23 June 2010

kenangan lalu (2002-2007) IV : THABAT DALAM MENEMPUHI JALAN DAKWAH

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu."(af-Fussilat ayat 30)


Thabat di dalam kerja untuk melaksanakan Islam bukan satu perkara yang mudah, walaupun ianya senang di sebut dengan lidah di dalam pengucapan umum, tetapi perlaksanaannya memerlukan kepada persediaan yang cukup rapi dari sudut pentarbiyahan rohani dan jasmani. Kerana itulah Allah swt telah menyatakan di dalam wahyunya


Firman Allah yang bermaksud : Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi( ) Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (al-Ankabut ayat 2-3)


Sebelum penulis mengupas lebih lanjut tajuk ini, lebih baik rasanya diterangkan dahulu makna Thabat untuk lebih memahamkan pembaca sekelian.


Thabat ialah perkataan bahasa arab yang bermaksud Tetap dan teguh. Dan yang lebih tepat lagi ialah istiqamah dalam melaksanakan sesuatu kerja yang diberi.


Sudah menjadi sunnatullah bagi mereka yang ingin memikul risalah nubuwwah ini, mereka akan berdepan dengan pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi samada cabaran dari sudut kemiskinan atau kekayaan, cabaran daripada keluarga sendiri atau masyarakat setempat. Kesemua cabaran ini, memungkinkan seseorang itu hilang istiqamahnya dalam meneruskan kerja-kerja dakwah tersebut.


Kadang-kadang selalu kedengaran di telinga sahabat-sahabat sekelian seperti aku boring dah bagi semangat kat orang, boring dah bagi peringatan kat orang, mereka bukan berubah pun, bahkan balik-balik aku jugak yang kena buat kerja.


Sahabatku, bayangkan kalau Rasulullah SAW dan jugak sahabat-sahabat baginda bersikap demikian. Bagaimana dengan kita hari ini,? jawabnya Islam tidak akan sampai kepada kita.


Kalau kita menyingkap sirah perjalanan dakwah baginda ketika di mekah dahulu, bagaimana penyampaian dakwah dilakukan kepada rombongan-rombongan haji. Dakwah rasulullah bukan terus diterima, bahkan dicemuh pulak dan sebagainya. Yang lebih menyedihkan lagi, Rasulullah berdakwah untuk membina, Abu Lahab pergi terus mengutuk dan cuba meruntuhkan perjuangan baginda secara lansung di depan Nabi!.


Tetapi bagaimana sikap baginda ketika itu, baginda terus berusaha, tidak berjaya tahun ini, tahun depan ada lagi, tidak berjaya tahun depan, cuba lagi pada tahun seterusnya. sehingga Allah swt telah membuka pintu hati kaum aus dan khazraj menerima Islam dan berbaiah dengan Rasulullah SAW dengan mudah. Inilah hasil daripada thabatnya nabi menyebarkan dakwah.


Zaman kini, manusia lebih selesa berdakwah dalam keadaaan selesa, tanpa tekanan, tanpa cabaran, tanpa kesusahan dan sebagainya.


Apakah mereka sudah lupa akan firman Allah SWT yang sentiasa mengingatkan kepada pejuang-pejuang agamanya yang bermaksud


Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (al-Baqarah 214)


Maksudnya :Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar. (ali imran 142)


Apa yang perlu dingat, ganjaran yang besar bagi mereka yang bekerja dengan penuh kesungguhan, bukan mereka yang bekerja sambil lewa. Hanya mereka yang istiqamah sahaja yang dapat ganjaran yang sepatutnya bukannya golongan yang berputus asa.


Di dalam waqi’ seorang pelajar, thabat merupakan satu perkara yang cukup penting, khususnya bagi mereka yang pernah menempuhi kegagalan. Tanpa thabat, kemungkinan ada kalangan mereka dah berhenti sekerat jalan, bercampur pula dengan cabaran-cabaran yang pelbagai di bumi syam khususnya. Apa yang perlu ada bagi penuntut-penuntut ilmu Islam ini, mereka perlu ada satu hadaf yang khusus untuk menaikkan kembali semangat yang telah hilang.


Di sana ada beberapa cara bagaimana untuk terus thabat dan istiqamah di dalam sesuatu khususnya di dalam dakwah islamiyyah ini, cukuplah penulis nukilkan di sini 2 cara sahaja, selebihnya pembaca boleh cari sendiri.


Pertama : iman yang teguh.


Ini boleh dibuat dengan sentiasa memperdekatkan diri dengan pencipta, jangan hanya dekat imtihan sahaja, kalau boleh biar berterusan.


Kedua : ukhuwwah yang mantap.


Yang dimaksudkan ukhuwwah di sini ialah ukhuwwah fillah. Kerana itulah, pejuang-pejuang islam perlu mencari sahabat boleh menegur kita bila-bila masa sahaja. Bukannya sahabat-sahabat yang sibuk mengampu dan memuji tak tentu pasal.


Memang sudah menjadi satu fitrah manusia bahawa mereka perlu hidup berjemaah, semuanya saling memerlukan di antara satu sama lain. Ini bertentang dengan fahaman wujudiyyah yang menyatakan manusia berseorangan dan tidak perlu kepada bantuan orang lain.


Sheikh usamah ar-Rifaie pernah menyebut di dalam salah satu tazkirah ramadhannya dalam menafsirkan ayat 54 daripada surah ar-Rum


Maksudnya :Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.


Beliau menimbulakan satu persoalan Kenapa Allah SWT menyebut perkataaan من ضعف bukan dengan أضعف?


Ini adalah kerana Allah taala menyebut Min Dha’fii dengan makna, Manusia ini, memang zatnya itu lemah, kerana mereka dijadikan daripada Air mani yang hina, kemudian mereka diberikan kekuatan oleh Allah SWT, tetapi manusia ini dengan kesombonannya, mereka hanya bertawakkal dengan kekuatan mereka sahaja tanpa terus bergantung kepada Allah. Kekuatan tersebut samada dari segi kekuatan akal fikiran ataupun kekuatan jasmani…


Intabihlah wahai manusia yang lemah. Begitulah sikap manusia, apabila mereka lupa kepada pencipta mereka sendiri. Kerana itulah manusia perlu hidup saling bantu membantu di antara satu sama lain khususnya di dalam amal Islami..


Jadi marilah sama-sama kita berazam bermula hari ini, untuk terus bersatu demi melihat kegemilangan umat Islam yang pernah digemilangkan dahulu kembali bersinar.


Kita bukan generasi yang sekadar mengenang sejarah tetapi kita adalah generasi yang akan membina sejarah dengan dasar yang kukuh iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Dan pembinaan ini memerlukan kepada pengorbanan yang jitu dan thabat yang berterusan


Firman Allah yang bermaksud :

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta) at-taubah 42


* artikel ini disiarkan dalam Majalah Al-Khauthar, Terbitan Keluarga Penuntut Terengganu Syria (KPTS) pada ogos 2006


www.attakiri.blogspot.com


Bekerja Untuk Islam...

No comments: