30 October 2012

Kesilapan Wan Ji dan Muzakarah

Hampir 2 minggu penulis menyepi daripada dunia blog dan FB dek kerana beberapa kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Namun penulis masih sempat mengikuti perkembangan semasa tentang apa yang berlaku. Bahkan penulis menganggap ini sebagai satu kewajipan.

Sehari sebelum aidiladha, akhbar sinar harian mengeluarkan kenyataan Dr. Asri Zainal Abidin yang meminta supaya PAS tidak menjadi Ayatullah. Kenyataan itu dikeluarkan selepas Dr.Mazlee Malek melontarkan soalan yang berbentuk provokasi kepada Dr.Asri tentang PAS.

Penulis agak pelik kenapa Dr.Asri melontarkan nasihat yang demikian. Adakah Dr.Asri melihat PAS ini seperti Syiah, ataupun adakah Dr.Asri melihat terdapat tokoh dalam PAS yang cenderung kepada Syiah?.

Selepas dari perbandingan yang diletakkan itu, penulis melihat sudah ada komen nakal dalam fb yang menyebut dan mengelar Dr. Asri sebagai Ayatollah Asri dan Mullah Mazlee. Macam-macam, itulah dunia fb.

Selepas penulis menyiarkan tulisan yang bertajuk Hudud dari perspektif Yusof Qaradawi dan Kesilapan Wan Ji, penulis terus mendapat respon daripada Ust. Wan Ji samada melalui telefon mahupun kenyataan terbuka dalam FB untuk mengadakan pertemuan ataupun muzakarah terbuka.

Mulanya penulis agak terkejut apabila Ust. Wan Ji ingin mengadakan muzakarah terbuka dengan penulis. Ust. Wan Ji tak perasankah yang penulis sudah memaklumkan di perenggan pertama dalam tulisan tersebut bahawa tulisan ini bukan tulisan penulis. Bahkan penulis linkkan tulisan ini di wall FB Ust. Wan Ji dengan menyebut bahawa terdapat tulisan yang menkritik beliau!.

Dalam hal ini, seolah-olah Ust. Wan Ji tidak cermat dalam membaca artikel yang penulis letakkan dalam blog ini. Harap-harapnya dalam pembacaan kitab-kitab yang lain Ust. Wan Ji tidak bersifat demikian iaitu gopoh dan tidak cermat dalam pembacaan yang memungkinan kesilapan dalam kefahaman.

Untuk makluman pembaca, tulisan yang dihantar oleh panglima garang berani ini, penulis telah teliti sumber yang disebutkan. Selepas penulis yakini keabsahan fakta yang diberi, baru penulis paparkan dalam blog untuk menjadi satu perbincangan ilmiah antara Ust. Wan Ji dan Penulis tersebut. Jadi tidak timbul bahawa penulis paparkan penulisan tanpa usul periksa.

Apa yang penulis harapkan supaya Ust.Wan Ji dapat menjawab dakwaan “kesilapan” yang dilontarkan. Jadikan perbincangan dalam dunia maya ini dalam bentuk yang lebih ilmiah tanpa dipengaruhi dengan emosi ataupun untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu, kalau ada.

...Teruskan Perjuangan...

Bekerja Untuk ISLAM

Bandar Baru Bangi, 8.10 pagi

11 October 2012

PEMIKIRAN SEBENAR HUDUD MENGIKUT PERSPEKTIF DR. YUSUF QARDAWI DAN KESILAPAN WAN JI

Semalam seseorang yang tidak dikenali menghantar tulisan melalui email penulis dan meminta supaya disiarkan. Selepas penulis membaca secara terperinci tulisan beliau, penulis merasakan memang patut disiarkan memandangkan hujah dan fakta yang dikemukakan agak menarik. Jadi penulis menyiarkan tulisan ini tanpa sebarang pengubahan satu ayat pun dari tajuk sampai ke bawah.

Oleh : Panglima Garang

Sejak akhir-akhir ini, ramai yang berhujah dengan pandangan ulama tersohor iaitu Prof. Dr Yusof al-Qaradawi. Al-Qaradawi merupakan ketua Persatuan Ulama Sedunia merupakan ulama yang mempunyai kedudukan yang tinggi pada pandangan ulama di peringkat antarabangsa. Kedudukan beliau yang tinggi ketika ini menyebabkan ramai di kalangan pemikir Islam hari ini yang berhujah pandangan beliau sebagai sandaran. Tidak kurang juga golongan yang mencampuri kebenaran dengan kebatilan dan meracuni pemikiran Islam agar tidak berpegang teguh kepada ajaran Islam sebenar turut ingin menyandarkan pemikirannya yang penuh racun ini dengan menyandarkan pemikiran Dr Yusof al-Qaradawi khususnya  Wan Ji Wan Hussin (Wan ji) yang banyak menukilkan kata-kata ulama tersohor ini dan cuba mengetepikan hudud dari perjuangan Islam. Malangnya, Dr Dzulkefli Ahmad (Dzul) dan Abdullah Karim (Lah Karim) dilihat terpengaruh dengan tulisan ini.

HUJAH MASLAHAH???

Mereka mengaitkan hudud dengan konteks yang salah di mana mereka menolak perbincangan dan perjuangan hudud dengan alasanh maslahah (kepentingan atau manfaat). Hujah maslahah yang digunakan bagi meracuni pemikiran perjuangan Islam mempunyai pelbagai bentuk yang antaranya hujah fiqh tawaqqu’ (fiqh futuristik), hujah fiqh siyasah (fiqh politik) dan hujah fiqh awlawiyat (fiqh keutamaan). Hujah-hujah ini mengutamakan kepentingan bukan agama mengatasi kepentingan agama.

Padahal al-Qaradawi mengutamakan kepentingan agama melebihi kepentingan akal, harta, nyawa dan maruah. Al-Qaradawi menerima kesemua kepentingan tetapi hendaklah kepentingan agama diutamakan bagi menggambarkan sesuatu yang disifatkan baik, benar dan berhak. Islam juga melihat natijah akhir segala perbuatan dan tidak menerima pemikiran songsang Barat sepert pemikiran pragmatik. Pemikiran pragmatik yang menjadikan kebendaan sebagai kayu ukur ketepatan kebenaran adalah menyimpang dari pemikiran Islam yang menekankan gabungan neraca kebendaan dan ruhani, individu dan masyarakat serta dunia dan akhirat (al-Qaradawi 1998: 5).

Malah, tiada maslahah sebenar memberhentikan hudud yg diwajibkan melalui nas yang qat'iy. (al-Qaradawi 1992b: 357). Kaedah paling penting memahami maslahah adalah dengan nas dan syariat. Ini bermakna di mana ada syariat Allah yang dinaskan pasti ada maslahah. Sebaliknya, sesuatu yang tiada nas dan mempunyai maslahah, dapat diterima sebagai syariat jikalau menepati prinsip Syariat. Pandangan al-Qaradawi ini berasaskan pandangan Ibn al-Qayyim dalam karyanya al-Turuq al-Hukmiyyah yang menyatakan selagi ada maslahah selagi itu ada Syariat Allah (al-Qaradawi 1992b: 359).

AL-QARADAWI MENYARANKAN HUDUD DAN QISAS DIGUBAL DALAM PERUNDANGAN NEGARA
   
Ingin saya tegaskan di sini, tidak sebagaimana sangkaan Lah Karim yang menyatakan Syariat itu luas melampaui hudud, maka hudud tidak perlu dilaksanakan zaman sekarang  dan hudud hanya merupakan doktrin lama PAS. Lah Karim mendakwa merujuk pandangan al-Qaradawi sebagaimana dinyatakan dalam tweeternya. Padahal, al-Qaradawi mempunyai pandangan yang tegas berhubung isu hudud. Al-Qaradawi menginginkan bahawa hudud dan qisas dijadikan perundangan negara yang wajib diperjuangkan oleh mana-mana pendokong Islam. Beliau menyebut dalam karyanya (al-Qaradawi 1993b: 71) iaitu perkara yang keenam penggubalan perlembagaan dan perundangan negara Islam :

6. Penggubalan bagi menegakkan hudud dan hukuman (jenayah) Islam yang disyarakkannya oleh Allah, bagi menjaga masyarakat dan pencegahan terhadap kejahatan dan memberhentikan jenayah yang melampau. Seperti hudud (dalam) pencurian, hirabah, zina, qazaf, mabuk, membunuh dengan sengaja, murtad. Itu (hudud yang disebut) adalah yang thabit dengan al-Quran dan al-Sunnah dengan menjaga ketat pada rukun-rukun dan syarat-syarat jenayah serta mengelak perlaksanaan hudud dalam kesamaran yang wujud pada jalan tersebut (perlaksanaan hudud).

Rasional penggubalan hudud dan qisas ini adalah bertunjangkan keperluan asasi bagi pengukuhan masyarakat. Maka sudah semestinya segolongan masyarakat (mempunyai) perundangan yang menjaga ikatannya dan menghukum sesiapa yang tergelincir dari kaedahnya (al-Qaradawi 1993c: 157). Penggubalan ini merupakan merupakan idelisme masyarakat Islam moden kerana ia adalah sesuatu yang berkaitan dengan perundangan dalam Islam yang digambarkan berhukum dengan Syariat atau melaksanakan Syariat dalam kehidupan (al-Qaradawi 1993a: 179).

Menurut al-Qaradawi lagi, hudud dan qisas tidak perlu disia-siakan dari perundangan Islam. Hukum hudud ini telah dithabitkan dengan nas dalam pelbagai bentuk yang tetap dari kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah rasul-Nya. Ia adalah kelaziman (kemestian) bagi membenteras jenayah dan mencabut akar jenayah. Suasana pada hari ini sungguh memerlukan hukum yang tegas berbanding hukuman penjara yang tidak memberi kesan terhadap banduan yang masuk ke dalamya (al-Qaradawi 1993a: 179).

Menurut al-Qaradawi lagi, syariat yang bersifat reality (waqiciyyah) bertindak dengan segala kekuatannya agar membersihkan masyarakat dari faktor-faktor jenayah. Tidak cukup hanya menumpukan dari sudut pendidikan bagi menolak hukum jenayah. Pendidikan tidak cukup memberi peringatan akhlaq walaupun kita berusaha dengan sedaya mungkin. Begitu juga tidak cukup hanya dengan nasihat yang baik atau ceramah yang memberi panduan. Pendidikan perlu disertakan dengan cemeti penguasa yang bersama suara al-Quran. Khalifah Uthman R.A. pernah menyebut: Sesungguhnya Allah pasti memperingatkan dengan kekuasaan yang tidak diperingatkan dengan al-Quran. Di sini, syariat mewajibkan hukuman dengan hudud, qisas dan takzir (al-Qaradawi 1989: 162).

SIFAT PERJUANGAN ISLAM YANG SYUMUL

Sangat mengejutkan nukilan Wanji terhadap kalam Dr Yusof al-Qaradawi bagi menggambarkan hudud tidak perlu diperjuangkan pada zaman ini dengan menyatakan pelbagai halangan dari perlaksanaan hudud. Halang-halangan ini sememangnya turut diperkatakan al-Qaradawi. Namun, halangan-halangan ini tidak membatalkan hukum qisas dan hudud dalam al-Quran. Padahal, al-Qaradawi memperjuangkan ‘Islam yang Syumul’ yang meliputi semua bidang termasuk perundangan. Al-Qaradawi (1995: 51-52) dalam karyanya Syumul al-Islam,  menyokong pandangan Imam Hasan al-Banna dalam usul pertama dari dua puluh usul yang menunjukkan beberapa sisi utama dalam Islam yang syumul. Sisi-sisi ini adalah sisi politik, sisi akhlaq, sisi ilmu, sisi perundangan, sisi ekonomi, sisi jihad, sisi pendakwaan, sisi aqidah dan sisi pendakwaan . Jelas di sini, al-Qaradawi menerima sisi perundangan dalam Islam dan tidak perlu dipisahkan dari perjuangannya.

Asas rasional pandangan Al-Qaradawi adalah Allah yang Maha Bijaksana mewahyukan perundangan bagi mengatur kehidupan Islam berteraskan al-Kitab al-Mubin (al-Quran) dan al-Sunnah yang suci. Masyarakat Islam tidak menjadi sebenar-benar Islam melainkan melaksanakannya dan merujuk kepadanya dalam semua bidang kehidupan. Tidaklah diterima akal Muslim yang mengambil ayat kewajiban puasa, “Wahai orang-orang yang beriman! Kamud diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (al-Baqarah: 183), tetapi tidak mengambil kewajiban qisas, “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukum Qisas” (al-Baqarah: 178). (al-Qaradawi 1993c: 157, al-Qaradawi 1992b: 29-30).

SIFAT MENJUZUK-JUZUKKAN PERJUANGAN ISLAM DILAKNAT?

Dr Yusof al-Qaradawi memberi penegasan bahawa perundangan di sisi Islam tidak menjuzuk-juzukkan agama. Maka tidak sempurna iman seseorang Muslim melainkan berhukum dan menghukum dengannya. Seseorang Muslim tiada pilihan selepas berpegang dengan Islam melainkan redha dengannya sebagai agama, syariat dan method kehidupan (al-Qaradawi 1993a: 187).

Beliau menyatakan ada golongan beriman kepada al-Quran dan menerima hukumnya tetapi tidak menerimanya dalam pelbagai bidang. Mereka menerima segala hukum berkaitan akidah, ibadat dan akhlak tetapi tidak menerima pada urusan perundangan, ekonomi, politik dan sebagainya. Malah, sangat mengejutkan dakwaan ini terkeluar dari golongan yang mengaku mendokong gerakan Islam. Ada golongan yang beranggapan bahawa mereka menerima al-Quran yang diturunkan di Mekah diterima pakai hukum-hakamnya. Manakala al-Quran diturunkan di Madinah pula, tidak perlu diterima. Mereka beranggapan kehidupan kita sentiasa menghadapi perubahan dan perkembangan. Begitu juga bagi mereka, hendaklah kita tidak jumud dengan al-Quran dan al-Sunnah semata-mata (al-Qaradawi 1992b: 26-27).

Sifat dan sikap ini yang menjuzuk-juzukkan agama dan menerima sebahagian Islam dalam pelbagai alasan adalah penyakit ahli Kitab yang ditempelak oleh Allah azza wajalla. Sifat ini kedapatan pada golongan Yahudi yang ditempelak oleh al-Quran dalam surah al-Baqarah 85-86. Bahkan al-Quran memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak mengikut jejak ahli kitab yang tidak mengamalkan sebahagian yang diwahyukan kepada mereka sebagaimana disebut dalam surah al-Maidah: 49 dan surah al-Nur: 47-51 (al-Qaradawi 1992b: 27-28).

Sebagaimana ramai di kalangan ulama PAS menolak pandangan Dzul dan Burung Punggok (wartawan surat khabar Harakah) mengenai istilah yang dilabelkan kepada pejuangan PAS iaitu Islamist Demokrat, al-Qaradawi turut menolak konteks dakwah Islam separuh yang sengaja ditimbulkan yang antaranya timbul di Timur Tengah iaitu Islam peradaban, Islam politik dan Islam Jihadi. Percubaan seperti ini mempunyai tujuan untuk menjadikan Islam seperti nasib Kristian yang membawa nama pelbagai istilah yang akhirnya ditolak oleh masyarakat yang mengaku beragama Kristian itu sendiri. Rentetan daripada ini, Imam Hasan al-Banna memberi penerangan berulangkali dalam surat-suratnya, makalah-makalahnya, ucapan-ucapannya dan sesi-sesi kuliahnya yang menerangkan makna kesempurnaan Islam (al-Qaradawi 1995: 42).

Ajaran dan hukum Islam menurut al-Qaradawi menolak segala bentuk perjuangan yang separa dari Islam. Al-Quran menempelak bentuk perjuangan ini yang jelas kelihatan pada bani Israil sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Nahl ayat 89.(al-Qaradawi 1995: 45). Isu ini juga ditegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 208 dan surah al-Maidah ayat 49. Hakikat sebenar ajaran Islam pada aqidah, syariat, akhlak, ibadat dan muamalat tidaklah menepati hukum Syariat yang sebenar melainkan diambil secara pukal yang melengkapi antara satu sama lain. Ia adalah seperti diskripsi ubat yang diberikan doktor kepada pesakit agar sembuh dengan baik. Tanpa merujuk diskripsi yang diberikan akan memberi kesan yang tidak baik (al-Qaradawi 1995: 46, al-Qaradawi 1993b: 90).

BAGAIMANA DENGAN NON-MUSLIM???

Method atau manhaj Islam tidak hanya disebut dan ditujukan kepada Muslim bahkan kepada non-Muslim. Al-Qaradawi turut menyebut bahawa non-Muslim hendaklah berpegang kepada perundangan Islam yang dikenakan terhadap Muslim kerana mereka bertanggungjawab menanggung kewarganegaraan negara Islam. Mereka hendaklah berpegang perundangan Islam yang tidak menyentuh kepercayaan dan kebebasan yang mereka anuti. Mereka juga diberi pilihan samada untuk menerima atau tidak menerima perundangan yang sama dimiliki oleh Muslim, turut dikenakan ke atas mereka. Begitu juga hukuman hudud membabitkan pencurian, zina dan pertuduhan zina. Mereka juga dikehendaki menghormati perasaan Muslim yang mereka sentiasa berinteraksi (al-Qaradawi 1992a: 43-44).

Sebagai penutup, saya ingin memperingatkan Wanji, Dzul, Lah Karim dan Burung Punggok agar menerima hukum Islam denangan redha dan menjunjung sepenuhnya arahan Allah dan sunnah Rasul-Nya. Peringatan seperti ini turut diperkatakan oleh Dr. Yusof al-Qaradawi (1998: 112) agar mempercayai objektif kehidupan mukmin adalah kembali segala urusan kepada Allah berdasarkan firman-Nya dalam Surah al-Ahzab ayat 36,
“Dan tidak harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak ta’at kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata” (al-Ahzab: 36).

Begitu juga sepatutnya semua Muslim yang mengaku beragama Islam samada pemerintah atau rakyat, perlu meminta panduan fatwa syariat Islam dan berhukum dengannya pada setiap urusan mereka. Mereka perlu percaya akan kesuciaanyan yang sampai ke tahap tertinggi pada menjaga hak, keadilan serta manfaat individu dan masyarakat tanpa berlebihan dan tidak pula berkurangan (al-Qaradawi 1993b: 70).

RUJUKAN:

al-Qaradawi, Yusuf. 1989. al-Khasa'is al-‘Amah li al-Islam. Kaherah: Maktabah Wahbah.

_____________. 1992a. Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtamac Al-Islamiy. Kaherah: Maktabah Wahbah.

_____________. 1992b. al-Marja'iyyah al-'Ulya fi al-Islam li al-Quran wa al-Sunnaha. Kaherah: Maktabah Wahbah.

_____________. 1993a. Bayyinat al-Hill al-Islamiy wa Shubhat al-Ilmaniyyin wa al-Mutagharribin. Kaherah: Maktabah Wahbah.

_____________. 1993b. al-Hill al-Islamiy faridatan wa dharuratan. Kaherah: Maktabah Wahbah.

_____________. 1993c. Malamih al-Mujtama' al-Muslim allazi nanshiduh. Kaherah: Maktabah Wahbah.

_____________. 1995. Syumul al-Islam. Kaherah: Maktabah Wahbah.

_____________. 1998. Al-Iman wa al-Hayah. Kaherah: Maktabah Wahbah.

Teruskan Perjuangan

...Bekerja Untuk Islam...

www.attakiri.blogspot.com

9.05 pagi, Kg. Teras Jernang