16 October 2016

POLITIK DOSA PAHALA

Oleh : Zulhimi Attakiri

Situasi politik Malaysia semakin menarik. Percambahan parti baru cukup banyak sehingga parti-parti yang bukan dipihak kerajaan menegaskan keperluan untuk menyatukan kesemua parti dalam satu gabungan atau pakatan bagi memastikan formula 1 lawan 1 dapat diaplikasikan. Sebelum ni parti seperti DAP begitu angkuh menidakkan PAS dalam arus politik tanah air. Penubuhan Pakatan Harapan secara tergesa-gesa dan pengisytiharan kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang menampakkan supaya PAS dapat di tendang keluar dalam pentadbiran. Harapan DAP dengan pengisytiharan di Pulau Pinang menyebabkan Selangor akan bertindak seperti DAP yang memungkinan PAN dapat mengganti PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Namun perancangan tersebut tidak mencapai sasaran seperti yang diharapkan. Kedegilan Azmin untuk terus tetap dengan kerajaan yang dimenangi pada PRU 2008 menyebabkan keadaan menjadi tunggang terbalik. Lebih-lebih PKR juga amat bergantung kepada PAS dalam menggerakkan program-program kerajaan negeri khususnya program yang turun bersama rakyat.

Sebelum ini PAS dicemuh dengan pelbagai tuduhan oleh DAP, PAN dan segelintir pimpinan PKR dengan tuduhan seperti UG, memberi tongkat kepada Najib dan pelbagai lagi. Bahkan kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah mengganggap PAS sudah tidak diperlukan lagi dalam mencorakkan agenda politik Negara. Namun keputusan dalam dua PRK ( Kuala Kangsar dan Sungai Besar) dan PRN di Sarawak memperlihatkan PAS mempunyai kekuatan yang tidak boleh dinafikan. Presiden IKATAN sendiri menyebut bahawa PAS merupakan parti tunjang dalam pembangkang seperti UMNO dalam BN.

Sangkaan DAP dan PKR, PAS mungkin boleh dipergunakan seperti ketika pimpinan PAN yang berada dalam PAS suatu ketika dahulu. Tetapi keadaan menjadi sebaliknya. PAS terus menerus kejap dan tegas dengan prinsip perjuangan. Asakan dan tuduhan kepada PAS tidak sedikit pun menjejaskan PAS. Bahkan PAS terus bergerak maju ke hadapan dengan pelbagai produk dan tawaran kepada rakyat Malaysia.

Pendekatan Politik yang berasaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera menampakkan PAS menjadi parti yang inginkan perubahan politik berlaku dalam suasana yang harmoni tanpa sebarang provokasi dan fitnah. Pelancaran Dokumen Hijau yang focus pembangunan Sosial dan Ekonomi memberi penekanan kepada penyelesaian Islam terhadap setiap permasalahan ekonomi dan social masyarakat. Pengenalan terma mampu milik rumah dan penggantian sistem percukaian GST dengan sistem yang lain menampakkan PAS begitu serius ingin mengubah Negara seterusnya membawa Malaysia menjadi yang lebih baik ke hadapan.

PAS menjadi parti yang dirayu oleh semua pihak untuk bersama. Namun PAS tegas menyebut bahawa PAS bukan anak tangga. Tetapi PAS adalah parti yang tegas dengan Islam. Sesiapa yang ingin bersama PAS hendaklah menerima asas dan perjuangan PAS.

Islam menjadi asas penyelesaian kepada setiap permasalahan yang berlaku. Politik PAS ialah politik yang bergerak berdasarkan dosa dan pahala. Ini yang menjadi kelebihan kepada PAS.

PAS cukup menentang sebarang bentuk politik yang bertentangan dengan Islam dan menyusahkan rakyat. Langkah Kajang ditentang oleh PAS kerana mengzalimi seorang menteri besar yang baik dengan tuduhan yang jelas bersifat fitnah. Permainan demokrasi menyebabkan ribuan bahkan jutaan duit dibazirkan untuk tujuan perancangan yang hanya meraih kepentingan individu atau parti tertentu sahaja. Yang lebih teruk ialah fitnah yang ditaburkan dan meminta PAS bersetuju dengan fitnah tersebut.

Ini belum lagi bercakap tentang isu DAP dalam kes Teo Beng Hok. Persepsi yang dilemparkan amat berbeza dengan kenyataan yang sedia ada. Boleh rujuk SPRM dalam isu ini. Begitu juga dengan isu Lim Guang Eng dalam kes pembelian banglo dan tuduhan rasuah.

PAS menunjukkan sikap dalam prinsip Islam iaitu seseorang tidak boleh dituduh bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Walaupun DAP menyerang PAS siang dan malam. Tetapi PAS tetap tidak mengambil kesempatan atas kesalahan tersebut untuk menyerang DAP. Inilah PAS sebagai Parti yang bergerak atas konsep dosa dan pahala

Prinsip Islam menjadi asas PAS. Penubuhan Majlis Syura Ulamak dalam PAS membuktikan PAS sentiasa dipantau pergerakan supaya mesti berlandaskan Islam.

Dalam menterjemahkan politik semasa sekarang. PAS jelas menyebut bahawa PAS ingin menyelesaikan isu politik dalaman secara demokrasi yang betul. PAS ingin mengubah sistem yang ada kepada sistem Islam yang sebenar. Jangan keluar dari mulut buaya masuk ke mulut Naga.

PAS ingin mengambil kuasa untuk menterjemahkan Islam dalam konteks bernegara yang bertujuan untuk membentuk Negara kemasyarakatan atau Negara Berkebajikan. Dunia pernah gagal dengan sistem Kapitalis. Dunia pernah gagal dengan Sistem Sosialis. Tetapi Dunia tidak pernah gagal apabila Islam menjadi asas dan diamalkan oleh kerajaan.

Politik Dosa Pahala menyebabkan setiap tindakan dan perancangan sentiasa akan dilihat untuk mendapatkan keredhaan Allah dan menjauhi kemurkaanNya. Setiap arahan Allah adalah baik dan setiap larangan Allah pasti akan mendatangkan keburukan samada sekarang atau akan datang.

Itulah PAS

Teruskan Perjuangan


… Bekerja Untuk Islam…