin yang terus menerus berkeras dengan pegangan penyembahan berhala sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan umat Islam yang mengakui keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Dengan mengabungkan elemen ukhrawi (doa) dan duniwi (usaha), akhirnya umat Islam diberi kemenangan dalam peperangan tersebut. Memang sesuatu perkara diluar jangkaan manusia biasa. Tetapi sejarah Islam telah membuktikan perkara tersebut.

Bulan ramadhan juga menyaksikan peristiwa kemenangan dengan berlakunya berlakunya penurunan Al-Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia secara sekaligus.

Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Rasulullah SAW yang berkekalan sehingga hari kiamat. Mukjizat ini merupakan antara tanda kebenaran kerasulan Nabi dan sebagai panduan untuk umat Islam dan manusia sehingga akhir zaman.

Sesiapa yang berpegang dan mengamalkan ajaran Al-Quran nescaya ia telah mendapat kemenangan kerana berjaya mengalahkan kebatilan walaupun pada zahirnya mereka berdepan dengan pelbagai kesusahan

Sesiapa yang meninggalkan Al-Quran necaya ia telah mengalami kerugian yang besar walaupun pada zahirnya mereka berada dalam kesenangan yang sedang menipu.

Pengambilan hidayah Al-Quran bukan dengan membacanya semata-mata, tetapi lebih dengan memahami penafsirannya. Oleh itu, umat Islam perlu menjadikan antara agenda hidupnya ialah memahami Al-Quran dan Hadis SAW.

Tingkatkan kefahaman terhadap Islam merupakan salah satu dari perancangan peribadi yang perlu diletakkan target tertentu. Jangan hanya perancangan kewangan, pekerjaan dan pelajaran biasa sahaja di jadikan agenda dan diletakkan target.

Kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah bukan untuk dipersia-siakan. Tetapi untuk dimanfaatkan.

Selepas Rasulullah berjaya dalam peperangan badar, agenda perkukuhkan kedaulatan Islam diperhebatkan. Persediaan pertahanan diperkukuhkan. Perlaksanaan Islam dimantapkan.

Kemenangan diraikan dalam keadaan kesyukuran kepada Allah SWT. Manusia berhak meraikan kemenangan, tetapi kembalikannya kepada Allah SWT.

Kalau umat Islam hanya berbangga dengan penurunan Al-Quran tetapi tidak mengamalkannya, samalah seperti keldai yang hanya berbangga membawa kitab tetapi tidak memahaminya.

Jadikan ramadhan ini sebagai bulan kemenangan kepada umat Islam untuk lebih memahami Al-Quran, mempertingkatkan amalan, menyambut terantainya syaitan dengan menambahkan keimanan kepada Allah SWT.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk ISLAM...

2 comments:

armouris said...

lagi banyak info tentang puasa kat sini - Puasa @ Info-Kesihatan-Anda

Zulhimi Attakiri said...

terima kasih...perkongsian yang memang bermanfaat