29 September 2012

Menilai Islamis Demokrat Dalam Gerakan Islam

Di saat masing-masing membicarakan bujet 2013, Penulis masih lagi ingin menyentuh tentang pemikiran Islamist Demokrat yang pernah dilontarkan oleh salah pimpinan PAS. Penulis menganggap ini sebagai salah satu perkara penting yang penting yang mesti difahami secara jelas. Di bawah, penulis sertakan penulisan salah seorang ahli akademik yang mengulas tentang pemikiran Islamist Demokrat.

Oleh : Hani MFG

PENGARANG Utusan Malaysia, Zulkifli Bakar telah mengulas tentang kemunculan pemikiran baru dalam PAS, Islamis Demokrat yang terus dikaitkan oleh penulis itu dengan kumpulan yang tidak mahu melaksanakan syariat Islam yang diperjuangkan oleh PAS atau kumpulan yang dilabelkan oleh media sebagai Anwarinas. Walaupun ulasan itu cuba membincangkan pandangan balas seorang ahli Majlis Penyelidikan Dewan Ulamak PAS, tetapi hakikat istilah “Islamis demokrat” itu digunakan sendiri oleh Dr Zulkfli Ahmad, CEO Pusat Penyelidikan PAS.

Saya tidak tahu asal usul daripada mana muncul istilah itu, cuma seingat saya seorang sarjana lepasan Fletcher School, Turf University, Erica Miller pernah menulis tesis sarjananya yang berjudul “Democratic Islamist? A Case Study on the PAS” pada 2006 yang mengkaji perubahan pemikiran pimpinan baru PAS kepada pendekatan yang lebih demokrasi. Mungkin Dr Zulkifli telah menghadam tesis ini, sebelum beliau mengisytiharkan diri dan kumpulannya sebagai Islamis demokrat. Wallahu aklam.

Saya masih kabur tentag kerangka sebenar pemikiran Islamis demokrat ini, mungkin Dr Zulkifli boleh menjelaskannya. Tetapi saya kebimbangan sekarang ini, kerana terlalu banyak pemikiran yang meletakkan sifat kepada Islam sehingga seolah-olah wujud golongan yang memperjuangkan segmen tertentu daripada Islam, bukan Islam yang syumul. Ya! Seperti hanya mendukung demokrasi dalam Islam, tetapi tidak cenderung kepada syariatnya!

Satu masa dahulu Presiden PAS pernah mengkritik pemikiran Abdullah Badawi yang menghadharikan Islam dengan maksud hanya menerima Islam pembangunan atau Islam progresif sahaja, sehinggakan Islam yang asal itu seolah-olah tidak progresif atau mereka tidak mahu menerima bahagian-bahagian lain Islam yang mungkin dianggap “tidak progresif”. Satu hari saya berbicara dengan Prof Wan Mohd Nor Daud, seorang bekas pemikir Islam di ISTAC. Beliau membandingkan Islam Hadhari dengan konsep Sosialisme Islam (Istiraqiyatul Islamiyah) Dr Mustafa Sibaie. Mengangkat tema sosialis yang terdapat dalam Islam itu seolah-olah ada keserupaan mengangkat tema progresif dalam Islam.

Sebetulnya, Dr Mustafa Sibaie terpaksa berbicara tentang ruang sosialisme itu kerana gerakan sosialisme Ba’ath yang begitu mencengkam di Asia Barat menular dari Iraq hingga ke Libya dewasa itu. Bahkan sebahagian aliran di Iran juga menggunakan sosialisme untuk menentang kezaliman Shah Iran. Di celah persaingan itulah, mungkin kerana mahu mengingatkan umat Islam bahawa pemikiran yang berakar daripada Marxism itu sudah terbina dan sedia wujud dalam pemikiran Islam, lalu diwar-warkan sosiaslisme Islam, agar tidak usah dikejar lagi pemikiran dari Barat itu!

Maka jika berbalik kepada konsep Islamis demokrat – dalam apapun tanggapan Barat – bagi pemikiran Islam, ia sudah tentu memberi makna bahawa golongan ini adalah golongan Islam yang hanya beriman dan mahu bergerak di atas ruang demokrasi yang dibuka oleh Islam. Mereka hanya menerima segmen demokrasi daripada Islam. Kilasannya mudah saja, mereka kelihatan bukan sahaja tidak pro, bahkan anti kepada perakuan mahu melaksanakan syariat. Bahkan wacana-wacana hudud pun mahu ditutupkan kerana bimbang terjejas sokongan. Satu masa dahulu, buku “Strategi PAS Menegakkan Negara Islam” hasil kajian PhD Dr Azhar Yaakub (2004) yang telah dicetak, telah dilarang diedarkan kerana tidak mahu mempopularkan “Negara Islam”.

Kemunculan aliran baru yang mendukung pemikiran “PAS Baru” yang kemudiannya dizahirkan untuk menolak kepemimpinan ulamak, lalu dicadangkan gantiannya kepemimpinan kebajikan atau kepemimpinan Islam, amat jelas sekali mahu PAS berfikir semula terhadap Islam syumul yang didukungnya. Mereka mahu Islam yang lebih diterima rakyat, Islam yang lebih demokratik, Islam yang berkebajikan dan seumpamanya. Apakah Islam yang dibawa oleh Nabi SAW itu ditolak manusia, zalim dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat? Mengapa mereka melihat Islam secara yang sempit, dan hanya mahu beriman pada elemen demokrasi dalam Islam, tidak pada keseluruhan syariatnya?

Saya mahu berbalik kepada beberapa pemikiran yang membentuk asas kepada pemikiran dukungan Dr Zulkifli Ahmad dan kawan-kawannya. Satu masa dahulu di Eropah, penentang utama golongan kapitalis ialah komunis atau dalam ideologi politiknya adalah pertembungan antara sosialis dan demokrasi. Kedua-duanya berhajat kepada kuasa untuk menterjemahkan ideologi dalam konteks negara. Di Jerman misalnya, golongan sosialis begitu sukar untuk bertapak dalam pendekatan konflik borjuis-proletariat dukungan mereka, melainkan bergerak di pentas demokrasi yang diizinkan pemerintah. Maka lahirlah golongan sosialis yang bencikan penindasan kapitalis, tetapi bekerja di lapangan demokrasi. Tergelar mereka ini “Sosialis Demokrat”.

Begitu juga ketika Eropah sedang melalui ‘pencerahannya’ pada awal abad ke-16. Di Eropah Tengah lahir golongan Protestan yang mendukung pemikiran yang memisahkan agama daripada politik. Mereka telah berjaya mengeluarkan orang Kristian daripada kongkongan gereja, tetapi rakyat tidak tunduk kepada kekuasaan mereka, sebaliknya mengembalikan kuasa kepada rakyat. Mereka memerlukan kuasa politik untuk mengawal rakyat dan negara, tetapi mereka sendiri berpegang agama dan politik mesti diasingkan. Kemudian lahir daripada golongan Kristian Protestan sekular ini yang mahu terlibat sama dalam persaingan politik yang berteraskan rakyat. Ahli politik pendukung agama yang bersaing di pentas politik demokrasi ini dipanggil “Kristian Demokrat” di Eropah.

Di kalangan gerakan Islam, sekurang-kurangnya semenjak kebangkitan Hassan al-Banna pada awal abad ke-20, yang bekerja untuk menegakkan semula syariat Islam dalam pemahaman Islam yang syumul melalui gelanggang politik dipanggil secara akademiknya “Islamist”. Dengan tidak mempedulikan sama ada mereka mengambil jalan demokrasi hingga tirani yang bermaksud politik, semuanya dilonggokkan sebagai “Islamist” yang dibezakan cuma oleh gelar “modernis”, “tradisonalis” atau “fundamentalis”. Tidak pernah golongan Islam menggelarkan diri mereka dengan lain-lain gelar yang menyempitkan maksud Islam. Mereka hanya menggelarkan diri mereka sebagai pendukung atau pejuang Islam (Islamist).

Pada awal abad yang baru ini lahir pemikir-pemikir baru yang meneliti perkembangan gerakan Islam. Antaranya, Oliver Roy yang telah menyimpulkan pendekatan Islam syumul yang dibawa semenjak revolusi di Iran telah gagal. Ertinya, Roy mengaggap golongan Islamis gagal! Begitu juga Asif Bayef, seorang sarjana di Belanda yang memberi tanggapan dalam bentuk yang lain iaitu berlaku ‘kebijaksanaan’ dalam gerakan Islam yang memperkenalkan pendekatan baru – “Islam tanpa syariat” atau “terima politik Islam tolak syariat Islam”. Kemudian kedua-duanya bersepakat bahawa gerakan Islam telah memasuki gerbang baru perjuangan iaitu “Post Islamism”. Pada mereka pendekatan Islam yang lebih demokratik, tidak keras, mengetepikan syariat, menekankan soal keadilan Islam dan seumpamanya adalah lebih bijaksana dalam dukungan kelompok “post Islamis” ini.

Di Indonesia satu ketika dahulu berhadapan dengan pemikiran aneh yang dibawa oleh Dr Nurcholish Majid atau lebih terkenal sebagai Cak Nur, iaitu seorang pemikir Islam Liberal di sana yang mendukung pluralisme agama. Ketika memimpin Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), Cak Nur telah mempromosikan satu pemikiran baru Islam dalam akhir dekad 1960-an iaitu “Islam, yes; partai Islam, no” yang menyebabkan runtuhnya gerakan politik Islam yang dibina oleh Cokroaminoto, Agus Salim dan Pak Natsir sekian lama, lalu yang berkuasa adalah golongan sekular Golkar. Satu kajian yang dibuat oleh Lily Zubaidah di Sydney, Australia baru-baru ini yang membandingkan antara PAS yang dikuasai oleh golongan baru – golongan “Islam, yes; Islamic syariat, no” – dengan Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) yang mewakili golongan Islam di Maghribi, telah menyimpulkan bahawa PAS sekarang telah menjadi sebuah gerakan post Islamist dengan pendekatan yang baru ini. Satu analisis yang amat menakjubkan tetapi tidak memeranjatkan!  

Posisi baru yang didukung oleh Roy dan Bayef nampaknya mempengaruhi kelompok-kelompok orang Islam yang sedang ‘menggilai kuasa’ sehingga terlupa yang mana wasilah (alat) dan yang mana hadaf (matlamat). Golongan ini nampaknya telah merasai perit “berjuang tanpa menang”, lalu menggagaskan pendekatan baru yang “winnable” dengan meninggalkan matlamat melaksanakan syariat atau sekurang-kurangnya “menyembunyikan” kemahuan kepada syariat. Mungkin inilah Machiavellism dalam politik kelompok ini yang diungkapkan oleh Prof Shahrir sebagai “faedah menghalalkan kaedah”. Dulu Prof Erbakan menjauhkan diri daripada Erdogan kerana approach ini, yang dilihat Erbakan sebagai tergelincir daripada maksud gerakan Islam gagasan al-Banna, Badiuzzaman, Maududi mahupun Natsir dek permainan golongan Machiavellian ini.

Sejarah Islam pernah merakamkan bahawa Dr Ali Syariati, pemikir Iran yang mendukung pemikiran Abdul Hamid Jowdat as-Sahar, seorang novelis radikal dari Mesir pernah menggagaskan konsep “Sosialis beriman”, dengan menggelarkan sahabat Nabi SAW, Abu Dzar al-Ghifari ra sebagai “sosisalis Islam yang pertama”. Melalui pertubuhan Nahzat-i Khoda Parastan-i Sosiyalist (Gerakan Sosialis Beriman), Ali Syariati menggunakan nama Abu Dzar untuk melegitimasikan bahawa golongan sosialis juga beriman. Tulisan Ali Syariati, Abu Zarr Khoda Parast-i Sosiyalist (Abu Zarr: Sosialis Beriman) mewacana pemikiran aneh ini, sedangkan belum kedengaran daripada Rasulullah SAW bahawa ada Islam dalam model sosialis. Hakikatnya, kumpulan mereka adalah orang Islam yang menganut sosialis, bukannya orang beriman yang beraliran sosialis!

Dalam konteks PAS hari ini, kerana amat berhajat kepada kuasa, tanpa hala tuju sebenar yang jelas, maka golongan ini dengan bangga mengisytiharkan kelahiran kumpulan mereka yang digelar “Islamist Democrat” di dalam sebuah parti Islam. Mereka mungkin orang-orang Islam dalam PAS yang beriman kepada demokrasi, lalu mereka menjadi kumpulan Islamis demokrat. Sebetulnya mereka ialah kumpulan “demokratis beragama Islam”. Tidak pernah zahir dalam sejarah bahawa adanya kumpulan Islamis yang mendukung faham tertentu sahaja dalam Islam, seumpama menerima Islam pembangunan (hadhari) atau Islam demokrasi sahaja. Islam tetap Islam! Tidak ada Islam Demokrat, Islam Hadhari, Islam Liberal, Post Islam, Islam Progresif dan seumpamanya. Semua Islam yang tidak lengkap itu hakikatnya neo-sekularisme!        

Teruskan Perjuangan

...Bekerja Untuk ISLAM...

08.30 pagi, Kg. Teras Jernang

1 comment:

Anonymous said...

Ada sahabat Nabi solat tahajjud 2 rakaat tetapi setiap rakaatnya sangat panjang. Ada pula sahabat Nabi yang bersolat tahajjud dengan rakaat yang pendek-pendek tetapi rakaatnya banyak. Demikian juga halnya solat witir.