14 July 2010

kenangan lalu (2002-2007) V : Membina Syaksiah Dalam Kepimpinan

Ketika penulis mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Universiti Malaya yang belajar di Ma'had Lughah, Syria, mereka ada menyebut tentang moral masyarakat yang semakin menurun dan bertambah teruk dari masa ke semasa.

Sekarang ini, bukan setakat perempuan, kaum lelaki pun tidak dibenarkan berjalan malan berseorangan di Bandaraya Kuala Lumpur. Bagi penulis sendiri, ini bukan satu perkara yang baru kerana ini dapat dibaca di akhbar-akhbar dalam versi internet. Hatta tetamu yang datang dari Malaysia pun menceritakan tentang perkara yang sama.

Kalau dikaji dengan lebih mendalam, kenapa keadaan ini berlaku, sedangkan Malaysia telah diwar-warkan sebagai sebuah negara Islam yang bertamadun yang dikononkan digelar Ummu Hadharah dan berkonsepkan Islam Hadhari!!!!! (kenyataan ini pada tahun 2005). Kenapa gejala keruntuhan moral berlaku, ? kenapa perkara ini tidak berlaku dikala Islam dapat memerintah dunia bermula zaman Rasulullah sehingga kerajaan Islam yang berpusat di Kota Istanbul, Turki.?

Penulis tidak berminat untuk menceritakan tentang kepentingan penubuhan kerajaan Islam yang sebenar kerana ia memerlukan kepada perbincangan yang khusus dan ilmiah. Tetapi apa yang ingin ditumpukan ialah peranan pemimpin dalam membentuk ahli atau rakyatnya ke arah cintakan Islam sebagai cara hidup.

Rasulullah pernah menyatakan dalam hadisnya bahawa manusia akan mengikut cara hidup pemimpin meraka. Memang kalau dilihat dari sudut waqie, perkara ini memang pernah berlaku. Contohnya di zaman khilafah Umawiyyah yang berpusat di Damsyik (Syria).

Ulamak pernah membezakan antara corak pemerintahan Amirul Mu'minin Umar Abdul Aziz dan khalifah yang lain.

Di zaman Umar Abdul Aziz, Rakyatnya menjadi pemurah, sentiasa menumpukan kepada kajian ilmiah dan perkara yang sewaktu dengannya. ini kerana pemimpinnya seorang Ulamak yang cintakan ilmu dan selalu mengajak rakyatnya bermunaqasah Ilmiah dan tidak membazirkan harta demi kepentingan peribadi.

Itu kalau pemimpinnya seorang yang baik. Contoh rakyat yang mengikut akhlak pemimpinnya yang menjurus ke arah kerosakan, rasanya terlampau banyak dan tidak perlu disebutkan kerana pembaca boleh melihat sendiri suasana sekarang.

Tujuan penulis mengketengahkan tajuk ini supaya sidang pembaca memikir dan merenung kembali tugas yang bakal dipikul oleh semua yang bergelar pelajar Islam.

Tugas ini bukan satu tugas yang boleh dianggap enteng dan mudah diselenggarakan. kerana berapa ramai para daie yang gugur dalam bidang dakwah sebelum sampai ke akhir. Oleh kerana itu, pelajar Islam itu sendiri, selain mempersiapkan diri dalam ilmu pentadbiran dan sebagainya (walaupun itu penting), perlu juga membuat persiapan dari sudut pembinaan syaksiah dalam membina sesuatu organisasi yang lebih mantap.

Dan ini sepatutnya dipandang sebagai perkara yang paling utama dalam sesuatu organisasi. Cuba lihat sendiri, bagaimana sirah Rasulullah SAW yang mendidik dan mentarbiah para sahabatnya sehingga mampu memimpin berpandukan Al-Quran dan Sunnah dan mereka juga terkenal dengan syaksiah yang tegas lagi berhimmah serta berkaliber sehingga menggerunkan musuh-musuh Islam ketika itu.

Kerana itulah, seorang pelajar Islam perlu sentiasa membaca dan mengkaji Sirah Rasulullah SAW dan sejarah hidup para sahabat, khulafa' Ar-Rasyidin dan juga khalifah-khalifah Islam selepasnya.

Bagaimana mereka mendidik diri mereka sendiri dan membina keperibadian yang begitu hebat, lihatlah peribadi seorang pemuda yang bernama Muhammad AL-Fateh, bagaimana Syaksiah beliau,? bagaimana hubungannya dengan Allah SWT sehingga dikatakan bahawa Muhammad Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat tahajjud selepas Baligh. Maka munasabahlah Allah SWT memberi kelebihan kepada beliau untuk merealisasikan hadis yang bermaksud :

"Akan dibuka Kota Kontantinapel, dan sebaik-baik ketua adalah ketuanya, sebaik-baik tentera adalah tentera yang bersama ketika itu"

Kerana itulah, seorang yang dilantik menjadi kepimpinan perlu sentiasa muhasabah, muraqabah, muatabah terhadap diri masing-masing ke arah menjadi yang terbaik dan sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk masing-masing merubah akhlak yang buruk kepada keadaan yang lebih baik dan menyeru pula kepada rakyat-rakyat mereka.

Dengan istilah lain : Perbaikilah diri kamu dan disamping itu serulah orang lain

Dan perlu diingat, sesuatu jawatan yang dipegang merupakan amanah yang akan dipersoalkan, dan sepatutnya seorang pimpinan itu tidak boleh mengeluarkan perkataan yang boleh diistilahkan sebagai lepas tengguk seperti " aku mana tahu, orang pilih aku" kerana setiap mereka yang memilih pasti telah memberi kepercayaan kepada calon pemimpin yang mereka setujui.

Dan apabila telah dipilih ketika itulah seseorang itu akan tahu apa erti amanah sebenarnya dan pada masa itu, seseorang yang sedar dengan tangungjawab tersebut pasti akan cuba mentarbiyyah diri agar sentiasa menjadi terbaik atau disebut Qudwah Hasanah.

Penulis meletakkan kepentingan tarbiyyah dalam kepimpinan kerana dalam suasana sekarang ini, Malaysia semakin kekurang kepimpinan yang berlatarbelakangkan ulamak yang dikira cekap dalam mentadbir dan mentarbiyyah masyarakat kerana yang ada akan pergi tapi penggantinya belum diketahui lagi.

Lihatlah sendiri, berapa ramai pelajar-pelajar yang lulusan agama yang terlibat langsung dengan masyarakah, semuanya itu boleh dibilang dengan jari!!!!.

Jadi ditangan siapakah lagi yang diharapkan kalau bukan dari kalangan kita sendiri, Ingat Islam itu akan bangkit kembali, walaupun kita tidak memperjuangkannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Wahai Orang Beriman, Adakah kamu mahu aku menunjukkan kepada kamu suatu perniagaan (yang keuntungannya) dapat melepaskan diri kamu dari azab neraka.? (caranya ) hendaklah kamu beriman kepada Allah SWT dan RasulNya dan kamu berjuang fisabillah dengan harta-harta dan jiwa-jiwa kamu" As-Sof

Dengan sebab itu jangan kita melepaskan peluang yang Allah SWT berikan kepada kita kerana kalau peluang ini ditolak, Allah akan menggantikan kaum yang lain untuk menegakkan Islam itu sendiri kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud :

Wahai orang yang beriman, sesiapa yang berpaling dari kalangan kamu daripada agamanya (Islam), maka Allah SWT akan mendatangkan satu kaum yang Allah Taal kasih kepada mereka dan mereka kasih kepada Allah...)


Oleh itu, kepada yang terlibat dengan kepimpinan, Sedarlah, kami telah memberi kepercayaan kepada kamu untuk memimpin kami, jadi laksanakanlah amanah ini dengan semampu mungkin dan jangan kamu jadikan amanah ini sebagai langkah untuk kamu dihumbankan ke neraka, tetapi jadikan kepimpinan ini sebagai ibadah dan Jihad ke JalanNya.

* Artikel ini untuk dikeluarkan untuk Majalah Al-Khauthar bawah kelolaan Keluarga Penuntut Terengganu Syria (KPTS), Damsyik pada 6 Jumada Ula 1426 bersamaan dengan 13 Jun 2005.

* Artikel tidak diedit kecuali dari sudut kesalahan ejaan sahaja untuk mengekalkan keasliannya.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

No comments: