25 November 2012

PAS Sentiasa Relevan Dalam Realiti Baru

Hampir 2 bulan, penulis tidak memasukkan sebarang penulisan baru, hanya sekadar memasukkan penulisan orang lain yang penulis rasakan bermanfaat. InsyaAllah, jika diberi keizinan penulis akan cuba mengulas Apa selepas Muktamar dalam masa terdekat ini.

Tulisan yang dikemukakan oleh Pengerusi Ulamak Pelapis PAS ini memang kena pada waktunya. Walaupun ada segelintir yang memandang sinis, tetapi matlamat untuk memberi penjelasan tentang PAS terus wajar diperkenalkan. Moga pembaca mengambil manfaat.

Oleh : Ustaz Khir Muntanaza Ismail

Ketua Lajnah Keahlian dan Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Pusat

Tulisan ini boleh di lihat dalam link di sini
 
PAS adalah parti yang sentiasa terbuka untuk menerima teguran dan kritikan sama ada daripada dalam atau luar parti. Dalam muktamar baru-baru ini, ahli diberikan hak seluas-luasnya untuk menegur pimpinan. Isu penolakan terhadap Kepimpinan Ulamak, penstrukturan semula Harakah, ketegasan dalam perlaksanaan undang-undang Islam dan lain-lain telah menjadi fokus para perwakilan untuk menegur pimpinan. Ia jauh sekali berbanding parti UMNO yang menutup pintu ahlinya untuk menegur.

PAS juga bersedia untuk menerima teguran daripada luar. Bahkan PAS menjemput mereka untuk berdialog dan menegur secara direct dalam majlis yang dianjurkan oleh PAS sendiri walaupun ada orang yang sehingga sekarang tidak memberikan tarikh setelah bersetuju untuk datang.

Doktrin yang perlu ditolak
Menjawab teguran bukan bermakna tidak menerima teguran tersebut. Kadang-kadang jawapan perlu diberikan sebagai satu penjelasan. Doktrin bahawa teguran yang dijawab dianggap tidak diterima harus ditolak. Di samping itu, ada yang menuduh bahawa jawapan yang diberikan adalah reaksi melenting dan melatah. Perlu diingat bahawa senyap, tidak menjawab tidak semestinya bermakna menerima teguran kerana kadang-kadang ia ditolak kerana malas menjawab.

Keras atau lembut dalam menjawab pula adalah berdasarkan teguran yang diberikan. Ini kerana kadang-kadang teguran yang dibuat bukan untuk membaiki tetapi lebih untuk membina persepsi yang buruk terhadap orang yang ditegur.

Justeru itu, tidak pelik jawapan yang diberikan kadang-kadang agak keras. Lihat sahaja kata-kata Saidina Abu Bakar yang keras terhadap Urwah bin Mas'ud, wakil musyrikin Mekah dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah: "Kamu ini manusia yang menghisap kelentik kemaluan berhala al-Latta." Jawapan keras ini dihamburkan oleh Abu Bakar r.a. apabila Urwah menegur Rasulullah s.a.w. yang dilihat ingin menghapuskan dan memusuhi bangsa sendiri (Lihat Sofiy ar-Rahman, 1991).

Undang-undang Islam adalah prinsip dan perjuangan PAS
PAS sebagai sebuah gerakan Islam sentiasa menjaga prinsip dan anjal dalam perkara cabang. Inilah yang diajar oleh Islam dan ditegaskan oleh Muhammad Iqbal, seorang pujangga India bahawa tajdid dan perubahan adalah mesti bertolak daripada keteguhan prinsip dan turathnya. Perkara-perkara yang baik daripada pemikiran baru boleh diambil setelah ditapis dan tidak berlawanan dengan prinsip Islam (Muhammad Iqbal wa manhajuhu fi tajdid al-fikri al-Islami, 2000).

Prinsip dan perjuangan PAS adalah untuk menegakkan Islam termasuk undang-undang-undangnya. Ia adalah syariat Allah yang tidak ada kompromi dalam perlaksanaan. Ia adalah prinsip dan perjuangan PAS yang tidak pernah berubah daripada dahulu sehinggalah sekarang.

Semua negara memerlukan undang-undang. Tidak ada negara yang tidak ada undang-undang. Cumanya undang-undang apakah yang hendak dipakai. PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam ingin melihat undang-undang Islam dilaksanakan dalam negara ini kerana yakin terhadap keberkesanannya untuk menghapuskan jenayah. Ia adalah undang-undang yang datang daripada Allah yang menciptakan manusia. Dia tahu apa yang baik dan buruk untuk manusia dan Dia tahu bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah manusia.

Orang Islam perlu meyakini bahawa undang-undang Islam adalah terbaik untuk mencegah manusia melakukan kesalahan dan jenayah. Ia akan memberikan keadilan kepada semua. Rasuah, salah guna kuasa, memerah harta negara dan kezaliman yang menghiasi politik Dunia Muslim akan dapat diatasi dengan undang-undang tersebut. Rakyat yang membenci pemerintahan zalim sekian lama akan merasa aman dengan terlaksananya undang-undang tersebut dan merasai keadilannya.

Keberkesanan undang-undang Islam akan memberikan hak kepada orang yang dizalimi kerana Islam tidak membenarkan berlakunya kezaliman. Orang yang miskin dan melarat akan terjaga kebajikannya dengan diberikan makanan dan keperluan asasi. Harta negara dibahagi secara adil dan kerajaan diurus dengan penuh amanah di bawah undang-undang Islam. Bahkan bandar yang kotor akan menjadi menjadi bersih dan pengurusan yang buruk menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Ini semua kerana Islam telah dilaksanakan secara menyeluruh termasuk undang-undangnya.

Jangan bina persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam
Rakyat tidak seharusnya dibina dengan persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam. Jangan ditanam persepsi bahawa perlaksanaan undang-undang Islam akan menjadikan negara tersebut negara Mullah. Adalah silap jika berpandangan demikian kerana Rasulullah s.a.w. juga melaksanakan undang-undang Islam di Madinah dan Madinah bukan negara Mullah.

Kesilapan Taliban ketika memerintah Afghanistan dengan undang-undang Islam tidak boleh menafikan keindahan undang-undang tersebut. Ini kerana mereka terlalu jumud dengan mazhab Hanafi, tanpa melihat mazhab yang lain sehingga dilihat terlalu keras melaksanakan undang-undang Islam. Wanita dipaksa memakai purdah dan dilarang bekerja.

PAS berbeza dengan Taliban kerana PAS mengemukakan undang-undang Islam yang meraikan kepelbagaian pandangan mazhab dalam Islam dengan melihat realiti semasa. Contohnya, PAS mengambil ketetapan bahawa Hudud tidak akan dilaksanakan ke atas orang bukan Islam. Wanita akan terus dibenarkan bekerja dan dibela. Justeru, jangan jadikan kesilapan Taliban untuk menafikan keindahan undang-undang Islam.

Persoalannya, kenapa perlu dipilih untuk menanam persepsi buruk terhadap undang-undang Islam sedangkan kita ada pilihan untuk membina persepsi yang baik terhadap undang-undang ini. Kenapa perlu dibina persepsi bahawa undang-undang Islam hanyalah membawa mimpi buruk kepada rakyat. Tangan rakyat akan dipotong, ataupun wanita akan direjam dengan batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya.

Jangan ditiru cara UMNO yang membina persepsi buruk terhadap undang-undang Islam. Undang-undang ini jika dilaksanakan akan menghalang pembangunan kerana batu-batu telah digunakan untuk merejam, berlakunya kekacauan dan pengangguran, rakyat boleh makan sup tangan dan lain-lain lagi yang memburukkan undang-undang Islam.

Kita ada pilihan untuk menanam persepsi yang baik kerana undang-undang Islam membawa rahmat dan kebaikan. Tidak akan ada rakyat yang akan dipotong tangannya, disebat dan direjam dengan batu kerana tidak ada lagi orang yang akan sanggup mencuri dan berzina disebabkan gerun terhadap hukuman Allah. Ia adalah pencegahan daripadaNya. Orang-orang yang dizalimi pasti gembira terhadap hukuman Allah ini. Hanya orang yang zalim sahaja tidak senang dengan hukuman Allah.

PAS sentiasa segar dengan ijtihad baru
Walaupun PAS sebagai gerakan Islam sentiasa tegas dengan prinsipnya memperjuangkan undang-undang Islam, PAS sentiasa menilai pendekatannya. PAS memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik termasuklah ijtihad tahalluf siasi. PAS telah lama berijtihad bahawa pilihanraya adalah syari'e walaupun sebahagian gerakan Islam yang lain baru terlibat dengannya. Begitu juga PAS membenarkan wanita bertanding dalam pilihanraya. PAS sentiasa memahami teks dalam kerangka konteks kerana sedar politik terdedah kepada perubahan.

Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat baru politik Malaysia, PAS menggunakan pelbagai pendekatan baru. Slogan-slogan yang menakutkan tidak pernah digunakan.

Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan telah lama dilaungkan. PAS melaungkan slogan kebajikan dan khidmat masyarakat sejak sekian lama dan dipertegaskan lagi dalam muktamar yang berakhir baru-baru ini dengan konsep negara berkebajikan. PAS memberikan khidmat kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan cita dan cinta rakyat.

Di negeri Kelantan sebagai contoh, kerajaan Pas telah memberikan pelbagai servis kepada rakyat seperti projek Al-It'am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya. Kebajikan rakyat sentiasa dijaga di samping penerangan kepada masyarakat tentang Islam dan undang-undangnya sentiasa berjalan dan mendapat sambutan yang baik. Semua yang dilakukan ini adalah untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi perlaksanaan undang-undang Islam di negeri tersebut.

'Arab Spring' tidak merubah prinsip gerakan Islam
Perlu dijelaskan bahawa walaupun 'Arab Spring' berlaku kerana tidak puas hati dengan pemerintah yang zalim tetapi rakyat memilih gerakan Islam untuk menggantikan pemerintahan tersebut. Ini kerana mereka yakin terhadap Islam dan undang-undangnya sebagai alternatif walaupun pilihanraya yang diadakan turut disertai oleh parti-parti yang berbentuk sekular, nasionalis dan sosialis.

Gerakan Islam yang memerintah di negara Arab sekarang ini tidak pernah mengubah prinsip perjuangan mereka. Dr. Moursi selaku Presiden Parti al-Hurriyyah wal 'Adalah selepas 'Arab Spring' sebelum menjadi Presiden Mesir menegaskan hasrat menegakkan undang-undang Islam ketika muktamar pertama partinya. Setelah menjadi Presiden Mesir, dia juga menyatakan keinginannya untuk melaksanakan undang-undang Islam apabila ditanya dalam satu majlis bersama rakyatnya.

Akhirnya, nasihat dan teguran saya kepada penulis artikel 'Relevankah PAS dalam realiti baru?" supaya jangan menggunakan agama supaya orang ramai makin jauh daripada agamanya. Jangan tanam persepsi buruk di kalangan rakyat terhadap undang-undang Islam atas nama agama sehingga orang takut kepadanya. Penulis artikel tersebut perlu terbuka untuk menerima nasihat dan teguran ini sebagaimana beliau inginkan orang lain menerima tegurannya. Pun begitu, saya tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih atas nasihat dan teguran yang beliau berikan.

..Teruskan Perjuangan...

Bekerja Untuk ISLAM

9.30 pagi, Bandar Baru Bangi

16 November 2012

Penafsiran Ayat "Ikrah" dan Kesilapan Wan Ji ke 2



Sekali lagi penulis penerima email daripada panglima garang untuk memasukkan artikel kedua tentang pandangan beliau terhadap kenyataan Ustaz Wan Ji terbaru. Penulis jangkakan selepas tersiar artikel ini, mesti Ust. Wan Ji akan hantar SMS minta wacana. Harap Ustaz Wan Ji dapat ambil perhatian.

Oleh : Panglima Garang
 
Ayat surah al-Baqarah, ayat 256 yang bermaksud “Tiada Paksaan dalam Agama” semakin banyak dikupas oleh ahli politik, tokoh agama dan masyarakat umum gara-gara mainan arus perdana dalam media cetak dan digital. Perkembangan perbincangan ilmu ini dikira cukup baik bagi perkembangan Islam secara umumnya dan perkembangan ilmu secara khususnya. Namun, disebalik perkembangan baik ini, Wan Jibin Wan Hussin (Wanji) pula cuba menagguk di air yang keruh. Wanji mengambil kesempatan mengemukakan idea-idea yang pelek dan tersasar dari pandangan jumhur ulama. Penulis menemui tiga kedangkalan tafsiran Wanji terhadap ayat ini.

MENAFIKAN TAFSIRAN AYAT INI DITUJUKAN KEPADA NON-MUSLIM

Menurut Wanji, penafsiran ayat ini jikalau ditujukan hanya kepada non-Muslim, penafsiran ini tidaklah betul. Perhatikan coretan Wanji dalam FBnya bertarikh 12/11/12, jam 2:53pm:

Dakwaan ayat 'tiada paksaan dalam agama' ditujukan kpd non muslim sahaja adalah TIDAK BETUL.
ayat itu sifatnya khabariah bukan insya'iyyah.. Dr Mahfuz johor kena baca dau' munir ala tafasir krgn ibn qayyim, juga kupasan Syaikh muhammad al-Ghazali dan Dr Ahmad al-Raisuni.
Perbahasan murtad, bukan pada ayat ini, tp pada ayat yang lain..

         Coretan Wanji ini menjelaskan bahawa ayat ini adalah khabariah bukan insya’iyyah. Maksud insya’iyyah adalah ayat yang mengandungi arahan samada suruhan atau tegahan. Manakala ayat khabariyyah tidak mempunyai arahan. Justeru, khabariyyah adalah ayat yang tidak mempunyai arahan (Hilal 2003: 28, 137, Mustafa  2000: 90, 193).

         Jikalau demikianlah maksud Wanji, ayat ini tidak mempunyai arahan. Lalu Wanji menolak ayat ini bermaksud “janganlah kamu paksa orang masuk dalam agama”. Malah, Wanji menafsirkan ayat ini adalah penjelasan yang mempunyai sifat kebenaran dalam Islam iaitu “tiada paksaan dalam agama”. Wanji bersandarkan tafsiran ini kepada Ibn Qayyim dalam tafsirnya Da’ al-Munir. Namun, apabila penulis membuka kitab tafsir tersebut. Penulis terkejut, kalam Ibn Qayyim (al-Jawziyyah T.th.: 439) secara terang-terang menyebut bahawa:
والصحيح: أن الآية على عمومها فى حق كل كافر
Maksudnya: Dan sahih adalah bahawa ayat ini (menunjukkan) secara umumnya pada hak setiap kafir.

Malah penulis juga terkejut dalam karya yang sama (al-Jawziyyah T.th.: 438) menyebut ayat ini mempunyai makna in’syai:
وهذا نفي فى معنى النهي، أي: لا تكرهوا أحدًا على الدين
Maksudnya: (Ayat) ini adalah nafi yang memberi makna tegahan, iaitu jangan kamu paksa seseorangpun ke arah agama.

         Jelas sekali pandangan tafsir Da’ al-Bayan karya Ibn Qayyim terhadap ayat surah al-Baqarah ini adalah ditujukan kepada non-Muslim dan ayat ini adalah khabariy yang mempunyai makna ‘insya’iy. Jikalau Wanji masih lagi buta memahami karya Ibn Qayyim ini, sila rujuk karya tafsir Ibn Qayyim yang lain iaitu Bada’i’ al-Tafsir (al-Jawziyyah 2005:191) yang menyebut dengan perkataan yang sama tanpa perubahan.

         Saya sungguh kecewa dengan pembohongan Wanji terhadap tafsiran Ibn Qayyim. Tambahan pula, jikalau diteliti nukilan Wanji terhadap kupasan Dr Ahmad al-Raisuni bukanlah tafsiran terhadap ayat al-Quran ini, bahkan hanyalah pandangan peribadi dengan dalil aqal tanpa naqli sedikitpun. Begitu juga Wanji menyandarkan kepada Sheikh Muhammad al-Ghazali tanpa menukilpun pandangan ulama yang disegani ini.

         Pembohongan Wanji turut disulami cubaan mengelirukan orang ramai dengan mencoret pada masa 4.20 a.m bertarikh 12/11/12:

ada juga ayat al-Quran dikhususkan untuk non Muslim jer... eh, dorang nak pakai kitab dorang.. apasal pula dorang kena ikut Quran pula?

         Namun, pandangan Wanji telah ditolak oleh rakan FBnya iaitu Ahmad Izzat yang menyatakan, “khitab Allah waktu tu untuk orang kafir. Al-Quran untuk seluruh alam. Kalau untuk muslim sahaja, kenapa ada ayat2 dalam Quran yang refer to kafir?”. Ahmad Izzat merujuk kepada beberapa kalimat al-Quran yang menyebut “Wahai orang kafir”. Tetapi seperti biasa kedapatan dalam FBnya, banyak persoalan yang hanya didiam sahaja jika tidak mampu dijawab.

KEDANGKALAN MENILAI ASBAB AL-NUZUL

Wanji merupakan seorang yang dangkal usul tafsir. Wanji lupa mengenai method mufassirin adalah mengutamakan penafsiran ma’thur berbanding ma’qul. Ma’thur adalah terdiri daripada hadis nabawi, athar sahabat dan tabi’in serta asbab al-Nuzul.

         Kedangkalan Wanji jelas kelihatan apabil Syah Hafiq menjelaskan ceramah terkini Prof Madya Dr Asri Zainal Abidin di Dewan Ibn Qayyim yang menyatakan , “tidak ada makna lain ayat tersebut kecuali apa yg disebut dalam kitab muktabar, bahawa ia merujuk kes bukan Islam dipaksa menjadi Muslim.

Wanji membangkang padangan MAZA dengan dua jawapan iaitu:

Jawapan pertama: Menurut Wanji:
“Kaedah usul fiqh, semua ayat bersifat umum, kecuali ada nas yg saheh dan sareh menkhususkan ayat. Ok, apa nas yag saheh dan sareh, mentakhsiskan ayat ini untuk non muslim sahaja. Silakan dtgkan bukti”.

Jawapan kedua: Menurut Wanji lagi:
“Itu asbab nuzul. Maza bawa dua je, dlm perbentangan ana ttg ayat ni, ana dtgkan empat asbab nuzul. Hadis itu, sifatnya ahad. Dan ia tidak sareh, mentakhsiskan untuk non muslim sahaja”.

        Secara jelas, Wanji mempertikaikan Asbab al-Nuzul yang ada pada ayat surah al-Baqarah tersebut. Benarkah Asbab al-Nuzul ini tidak kuat? Penulis menemui jawapan yang patut Wanji memikirkan semula pandangannya.

         Sandaran Asbab Nuzul surah al-Baqarah ayat 256 adalah hadis dari Ibn ‘Abbas berkata: Diturunkan (ayat) ini kepada golongan al-Ansar. (Di mana) seorang perempuan yang tiada anak, menjadikan (sumpah) atas dirinya jikalau seorang anaknya hidup, dia akan menyahudikannya. Apabila Bani Nadir telah dikalahkan, jadilah pada mereka (anak-anak diserahkan) kepada kebanyakan anak-anak al-Ansar. Lalu mereka (Bani Nadir) berkata: Kami tidak meninggalkan anak-anak kami. Lalu Allah Ta’ala menurunkan “Tiada paksaan dalam agama”.

         Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dalam sunanya dalam kitab al-Jihad, bab fi al-‘Asir Yukrah ‘ala al-‘Islam bernombor 2307. Hadis ini ditashihkan Ibn Hibban kitab al-Iman, bab al-Taklif, hadis bernombor 140. Menurut al-Baniy dan Shu’aib al-Arnu’ut dalam sahih Ibn Daud, hadis ini adalah sahih  dan mengatakan, “Sanadnya sahih atas syarat keduanya (al-Bukhari dan Muslim(“.

         Ternyata hadis ini benar-benar sahih dan sungguh kukuh. Mengapakah Wanji masih hendak menentang hadis tersebut? Kelihatan Wanji menentang Asbab Nuzul dengan mengemukakan dua dolak dalihnya iaitu:

Dolak dalih pertama: Atas nama Usul Fiqh.

Wanji menyebut dalam FBnya pada tarikh 12/11/12, waktu 2:43am:
“Kalau belajar usul, ada pendpt mazhab menyatakan takhsiskan umum quran dgn hadis ahad pun dah ditolak. Ini berlaku dlm mazhab hanafi.Kalau hadis ahad pun, tidak boleh takhsiskan umum quran, inikan pula nak sandarkan kpd asbab nuzul. Guna disiplin fiqh la oi, bukan literal dgn sebuah kitab jer..

     Kalam Wanji ini tanpa melihat perbincangan secara detail Imam Abu Hanifah dalam usul Fiqh. Walaupun Abu Hanifah tidak membenarkan takhsis al-Quran dengan hadis Ahad, Abu Hanifah mengambil pendekatan hadis boleh menasakhkan hukum al-Quran (al-Baydhawi 1996: 323) tanpa menasakhkan ayat. Dengan perkataan lain, jikalau disebut dalam al-Quran, Tiada paksaan dalam agama, hadis sesiapa yg menukarkan agamanya hendaklah dibunuh yang merupakan hadis ahad menasakhkan sebahagian hukum tiada paksaan dalam agama tersebut. Ini bermakna Muslim yang keluar agama wajib dibunuh, tidak terhadap non-Muslim kerana tiada paksaan baginya.

     Perlu diberi perhatian bahawa pendapat mazhab Jumhur pula membenarkan hadis ahad mentakhsiskan ayat Quran yang umum (al-Baydhawi 1996: 324). Justeru itu, hadis hendaklah dibunuh orang yang murtad boleh mentakhsiskan ayat tiada paksaan dalam agama. Maka seorang Muslim itu terkecuali daripada tiada paksaan dalam agama.

     Untuk memudahkan kefahaman Wanji, kesemua ulama mazhab empat iaitu Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah bersepakat bahawa jikalau telah thabit seseorang itu murtad dari agama Islam, wajiblah membunuhnya dan menumpahkan darahnya (al-Jaziriy 2004.: 327). Sudah jelas walaupun ilmu usulnya berlainan, natijah pandangan ulama Muktabar tidak bercanggah pada memahami ayat ini.

Dolak dalih kedua: Atas nama ‘ilmu tafsir

Wanji menambah kedangkalannya dalam ilmu tafsir. Wanji menyebut:
ÇáÚÈÑÉ ÈÚãæã ÇááÝÙ áÇ ÈÎÕæÕ ÇáÓÈÈ
kalau nak ikut asbab nuzul ayat sahaja, ia akan jadi jumud dlm
tafsiran ayat. Nak kupas tafsir pun, biar ada disiplin, bukan pakai rembat jer..
Kena fhm, kerangka ayat, klasifikasi ayat dll..

         Sudah tentu kedangkalan Wanji lebih terserlah dengan ungkapan dan coretan sebegini.  Wanji langsung tidak memandang hadis sebagai sumber utama menafsirkan al-Quran. Malah, Wanji juga lupa klasifikasi ulama Mufassirin kepada dua penafsiran iaitu tafsir bil Ma’thur dan tafsir bil Ma’qul. Tafsir bil Ma’thur mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam penafsiran al-Quran (al-Zhahabiy 2000: 112). Sepatutnya Asbab al-Nuzul yang terbukti sahih dijadikan panduan. Malah, jikalau tafsir Ma’qul bercanggah dengan Ma’thur, penafsiran akal wajib meraikan Ma’thur. Justeru, timbulah dua method penafsiran al-Quran yang diterima pakai iaitu method tafsir bil Ma’thur dan gabungan tafsir Ma’thur dan Ma’qul. Bukan hanya Ma’qul semata-mata.

         Saya menyeru Wanji kembali ke pangkal jalan. Meniti kembali jalan Islam yang mengutamakan al-Quran dan al-Sunnah yang dijaga rapi dengan setiap sisi keilmuan Islam. Bukan berdolak dalih dan memberikan tafsiran songsang. Cukuplah coretan Wanji yang menyimpang dengan mengatakan, “ayat 256 dari surah al-Baqarah itu, secara dilalah ima' (إيماء), ia menceritakan tentang kualiti iman bagi muslim; sama ada muslim yg sedia ada atau non muslim yg nak masuk Islam”. Pendalilan seperti ini memang merupakan tafsir ‘isyariy yang banyak digunakan oleh golongan Sufi. Namun, tafsir ini tertolak jikalau bercanggah dari makna ayat yang asal. Kembalilah rujuk Sunnah nabawiyyah yang dipegang rapi oleh Salafussoleh dari para ulama yang muktabar tanpa sesat dan tanpa menyesatkan.


Rujukan:

al-Baniy, Nasaruddin. 1993. Sahih Ibn Hibban. Bayrut: Mu'assasah al-Risalah

al-Baydhawi, Muhammad Bin Umar. 1996. Minhaj al-Wusul fi 'ilm al-'Usul. Dlm. al-Tahqiq al-Ma'mul li Minhaj al-Usul 'ala al-Minhaj. Tanta: al-Turkiy.

Hilal. H. 2003. Mu’jam Mustalah al-Usul. Bayrut: Dar al-Jayl.

al-Jaziriy, Abdul Rahman. 2004. al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-‘Arba’ah. Kaherah: Dar al-Hadith.

al-Jawziyyah, Ibn Qayyim. T.th. Dau’ al-Munir 'ala al-Tafsir. Riyadh: Maktabah Dar al-Salam.

al-Jawziyyah, Ibn Qayyim. 2005. Bada'i' al-Tafsir.  Riyadh: Dar Ibn al-Jawziy.

Mustafa Q.A. 2000. Mu’jam Mustalahat 'Usul al-Fiqh. Bayrut: Dar al-Fikr al-Mu'asir.

Al-Zhahabi, Muhammad Hussin. 2000. Kaherah: Maktabah Wahbah.