29 September 2012

Menilai Islamis Demokrat Dalam Gerakan Islam

Di saat masing-masing membicarakan bujet 2013, Penulis masih lagi ingin menyentuh tentang pemikiran Islamist Demokrat yang pernah dilontarkan oleh salah pimpinan PAS. Penulis menganggap ini sebagai salah satu perkara penting yang penting yang mesti difahami secara jelas. Di bawah, penulis sertakan penulisan salah seorang ahli akademik yang mengulas tentang pemikiran Islamist Demokrat.

Oleh : Hani MFG

PENGARANG Utusan Malaysia, Zulkifli Bakar telah mengulas tentang kemunculan pemikiran baru dalam PAS, Islamis Demokrat yang terus dikaitkan oleh penulis itu dengan kumpulan yang tidak mahu melaksanakan syariat Islam yang diperjuangkan oleh PAS atau kumpulan yang dilabelkan oleh media sebagai Anwarinas. Walaupun ulasan itu cuba membincangkan pandangan balas seorang ahli Majlis Penyelidikan Dewan Ulamak PAS, tetapi hakikat istilah “Islamis demokrat” itu digunakan sendiri oleh Dr Zulkfli Ahmad, CEO Pusat Penyelidikan PAS.

Saya tidak tahu asal usul daripada mana muncul istilah itu, cuma seingat saya seorang sarjana lepasan Fletcher School, Turf University, Erica Miller pernah menulis tesis sarjananya yang berjudul “Democratic Islamist? A Case Study on the PAS” pada 2006 yang mengkaji perubahan pemikiran pimpinan baru PAS kepada pendekatan yang lebih demokrasi. Mungkin Dr Zulkifli telah menghadam tesis ini, sebelum beliau mengisytiharkan diri dan kumpulannya sebagai Islamis demokrat. Wallahu aklam.

Saya masih kabur tentag kerangka sebenar pemikiran Islamis demokrat ini, mungkin Dr Zulkifli boleh menjelaskannya. Tetapi saya kebimbangan sekarang ini, kerana terlalu banyak pemikiran yang meletakkan sifat kepada Islam sehingga seolah-olah wujud golongan yang memperjuangkan segmen tertentu daripada Islam, bukan Islam yang syumul. Ya! Seperti hanya mendukung demokrasi dalam Islam, tetapi tidak cenderung kepada syariatnya!

Satu masa dahulu Presiden PAS pernah mengkritik pemikiran Abdullah Badawi yang menghadharikan Islam dengan maksud hanya menerima Islam pembangunan atau Islam progresif sahaja, sehinggakan Islam yang asal itu seolah-olah tidak progresif atau mereka tidak mahu menerima bahagian-bahagian lain Islam yang mungkin dianggap “tidak progresif”. Satu hari saya berbicara dengan Prof Wan Mohd Nor Daud, seorang bekas pemikir Islam di ISTAC. Beliau membandingkan Islam Hadhari dengan konsep Sosialisme Islam (Istiraqiyatul Islamiyah) Dr Mustafa Sibaie. Mengangkat tema sosialis yang terdapat dalam Islam itu seolah-olah ada keserupaan mengangkat tema progresif dalam Islam.

Sebetulnya, Dr Mustafa Sibaie terpaksa berbicara tentang ruang sosialisme itu kerana gerakan sosialisme Ba’ath yang begitu mencengkam di Asia Barat menular dari Iraq hingga ke Libya dewasa itu. Bahkan sebahagian aliran di Iran juga menggunakan sosialisme untuk menentang kezaliman Shah Iran. Di celah persaingan itulah, mungkin kerana mahu mengingatkan umat Islam bahawa pemikiran yang berakar daripada Marxism itu sudah terbina dan sedia wujud dalam pemikiran Islam, lalu diwar-warkan sosiaslisme Islam, agar tidak usah dikejar lagi pemikiran dari Barat itu!

Maka jika berbalik kepada konsep Islamis demokrat – dalam apapun tanggapan Barat – bagi pemikiran Islam, ia sudah tentu memberi makna bahawa golongan ini adalah golongan Islam yang hanya beriman dan mahu bergerak di atas ruang demokrasi yang dibuka oleh Islam. Mereka hanya menerima segmen demokrasi daripada Islam. Kilasannya mudah saja, mereka kelihatan bukan sahaja tidak pro, bahkan anti kepada perakuan mahu melaksanakan syariat. Bahkan wacana-wacana hudud pun mahu ditutupkan kerana bimbang terjejas sokongan. Satu masa dahulu, buku “Strategi PAS Menegakkan Negara Islam” hasil kajian PhD Dr Azhar Yaakub (2004) yang telah dicetak, telah dilarang diedarkan kerana tidak mahu mempopularkan “Negara Islam”.

Kemunculan aliran baru yang mendukung pemikiran “PAS Baru” yang kemudiannya dizahirkan untuk menolak kepemimpinan ulamak, lalu dicadangkan gantiannya kepemimpinan kebajikan atau kepemimpinan Islam, amat jelas sekali mahu PAS berfikir semula terhadap Islam syumul yang didukungnya. Mereka mahu Islam yang lebih diterima rakyat, Islam yang lebih demokratik, Islam yang berkebajikan dan seumpamanya. Apakah Islam yang dibawa oleh Nabi SAW itu ditolak manusia, zalim dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat? Mengapa mereka melihat Islam secara yang sempit, dan hanya mahu beriman pada elemen demokrasi dalam Islam, tidak pada keseluruhan syariatnya?

Saya mahu berbalik kepada beberapa pemikiran yang membentuk asas kepada pemikiran dukungan Dr Zulkifli Ahmad dan kawan-kawannya. Satu masa dahulu di Eropah, penentang utama golongan kapitalis ialah komunis atau dalam ideologi politiknya adalah pertembungan antara sosialis dan demokrasi. Kedua-duanya berhajat kepada kuasa untuk menterjemahkan ideologi dalam konteks negara. Di Jerman misalnya, golongan sosialis begitu sukar untuk bertapak dalam pendekatan konflik borjuis-proletariat dukungan mereka, melainkan bergerak di pentas demokrasi yang diizinkan pemerintah. Maka lahirlah golongan sosialis yang bencikan penindasan kapitalis, tetapi bekerja di lapangan demokrasi. Tergelar mereka ini “Sosialis Demokrat”.

Begitu juga ketika Eropah sedang melalui ‘pencerahannya’ pada awal abad ke-16. Di Eropah Tengah lahir golongan Protestan yang mendukung pemikiran yang memisahkan agama daripada politik. Mereka telah berjaya mengeluarkan orang Kristian daripada kongkongan gereja, tetapi rakyat tidak tunduk kepada kekuasaan mereka, sebaliknya mengembalikan kuasa kepada rakyat. Mereka memerlukan kuasa politik untuk mengawal rakyat dan negara, tetapi mereka sendiri berpegang agama dan politik mesti diasingkan. Kemudian lahir daripada golongan Kristian Protestan sekular ini yang mahu terlibat sama dalam persaingan politik yang berteraskan rakyat. Ahli politik pendukung agama yang bersaing di pentas politik demokrasi ini dipanggil “Kristian Demokrat” di Eropah.

Di kalangan gerakan Islam, sekurang-kurangnya semenjak kebangkitan Hassan al-Banna pada awal abad ke-20, yang bekerja untuk menegakkan semula syariat Islam dalam pemahaman Islam yang syumul melalui gelanggang politik dipanggil secara akademiknya “Islamist”. Dengan tidak mempedulikan sama ada mereka mengambil jalan demokrasi hingga tirani yang bermaksud politik, semuanya dilonggokkan sebagai “Islamist” yang dibezakan cuma oleh gelar “modernis”, “tradisonalis” atau “fundamentalis”. Tidak pernah golongan Islam menggelarkan diri mereka dengan lain-lain gelar yang menyempitkan maksud Islam. Mereka hanya menggelarkan diri mereka sebagai pendukung atau pejuang Islam (Islamist).

Pada awal abad yang baru ini lahir pemikir-pemikir baru yang meneliti perkembangan gerakan Islam. Antaranya, Oliver Roy yang telah menyimpulkan pendekatan Islam syumul yang dibawa semenjak revolusi di Iran telah gagal. Ertinya, Roy mengaggap golongan Islamis gagal! Begitu juga Asif Bayef, seorang sarjana di Belanda yang memberi tanggapan dalam bentuk yang lain iaitu berlaku ‘kebijaksanaan’ dalam gerakan Islam yang memperkenalkan pendekatan baru – “Islam tanpa syariat” atau “terima politik Islam tolak syariat Islam”. Kemudian kedua-duanya bersepakat bahawa gerakan Islam telah memasuki gerbang baru perjuangan iaitu “Post Islamism”. Pada mereka pendekatan Islam yang lebih demokratik, tidak keras, mengetepikan syariat, menekankan soal keadilan Islam dan seumpamanya adalah lebih bijaksana dalam dukungan kelompok “post Islamis” ini.

Di Indonesia satu ketika dahulu berhadapan dengan pemikiran aneh yang dibawa oleh Dr Nurcholish Majid atau lebih terkenal sebagai Cak Nur, iaitu seorang pemikir Islam Liberal di sana yang mendukung pluralisme agama. Ketika memimpin Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), Cak Nur telah mempromosikan satu pemikiran baru Islam dalam akhir dekad 1960-an iaitu “Islam, yes; partai Islam, no” yang menyebabkan runtuhnya gerakan politik Islam yang dibina oleh Cokroaminoto, Agus Salim dan Pak Natsir sekian lama, lalu yang berkuasa adalah golongan sekular Golkar. Satu kajian yang dibuat oleh Lily Zubaidah di Sydney, Australia baru-baru ini yang membandingkan antara PAS yang dikuasai oleh golongan baru – golongan “Islam, yes; Islamic syariat, no” – dengan Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) yang mewakili golongan Islam di Maghribi, telah menyimpulkan bahawa PAS sekarang telah menjadi sebuah gerakan post Islamist dengan pendekatan yang baru ini. Satu analisis yang amat menakjubkan tetapi tidak memeranjatkan!  

Posisi baru yang didukung oleh Roy dan Bayef nampaknya mempengaruhi kelompok-kelompok orang Islam yang sedang ‘menggilai kuasa’ sehingga terlupa yang mana wasilah (alat) dan yang mana hadaf (matlamat). Golongan ini nampaknya telah merasai perit “berjuang tanpa menang”, lalu menggagaskan pendekatan baru yang “winnable” dengan meninggalkan matlamat melaksanakan syariat atau sekurang-kurangnya “menyembunyikan” kemahuan kepada syariat. Mungkin inilah Machiavellism dalam politik kelompok ini yang diungkapkan oleh Prof Shahrir sebagai “faedah menghalalkan kaedah”. Dulu Prof Erbakan menjauhkan diri daripada Erdogan kerana approach ini, yang dilihat Erbakan sebagai tergelincir daripada maksud gerakan Islam gagasan al-Banna, Badiuzzaman, Maududi mahupun Natsir dek permainan golongan Machiavellian ini.

Sejarah Islam pernah merakamkan bahawa Dr Ali Syariati, pemikir Iran yang mendukung pemikiran Abdul Hamid Jowdat as-Sahar, seorang novelis radikal dari Mesir pernah menggagaskan konsep “Sosialis beriman”, dengan menggelarkan sahabat Nabi SAW, Abu Dzar al-Ghifari ra sebagai “sosisalis Islam yang pertama”. Melalui pertubuhan Nahzat-i Khoda Parastan-i Sosiyalist (Gerakan Sosialis Beriman), Ali Syariati menggunakan nama Abu Dzar untuk melegitimasikan bahawa golongan sosialis juga beriman. Tulisan Ali Syariati, Abu Zarr Khoda Parast-i Sosiyalist (Abu Zarr: Sosialis Beriman) mewacana pemikiran aneh ini, sedangkan belum kedengaran daripada Rasulullah SAW bahawa ada Islam dalam model sosialis. Hakikatnya, kumpulan mereka adalah orang Islam yang menganut sosialis, bukannya orang beriman yang beraliran sosialis!

Dalam konteks PAS hari ini, kerana amat berhajat kepada kuasa, tanpa hala tuju sebenar yang jelas, maka golongan ini dengan bangga mengisytiharkan kelahiran kumpulan mereka yang digelar “Islamist Democrat” di dalam sebuah parti Islam. Mereka mungkin orang-orang Islam dalam PAS yang beriman kepada demokrasi, lalu mereka menjadi kumpulan Islamis demokrat. Sebetulnya mereka ialah kumpulan “demokratis beragama Islam”. Tidak pernah zahir dalam sejarah bahawa adanya kumpulan Islamis yang mendukung faham tertentu sahaja dalam Islam, seumpama menerima Islam pembangunan (hadhari) atau Islam demokrasi sahaja. Islam tetap Islam! Tidak ada Islam Demokrat, Islam Hadhari, Islam Liberal, Post Islam, Islam Progresif dan seumpamanya. Semua Islam yang tidak lengkap itu hakikatnya neo-sekularisme!        

Teruskan Perjuangan

...Bekerja Untuk ISLAM...

08.30 pagi, Kg. Teras Jernang

21 September 2012

"(We are) no longer Islamists, but Islamist democrat" : henti keluarkan kenyataan mengelirukan tentang PAS

Tujuan atau matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara Malaysia sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian Islam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.
 
Dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah lslam dengan seruannya ialah Allahu Akbar. Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasul serta ljmak dan Qias yang terang dan nyata.

Kedua-dua perenggan ini adalah sedutan daripada perlembagaan PAS pindaan terkini.

Pernyataan ini cukup jelas menerangkan bahawa dasar PAS adalah Islam, sumber rujukan PAS adalah Islam, pergerakan PAS adalah Islam, perjuangan dalam PAS adalah perjuangan Islam. Dan PAS adalah sebuah gerakan Islam. Bahkan asas PAS berkawan dan bertentang berdasarkan panduan ISLAM

Dengan sebab itu, perjuangan PAS mempunyai konsep, asas dan sumber rujukan yang jelas. Sumber rujukan PAS ialah Al-Quran dan Sunnah yang jelas telah dilaksanakan oleh Rasulullah secara teori dan praktikal.

Jangan pandang Islam seperti kristian. Kalau memandang Islam seperti kristian, secara langsung para akademia akan terbayang Negara kristian yang pernah tertegak di suatu masa yang jelas teokratiknya.

Pandanglah Negara Islam seperti mana sistem khalifah yang pernah tertegak sebelum ini, bagaimana pembangunan yang ditinggalkan yang sampai sekarang menjadi kekaguman para pengkaji sejarah.  bagaimanan khazanah ilmu yang ditinggalkan sehingga menjadi rujukan oleh ilmuwan di zaman kini.

Ini yang ingin dibina oleh PAS samada atas nama Negara Islam mahupun Negara Berkebajikan. Inilah juga PAS yang kejap dan konsisten dengan dasarnya samada untuk berdepan dengan kawan mahupun lawan.

Semalam penulis ada terbaca keratan kenyataan terbaru Dr.Dzulkifly Ahmad yang antara lain menyebut PAS sekarang bukan lagi islamist tapi islamist democrat. Kononnya Perubahan PAS ini juga sejajar dengan perubahan gerakan Islam seluruh dunia

Dr.Dzulkifliy amat meminati istilah ini, bahkan beliau pernah mengakui bahawa beliau seorang pejuang Islam Demokrat dalam salah satu tulisannya.

Islamist Demokrat secara literalnya bermakna pendokong demokrasi yang bersifat islamik. Islamist menjadi kata sifat. Sementara Democrats adalah kata namanya. Dari sudut ini, Dr.Dzulkifly telah membuat kesilapan yang cukup besar. Secara tidak sengaja, beliau telah menukar penekanan dari Pejuang Islam kepada pejuang Demokrasi!. Istilah ini juga seterusnya meletakkan ciri islamik menjadi salah satu ciri sahaja kepada pejuang Islam. Kalau boleh tidak dianggap melampau. Penggunaan ini sama sebagaiaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menggunakan istilah Islam Hadhari yang jelas ditentang oleh PAS.

Istilah yang mengelirukan akan menghasilkan pemahaman yang mengelirukan.

Sebenarnya istilah yang mengklafikasikan pekerja-pekerja Islam seperti Islamist, Reformist, Post Islamis kebanyakannya datang daripada penganalisis sosio-politik barat. Semestinya proses pemikiran mereka bersumberkan kepada perspektif bukan Islam yang tidak mahir skop keilmuan Islam. Sebagai seorang pejuang Islam, Al-Quran dan Sunnah menjadi asas dalam mengemukakan pandangan dan jalur pemikiran.

PAS memang menjadikan demokrasi sebagai perantaraan untuk mendapatkan kuasa. Bahkan PAS adalah gerakan Islam yang pertama mengambil demokrasi sebagai strategi utama untuk mendapat kuasa. Namun Demokrasi bukan menjadi dasar perjuangan, Demokrasi menjadi strategi PAS untuk melaksanakan Islam. Kalau dengan sebab Islam, PAS mengalami kekalahan, PAS rela kalah.

Dalam islam, bukan hanya urus tadbir mesti betul, tetapi perbentukan akhlak yang baik, larangan daripada berbuat perkara yang mendatangkan kemurkaan juga terdapat dalam Islam. Jangan kerana tamakkan undi, agenda sosial tidak disentuh kerana bimbang hilang undi orang muda.

Namun begitu, bukan bermakna PAS tidak bersifat nasional. Bahkan PAS sudah lama bersifat nasional (cintakan Negara). Ini dibuktikan semenjak awal penubuhan tanah melayu, PAS bersama-sama terlibat dalam membincangkan perlembagaan persekutuan. Bahkan sebelum itu, lagi pejuang PAS terlibat dalam menuntut kemerdekaan Negara.

Menyebut Islam democrat akan lebih mengelirukan ahli dan penyokong PAS yang majoritinya terdiri dari orang melayu. Ini juga akan lebih menggambarkan PAS telah lari dari dasar perjuangan kononnya apabila terlampau ingin mendapatkan kuasa.

Bagi penulis, Dr.Dzulkifly tidak boleh lagi mengeluarkan kenyataan yang berbentuk dasar bagi mewakili PAS. Cukuplah dengan pandangan kontroversi sebelum ini seperti orang bukan Islam boleh dilantik menjadi timbalan presiden PAS, Hudud tidak sesuai dilaksanakan buat masa sekarang dan sebagainya.

PAS adalah sebuah gerakan Islam. Bukannya sebagai tempat untuk melaksanakan politik Islam. Semata-mata. Kecuali kalau ANDA memang bersikap demikian.

Jangan kerana ANDA, PAS menjadi rosak.

Kenyataan Ulamak Pelapis. Rujuk Sini

Kenyataan Dr.Dzulkifly. Rujuk Sini

Teruskan Perjuangan

...Bekerja Untuk Islam...

8.40 petang ; Bandar Baru Bangi

08 September 2012

Hudud : Antara Us. Zaharuddin dan Dr.Dzulkifly

Isu hudud kembali bergema dalam arus politik Negara. Pelbagai pandangan yang dikeluarkan oleh pemimpin politik, ahli akademik bahkan masyarakat bawahan juga terus bercakap berkenaan dengan isu ini
.
Hudud merupakan salah satu daripada agenda PAS apabila mentadbir negara. Kerana itu, selepas tiga tahun PAS mentadbir Kelantan, Enakmen Hudud diperbincangkan dan dipersetujui dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Begitu dengan juga Terengganu selepas mendapat kemenangan pada tahun 1999.

Ketika aidilfitri masih terasa bahangnya, penulis dikejutkan dengan kenyataan Dr.Dzulkifli bin Ahmad, Pengerusi Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) dalam Sinar Harian edisi Terengganu yang mengulas isu Hudud yang dilihat seolah-olahnya Hudud bukan lagi menjadi agenda PAS.

Dek kerana kesibukan menyambut aidilfitri, penulis tidak sempat mengikuti cerita tersebut secara langsung. Namun, minggu lepas penulis terbaca kenyataan Ust.Zaharuddin Mohammad tentang gaya pemikiran Dr.Dzulkifli begitu terkeliru khususnya berkaitan dengan dasar parti.

Penulis bersetuju dengan pandangan Ust.Zaharuddin dalam tulisan tersebut. Lebih-lebih lagi beliau mengemukakan hujjah secara kuat bagaimana seni jawapan Al-Quran apabila golongan kafir menimbulkan pelbagai keraguan untuk merosakkan pemikiran umat Islam.

Ini dapat menggambarkan bahawa apabila datang perkara yang perlukan penjelasan, Al-Quran memberikan penjelasan yang sejelas-jelasnya tanpa berselindung. Contoh yang dikemukan oleh Ust. Zaharudin tentang jawapan Jaafar bin Abdul Mutalib ketika berdepan dengan Raja Najasyi begitu tepat dan kena pada tempatnya. Boleh dibayangkan bagaimana situasi Jaafar ketika diminta penjelasan daripada Raja Najasyi berkenaan dengan Nabi Isa. Namun jawapan yang diberi, walaupun tidak dipersetujui oleh Paderi-paderi sekelilingnya. Tetapi diterima oleh Raja Najasyi.

Selepas Tulisan Ust.Zaharuddin dikeluarkan secara terbuka, penulis menunggu-nunggu jawapan Dr.Dzulkifli terhadap tulisan tersebut. Bagi penulis, memang wajar tulisan tersebut dijawab memandangkan ia ditulis secara akademik. 

Akhirnya penantian yang ditunggu telah tiba, Dr.Dzulkifli mengeluarkan kenyataan balas secara panjang lebar terhadap tulisan yang Ust. Zaharuddin.

Penulis membaca berulang kali penjelasan yang diberikan, lebih-lebih Dr.Dzulkifli begitu banyak menggunakan beberapa istilah yang penulis rasanya perlukan lebih penjelasan daripada Dr.Dzul dalam tulisannya akan datang seperti Tajdid dalam Waqi, Siyasatun Dakwah. Ini belum termasuk beberapa istilah bahasa Inggeris yang perlu didefinasikan.

Namun, penulis melihat Dr.Dzulkifli tidak menjawab secara langsung atau dengan menggunakan hujjah balas yang kuat. Penulis sangkakan sebagai seorang yang mendakwa ahli pemikir parti, semestinya beliau mempunyai hujjah yang kuat terhadap pernyataan yang dikeluarkan sebelum ini samada dari sudut penghujahan nas mahupun cadangan strategi untuk menguatkan PAS.

Penulis menunggu jawapan balas Dr.Dzul dalam hujahan balas terhadap persamaan kisah jaafar bin Abi Talib bersama Raja Najasyi dengan isu Penjelasan PAS kepada kekeliruan yang timbul samada oleh parti lawan mahupun kawan. Adakah persamaan yang diberikan oleh Ust. Zaharuddin tepat ataupun tidak. Atau Dr.Dzul mempunyai jawapan balas dengan mengemukakan contoh yang lebih tepat bagi menyokong pandangan dan cadangan untuk strategi kepada PAS?
Penulis juga menunggu jawapan balas Dr. Dzulkifli tentang taqiyah yang dilontarkan oleh Ust.Zaharuddin. Namun jawapan Dr. Dzulkifli telah menimbulkan satu lagi persoalan, apakah perbezaan antara taqiyyah dan strategi. Adakah menyembunyikan agenda termasuk dalam perkara thawabit ataupun mutahyyairat.? Ini semua akan menimbulkan persoalan baru yang mungkin boleh diperincikan oleh Dr.Dzulkifli dalam tulisan yang akan datang.
Pelbagai lagi jawapan balas yang penulis inginkan supaya penulis boleh menilai kembali penghujahan yang telah dikemukakan oleh Ust.Zaharuddin dalam tulisan beliau.
Kesimpulan yang boleh dilontarkan ialah penulisan Dr.Dzul kali ini agak beremosi. mungkin juga beliau agak tertekan dengan gelaran “politik ular daun” yang boleh dianggap bayi yang tidak bernama. Bagi penulis, bukan istilah yang perlu diperbesarkan. Tetapi isu utama yang perlu diperbahaskan.
Apapun tahniah kepada kedua-duanya kerana dapat menulis dengan begitu baik dan sesuai untuk dibaca oleh golongan pertengahan.

Tulisan Ust. Zaharuddin. Sila klik sini

Jawapan balas Dr.Dzulkifly. Sila klik sini
...Teruskan Perjuangan, Bekerja Untuk Islam...

(8.04 pagi, Teras Jernang)