06 November 2012

Kepimpinan Ulamak Di Pertikai ketika PAS Cemerlang?

Tulisan ini penulis paparkan kembali di saat mula kedengaran suara dan tulisan yang mempertikaikan kewujudan kepimpinan ulamak. Tulisan ini penulis tulis pada 9 mei 2009, mungkin terdapat beberapa fakta yang lama yang tiada kaitan, namun beberapa isi yang sedia ada penulis rasa agak sesuai untuk dihangatkan kembali

Penulis terbaca sedutan wawancara bersama dengan Tim. Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr. Haron Din berkenaan dengan kepimpinan Ulamak.

Beliau telah menjelaskan kekeliruan yang timbul di saat terdapat segelintir ahli dan pimpinan PAS mula mempertikaikan gagasan kepimpinan Ulamak.

Ada yang mencadangkan agar gagasan kepimpinan ulamak ini ditukar kepada kepimpinan bertaqwa. Penulis pun tidak pasti apa asas dan tujuan penukaran ini.

Kepimpinan Ulamak di susun secara sistematik semenjak tahun 1982 setelah ahli PAS melihat kepimpinan PAS ketika itu (zaman Dato’ Asri Muda) mempunyai arus perjuangan yang kabur. PAS dilihat sebagai gerakan Nasionalis seperti UMNO.

Oleh itu, ahli PAS bangkit kembali untuk mengembalikan PAS kepada perjuangan asalnya dan dimantapkan lagi dengan perbentukan kepimpinan Ulamak.

Gagasan kepimpinan ulamak ini digagaskan kerana PAS ketika itu betul-betul berada dalam keadaan lemah dan seolah-olah hilang prinsip perjuangannya.

Oleh itu, kepimpinan Ulamak digagaskan bagi menguatkan kembali dasar dan perjuangan PAS.

Kepimpinan Ulamak diasaskan supaya pergerakan PAS bukan sahaja tertumpu kepada politik semata-mata. Kepimpinan Ulamak digagaskan bagi memastikan perjuangan PAS tidak lari dari konsep perjuangan samada dari sudut dakwah, tarbiyyah dan politik.

Hasil daripada gagasan ini, PAS berjaya menempa nama dan menjadi parti kedua terkuat di tanah air.

Kekuatan PAS semakin bertambah dengan kemenangan selepas PRU12 dengan berjaya menguasai 5 negeri hasil kerjasama politik bersama dengan PKR dan DAP. Ini menunjukkan bahawa gagasan ini semakin menuju kepada kecemerlangan.

Disaat PAS cemerlang dengan kepimpinan ulamak. Ada juga pihak yang mempertikaikan kepimpinan ulamak ini. Penulis tidak pelik kalau kepimpinan ulamak dipertikaikan kerana gagasan ini menyebabkan PAS menjadi lemah.

PAS semakin kuat dan semakin dipandang oleh kawan dan lawan. Walaupun PAS mempunyai bilangan ahli parlimen yang tersedikit. Tapi PAS mempunyai ADUN yang teramai dalam PAKATAN RAKYAT.

PAS mempunyai matlamat dan dasar yang mantap. Segala tindak tanduk PAS adalah berdasarkan kepada Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias.

Inilah antara rahsia kekuatan PAS sejak zaman berzaman.

Selain dari usul memperkasakan PAKATAN RAKYAT dalam muktamar yang lalu. Perwakilan juga pernah bersetuju dengan usul supaya menyerahkan mandat kepada kepimpinan dalam isu muzakarah dengan mana-mana pihak.

Jadi, untuk apa kita melenting supaya kepimpinan ulamak hendak dikaji semula.? PAS berada dalam keadaan lemah ke sekarang.? Jawapannya tidak.

PAS bergerak melanggar Al-Quran ke sekarang.? Jawapannya tidak.

Jadi apa masalah dengan kepimpinan ulamak sebenarnya.?

Mungkin ada yang berpendapat bahawa PAS tidak mengikut arus rakyat dengan mengadakan perbincangan yang dianggap sulit dengan UMNO. Penulis tidak pasti kenapa disebut sulit oleh Naib Presiden sendiri. Sedangkan Tuan Guru Presiden pernah menyebut bahawa setiap butir pertemuan telah di maklumkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat. Mungkin sulit kepada ahli tetapi bukan pimpinan.!

Tapi adakah salah kalau PAS berbincang tentang kepentingan Islam. Kalau DSAI boleh berbincang dengan MP UMNO untuk urusan lompat. Kenapa PAS tidak boleh berbincang dengan UMNO demi kepentingan umat Islam. berbincang bukan semestinya setuju.

Hebat sangat ke DSAI. Koman sangat ke pimpinan PAS.

Penulis harap, kesemua ahli dan pimpinan memberi dokongan kepada kepimpinan ulamak ini.

Penulis menulis tajuk ini bukan bermakna ada kepentingan. Cuma sekadar ingin menerangkan bahawa gagasan inilah yang menjadi tonggak penting dalam kelangsungan gerakan Islam.

www.attakiri.blogspot.com

No comments: