07 July 2010

Sambutan Ramadhan, mulakan pada hari ini...

Umat Islam telah memasuki akhir bulan Rejab. Ini bermakna masa berbaki dalam sebulan lebih untuk umat Islam menyambut bulan kebesaran Islam bulan Ramadhan.

Kelebihan Ramadhan tidak perlu dipertikaikan lagi. Maklumat mengenai bulan Ramadhan samada daripada Al-Quran dan Hadis begitu banyak dilonggokkan kepada masyarakat samada dalam bentuk media cetak ataupun elektronik.

Yang berbaki ialah bagaimana kesanggupan umat Islam untuk menyambutnya dengan merebut peluang-peluang yang ada.

Apabila tiba 1 Ramadhan, kebanyakan umat Islam begitu bersemangat untuk menyambutnya dengan memulakan dengan baik samada ibadah yang wajib seperti berpuasa dan sunat seperti menyegerakan berbuka, melambatkan sahur dan berqiamullai dan sebagainya.

Ya, Ibadat wajib pasti diteruskan. Bagaimana dengan perkara sunat?. Seminggu pertama boleh bertahan, masuk minggu ke 2 dan seterusnya. Ibadat sahur ditinggalkan, Qiamullai apatah lagi. Ini belum termasuk solat terawih yang semakin kurang rakaatnya dari semasa ke semasa.

Ini belum lagi disentuh soal tingkah laku dan percakapan dalam bulan ramadhan yang kadang-kadang dapat mengurangkan mutu kualiti puasa tersebut.

2 bulan sebelum tiba ramadhan, sesetengah umat Islam mula sibuk untuk memikir tema sambutan aidilfitri dan tempahan baju raya. Tempahan baju raya terpaksa dibuat awal kerana bimbang tukang jahit tidak lagi menerima tempahan di awal bulan ramadhan.

Ini adalah situasi biasa yang berlaku.

Tetapi bagaimana dengan persiapan kita untuk menyambut Ramadhan?

Ramadhan adalah bulan untuk melatih umat Islam supaya mencapai ketaqwaan kepada Allah SWT. Dalam bulan ini, Syaitan akan digantung peranannya dalam menyesatkan manusia. Yang berbaki hanya nafsu manusia yang sentiasa mendorong kepada kejahatan.

Dengan sebab itu, Nabi menyarakan agar ramadhan disambut dengan sebaik-baiknya dengan melaksanakan kebaikan dengan sebanyak-banyaknya seperti berjaga-jaga dalam berkata-kata, berhati-hati dalam tingkah laku, bersih jiwa daripada sebarang kekotoran, kuatkan rohani dengan qiamullai, stabilkan metabolisma dengan menyegerakan berbuka dan lewatkan sahur dan sebagainya.

Melakukan segala amalan tersebut amat sukar apabila dimulakan pada awal ramadhan. sememangnya waktu tersebut, peranan syaitan telah terbelenggu. Tetapi tabiat buruk yang menjadi kebiasaan diri amat sukar dikikis.

Oleh itu, Jalan yang terbaik ialah dengan mulakan sambutan awal ramadhan bermula sekarang. Jadual muhasabah harian secara berperingkat perlu dicoretkan mulai sekarang.

Jadual pengamalan ibadat sunat perlu mula dilakarkan mulai sekarang supaya ibadat tersebut boleh dilaksanakan secara berperingkat dengan penuh istiqomah.

Ini juga termasuk jadual pembacaan Al-Quran yang sepatutnya ditingkatkan mutunya dari semasa ke semasa bermula dengan pembetulan tajwid bacaan sehingga kepada kefahaman makna bacaan Al-Quran.

Ini termasuk dengan melatih lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati tanpa sebab yang munasabah, melatih hati daripada berprasangka buruk, melatih anggota daripada mengzalimi manusia yang lain.

Segala perancangan untuk menyambut ramadhan mesti dimulakan sekarang supaya ISTIQOMAH dapat dicapai dalam menghabiskan sebulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang memungkinkan kita mendapat markah penuh.

Doakan supaya Ramadhan kali ini diberikan rezeki oleh Allah supaya bertemu dengan Malam Qadar.

Kejayaan menyambut Ramadhan pada tahun ini bermula pada hari ini.

Tulisan ini sebagai satu muhasabah untuk diri penulis sendiri.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

No comments: