04 July 2010

Tasawwuf itu Akhlak

"Ya Sheikh, bagi pendapatmu, Thoriqat mana yang aku perlu ikuti" tanya seorang pelajar kepada Prof. Dr. Said Ramadha Al-Buthi.

"Saya rasa baik kamu masuk dengan thoriqat muhammad" jawab Dr. Buthi secara bersahaja.

Thoriqat muhammad bukan bermaksud thoriqat muhammadiyyah. Tapi thoriqat muhammad ini bermaksud ialah cukuplah dengan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Syria merupakan antara tempat yang paling banyak guru-guru thoriqat. Ini belum termasuk dengan thoriqat yang menyimpang daripada agama. Bahkan sesetengah guru-guru thoriqat mengambil kesempatan daripada ketaksuban ahlinya dengan membuat pelbagai aktiviti yang kadang kala diluar batasan akal.

Saranan Prof. Dr. Said Ramadhan Al-Buthi (Beliau masih hidup lagi kini) ada kebenarannya. Beliau bukan mengingkari thoriqat. tetapi beliau bimbang pemuda yang bertanya itu terjebak dengan thoriqat yang sesat atau penyertaanya dalam thoriqat menyebabkan pengajian wajib ditinggalkan.

Perwatakan Prof. Dr. Said Ramadhan Al-Buthi sama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. dari sudut ketegasan, kelembutan dan peribadinya. Mungkin pandangan politik berbeza tapi kedua-duanya begitu minat dengan tasawwuf.

Bahkan Dr. Said Ramadhan ini antara ulamak yang mensyarahkan Kitab Hikam 'Atoillah As-sakandari dan Risalah Qusyairiah.

Ini menandakan bahawa beliau bukan anti tasawwuf. Tasawwuf bukan bermakna kita mesti menyertai thoriqat tertentu.

Tasawwuf dengan pengertian mudah ialah proses penyucian hati untuk mencapai tahap kecintaan kepada Allah.

Dengan sebab itu, beberapa himpunan zikir di amalkan supaya hati yang kotor dapat dibersihkan dengan zikir-zikir yang dibaca dan dijadikan amalan harian.

Penulis sering kali menyebut bahawa zikir-zikir yang diulang bukan sekadar untuk membasahi bibir atau untuk meningkatkan darjat semata-mata. Tetapi zikir yang diulang hendaklah diserapi makna dan pengertian dalam diri.

Penulis cukup tertarik dengan penjelasan Tuan Guru Presiden PAS dalam menterjemahkan Tasawwuf sebagai akhlak.

Penjelasan yang ringkas dan mudah difahami.

Ya, Tassawuf itu akhlak.

Penulis pernah melihat seorang yang didakwa ahli sufi, yang menjadi pembaca kitab-kitab tasawwuf, yang mahir dengan ilmu-ilmu dan maqam-maqam tasawwuf tetapi tidak berakhlak dengan akhlak yang baik.

Dalam keadaan pergaulan yang agak bebas dan perkara syubhat dijadikan salah satu sumber pendapatan. Ini akan merosakkan akhlak seorang Muslim yang mengaku diri menjadi sufi.

Ahli Sufi bukannya pembaca kitab sufi. Ahli Sufi ialah mereka yang berakhlak dengan akhlak Nabi.

Sebagaimana Nabi berakhlak dengan akhlak Al-Quran, begitu juga dengan Ahli Sufi.

Oleh itu, elemen tasawwuf menjadi penting kepada gerakan Islam. Hasil daripada penekanan Tasawwuf atau akhlak ini mampu menghasilkan keutuhan dalam Gerakan Islam.

Tasawwuf sentiasa mengajar kepada hambanya supaya sentiasa menjaga hati daripada perasaan hasad, mengumpat, mengadu domba, mempelekeh orang lain dan sebagainya.

Ini antara elemen untuk memperkuatkan gerakan Islam. sebab itu Sheikh Said Hawwa pernah menyebut tentang peri pentingnya kewujudan "Sufi Haraki" (ahli gerakan yang bersifat dengan sufi).

Penekanan tentang akhlak dalam berjemaah, wala' dan thiqah antara elemen tasawwuf yang perlu difahami oleh semua ahli gerakan.

Berakhlak baik merupakan arahan Allah SWT kepada manusia melalui wahyu yang diturunkan kepada para Nabi.

Oleh itu, tassawuf bukan untuk orang tertentu tetapi untuk semua umat Islam dalam memperbaiki akhlak dan membersihkan hati masing-masing.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam..

2 comments:

Anonymous said...

Ni Hiwar bersama Dr Buti berkait dengan tarikat sufi ... jom kita dengar apa Komen Dr Buti....
http://www.youtube.com/watch?v=ITRkzTaftrU&feature=related

Zulhimi Attakiri said...

terima kasih atas perkongsian ini