21 April 2011

PAS ; Gerakan Islam ( Pandangan balas kenyataan Prof. Dr. Aziz)

Sudah 2-3 hari penulis hendak menulis tajuk ini, berkebetulan ketika kawasan Bukit Bintang mencalonkan YB Dato' Husam sebagai Presiden baru-baru ini. 2 hari lepas pula, keluar statement dari Prof. Dr. Aziz Bari tentang Presiden PAS menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat. Tuan Guru Musyidul Am dan DPPWP pun telah menjawab kenyataan kenyataan tersebut.

Apabila menyebut tentang liabiliti, penulis teringat kepada satu kajian survey berkenaan dengan persepsi masyarakat terhadap kepimpinan Dato' Seri Anwar dan PKR yang dijalankan oleh Universiti Malaya (Sila klik sini).

Laporan itu menunjukkan bahawa pelbagai krisis yang berlaku dalam PKR samada isu keluar parti beramai-ramai, lompat parti dan sebagainya menjejaskan keyakinan pengundi terhadap PKR. Hasil kajian ini cukup membimbangkan parti komponen yang lain. Isu ini juga memperlihatkan ketidakmampuan Dato' Seri Anwar Ibrahim mengendalikan karenah dalaman parti sendiri. Dalam hal ini, Kenapa Prof. Dr. Aziz tidak mengeluarkan kenyataan bahawa DSAI dan PKR menjadi liabiliti kepada Pakatan sebagaimana pernah dikeluarkan kenyataan bahawa Tuan Guru Presiden lemah kerana tidak mampu selesaikan krisis yang berlaku antara Pesuruhjaya PAS Selangor dengan YB Khalid Samad.!

Bagi penulis, PAS sentiasa terbuka untuk kritikan kerana antara tugasan PAS ialah bergerak sebagai parti politik yang memerlukan sokongan ramai. Namun kritikan yang dilontarkan perlu mempunyai fakta yang jelas supaya PAS boleh membuat pembaharuan. Penulis lebih suka mendengar kritikan daripaa Dr. Abu Hassan Hasbullah yang jelas berfakta dan boleh diterima pakai. Ini yang membantu PAS untuk meningkatkan lagi.

Ini berbeza dengan kenyataan Prof. Dr. Aziz Bari yang lebih dilihat sekadar sentimen-sentimen tertentu tanpa fakta bahkan bersalahan dengan fakta.!

Fakta-fakta terkini menunjukkan bahawa PAS telah mendapat peningkatan terkini terhadap undi melayu (sila klik sini). Cuma peningkatan tersebut masih belum membuatkan calon PAS mencapai kemenangan.

Dalam isu liabiliti juga, penulis bersetuju dengan kenyataan Mursyidul Am bahawa PAS mempunyai asas tersendiri dalam menaikkan dan menurunkan pemimpin. Sekadar tidak memenangan kerusi pilihanraya bukan satu asas yang kukuh untuk turun dari jawatan.

Bahkan PAS bergerak atas tiga pecahan mesti mempunyai kewibawaan dalam ketiga-tiga cabang ini. Pemimpin atasan PAS bukan sahaja perlu lincah berpolitik, tapi hebat dalam dakwah dan kejap dalam agenda tarbiyyah. ini antara requirement diletakkan dalam piawaian untuk memilih pemimpin dalam PAS. Walaupun piawaian ini tidak diletak secara bertulis, tetapi perkara ini difahami oleh perwakilan-perwakilan secara semulajadi.

Pun begitu, penulis tetap berterima kasih kepada prof. Dr. Aziz Bari atas kritikan walaupun dengan fakta yang SILAP tetapi telah memperlihatkan kebersamaan dengan Mursyidul Am dengan Tuan Guru Presiden yang sebelum ini pernah dilihat seakan-akan berlaku pertentangan dengan kedua-dua Tok Guru ini.

(Kelihatan dua Tok Guru sedang membincangkan sesuatu)

Sedutan kenyataan Tuan Guru Presiden : Bagi jawatan presiden sendiri, jika ada pencalonan oleh pemimpin lain untuk menentang saya, saya sendiri mengalu-alukannya kerana saya pun bukan untuk menjadi pemimpin selamanya. Sebaliknya saya sendiri pun dah semakin berumur dan memang memerlukan barisan pelapis. sedutan penuh boleh dilihat di sini.

www.attakiri.blogspot.com

...Bekerja Untuk ISLAM...

(Kg.Teras Jernang ; 9.45 pagi)

18 April 2011

Umur Semakin Tua, Masa Semakin Suntuk

"Selamat menempuh hari tua", ini antara ucapan yang biasa penulis ucapkan kepada sahabat-sahabat yang menyambut hari lahir. Erm..sememangnya manusia semakin tua dari hari ke hari, dari semasa ke semasa. Harap yang dapat ucapan begitu dari penulis, jangan kecil hati. Penulis memang suka bagi ucapan yang agak berbeza sikit.

Nabi SAW pernah bersabda :

Maksudnya : Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk (amal yang baik), dia akan mendapat ganjaran (pahala dan sama) sebanyak pahala orang-orang yang mengikuti (petunjuk dan amal kebaikan itu) dengan tidak mengurangi sedikit pun ganjaran yang didapati daripada pahala-pahala orang mengikutinya. dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan kesesatan (amalan buruk), dia akan menanggung dosa sebanyak mana dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa yang didapati daripada dosa-dosa orang mengikutinya. (hadis direkod oleh Muslim)

Perbuatan yang baik dalam Islam sungguh mudah. Segala perkara yang harus dan diniatkan kerana Allah, pasti akan mendapat pahala. sementara perkara dosa ialah perkara yang dilarang dalam Al-Quran dan Sunnah.

Teringat satu perbualan dengan Dr. Khazani Abdullah CEO Significant Technologies Sdn. Bhd antara lain menyebut " antara kelemahan seorang lulusan agama, ialah kelemahan dalam merancang untuk akan datang, apa yang akan jadi pada dirinya pada masa akan datang, adakah seorang lulusan agama ini cukup sekadar menjadi penceramah bebas yang glamour, macam mana, apabila seorang ustaz ini tua dan tidak glamour lagi?"

Penulis mengambil positif terhadap nasihat yang dilontarkan. Apa yang beliau maksudkan ialah keperluan seorang lulusan agama memberi sumbangan dalam bentuk yang kekal dan digunapakai.

Sumbangan yang kekal mungkin dalam bentuk penulisan dan kajian yang boleh digunapakai oleh pembaca atau pembinaan sistem yang di ambil daripada Al-Quran dan aplikasikan dalam bentuk semasa tanpa menjejaskan maksud asal penafsiran daripada Al-Quran dan sunnah.

Ulamak silam telah meninggalkan khazanah yang begitu berharga yang masih dijadikan rujukan sehingga kini.

Sistem ekonomi Islam boleh menjadi sebagai contoh. Islam datang dengan pakej yang lengkap. Yang berbaki kepada umat Islam khususnya lepasan agama, bagaimana nak menterjemahkan dalam bentuk semasa dan boleh digunapakai.

Ini bermakna, kalau seorang lulusan agama perlu menambah kemahiran dalam bidang yang lain bagi memastikan dia mampu mengetengahkan kesempurnaan sistem Islam, maka dia perlu belajar.

Kalau minat dalam pengurusan pentadbiran dan kepimpinan, semestinya seorang lulusan agama perlu menambah faham terhadap sistem pentadbiran semasa dan segala bentuk kualiti dalam pengurusan yang ada dalam pasaran semasa. Ini untuk memudahkan seseorang mengupas kelebihan dan keistimewaan yang dalam Islamic Management & Administration.

Termasuk juga keperluan untuk terlibat secara teori dan praktikal.

Nasihat-nasihat yang diberikan, penulis akan cuba untuk mengarap semampu mungkin walaupun dalam keadaan yang payah didisiplinkan.

Sekurang-kurangnya, penulis berharap mampu meninggalkan satu ikutan yang baik yang mampu diikuti dan menjadi seakan-akan pencen yang berterusan apabila diri ini tidak lagi berada di dunia ini,.

Tulisan ini sekadar untuk memberi semangat baru kepada penulis supaya lebih berdisiplin dalam merencanakan segala perancangan

Umur semakin tua, masa semakin suntuk

(Sambutan Hari Lahir di Pejabat..Terima kasih sahabat-sahabat ;D)

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mengucapkan selamat hari lahir kepada penulis dalam laman sosial Facebook. Mujur ada facebook :D.

www.attakiri.blogspot.com

...Bekerja untuk ISLAM...

(Seri Kembangan ; 2.12 petang)

17 April 2011

Teruskan Dakwah

Keputusan PRN Sarawak memperlihatkan kekalahan kelima-Lima kerusi yang ditandingi. Pun begitu, majoriti meningkat dan beberapa cawangan berjaya ditubuh.

Penulis cukup bersetuju dengan pandangan Ust. Hasrizal dalam Facebooknya antara lain memandang isu di Sarawak sebagai pandangan dakwah. Ya, PAS memasuki Sarawak untuk melebarkan lagi produk PAS yang merupakan sebuah gerakan Islam yang memperjuangkan Islam melalui tarbiyyah, dakwah dan siyasah.

Bahkan di Beting Maro, Pas telah mula menapak semenjak awal 90-an lagi melalui Pas Kelantan. Kdmasukan Pas bukan semata-mata untuk mendapat undi. Tetapi lebih kepada penerapan dakwah bagi mengimbangi pengaruh kristianisasi yang berlaku.

Tahniah buat Pas dan petugas yang bertungkus lumus berjuang di Sarawak dengan mengorbankan Wang ringgit dan diri demi untuk membantu Pas. Mereka berjuang bukan untuk mencari nama, tapi untuk mencapai keredhoan Allah SWT.

www.Attakiri.blogspot.com

...Bekerja Untuk Islam...

(KUIS : 10.45pagi)

Dihantar melalui mobile....

15 April 2011

فإذا عزمت فتوكل على الله

Rasulullah SAW begitu hebat berdoa dalam peperangan Badar sambil ditemani oleh Abu Bakar RA untuk menjaga keselamatan Baginda. Rasulullah SAW mengangkat tangan berdoa dan merayu supaya diberikan kemenangan dalam menentang Musyrikin Mekah di Medan Badar.

Doa Nabi dipanjatkan selepas Nabi merancang strategi dan menghantar tentera Islam ke medan perang. Walaupun dalam bilangan yang sedikit dan kelengkapan yang sangat minimun, Nabi berusaha untuk mempertahankan Islam selepas diizinkan oleh Allah untuk berperang.

Nabi tidak pernah berdoa tanpa berusaha. dan tidak pula berusaha tanpa berdoa.Usaha dilakukan seoptimun mungkin mengikut kemampuan yang ada. Selebihnya diserahkan kepada Allah SWT.

Inilah yang diamalkan oleh gerakan Islam PAS dalam menempuh setiap ujian dan pilihanraya. Memang tidak dinafikan, kekuatan PAS begitu kurang berbanding pihak lawan, Kewangan PAS begitu sedikit berbanding dana pihak lawan. Tetapi PAS yakin dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ; 249

Maksudnya : Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah :" Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang ramai dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama dengan orang-orang yang sabar"

Tuan Guru Dato' Seri Presiden selalu menyebut dalam setiap ceramah dan kuliah, tiada kerajaan dan bangsa yang kekal kecuali kerajaan Allah SWT. Kenyataan ini adalah dirujuk kepada

Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak pergi berkempen secara langsung di Sarawak, gunakan senjata yang paling ampuh iaitu sama-samalah bermunajat dan berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan dan kemenangan oleh Allah untuk PAS dan Pakatan Rakyat. Dalam masa yang sama, petugas di sana juga perlu sama-sama berdoa.

Tuan Guru Presiden sedang berdoa ketika di Galas

Sesungguhnya kita telah berusaha seoptimun mungkin. Hampir kesemua tempat telah diziarahi dan disantuni. Segala bentuk perancangan dan kelebihan PAS telah disampaikan. Berbaki ialah berdoa kepada Allah SWT.

Dengan itu, marilah sama-sama menyahut seruan Pimpinan PAS supaya terus bermunajat sama ada bersendirian atau berjemaah.

Semoga kawasan yang ditandingi PAS mendapat kemenangan atau sokongan kepada PAS meningkat daripada Rakyat Sarawak.

Sesungguhnya PAS mempunyai Produk yang terbaik kerana Islam menjadi asas pergerakan dan perjuangan.

Maksudnya : Kemudia apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu), maka bertawakkallah kepada Allah, Sesungguh Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

Seorang Sahabat Nabi SAW pernah bertanya :

يا رسول الله أرسل راحلتي و أتوكل ؟ فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم : بل قيدها و توكل

Maksudnya : Ya Rasulullah, adakah aku perlu melepaskan kenderaanku dan aku bertawakkal, Jawab Nabi SAW : Bahkan kamu mesti mengikatnya kemudian baru bertawakkal (Hadis riwayat Al-Hakim, Az-Zahabi menyebut sanadnya Baik).

Kemenangan dan kekalahan terletak dalam kuasa Allah. HambaNya hanya berusaha

www.attakiri.blogspot.com

...Bekerja Untuk ISLAM...

(11.30 pagi ; Seri Kembangan)

13 April 2011

Cebisan Kuliah 1 : Sombong Perosak Aqidah

Menulis tentang aqidah dalam bentuk penulisan yang ringan dan santai agak sukar. Pun begitu, penulis cuba supaya penulisan tentang aqidah mudah difahami secara jelas. Dr.Abd Rahman Mahmood, salah seorang pensyarah aqidah di UKM pernah menyebut bahawa semua perkara yang berkaitan dengan aqidah adalah boleh diterima dengan akal.

Ini bermakna segala keraguan dalam aqidah boleh dijawab dengan syarat umat Islam sanggup belajar tentang aqidah. bahkan menjadi fardu ain kepada umat Islam untuk belajar tentan rukun Iman supaya mengelak daripada taqlid buta. sebab ulamak mengharamkan taqlid dalam aqidah.

Antara perkara asas dalam aqidah ialah beriman kepada Allah, tuhan yang esa. Inilah antara perkara asas yang diajar oleh Rasulullah SAW ketika memulakan dakwah di Mekah selepas dilantik menjadi Nabi dan Rasul.

Keimanan boleh diterjemahkan sebagai percaya. kepercayaan kepada kewujudan Allah sebagai tuhan penting kerana apabila keyakinan itu wujud, barulah segala arahan dan larangan dapat dilaksanakan dengan penuh hati dan yakin. ibarat seorang pekerja terus tekun bekerja di sebuah syarikat kerana percaya syarikat tersebut kukuh dan mampu membayar gaji pekerja tersebut.

Islam mengajar manusia bagaimana hendak menyakini kewujudan Allah melalui kesan penciptaanNya yang dapat dilihat sekeliling sama ada kejadian alam dan kejadian manusia sendiri. Bahkan segala bentuk kesan kekuasaan ini juga sebagai tanda bahawa sebagaimana Allah mampu menciptakan alam ini yang melebar setiap hari, begitu juga manusia perlu menyakini bahawa manusia boleh dibangkitkan selepas mati.

Ini kerana, Kalau Allah mampu mengcipta manusia daripada setitis mani yang sedikit, apatah sangat dengan menghidupkan orang yang telah dicabut rohnya atau mengcantumkan kembali tulang yang telah hancur. Inilah yang disebut oleh Allah dalam Surah Yaasin, ayat 81-83


Maksudnya : Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana ia menciptakan mereka dahulu? ya! diakui dan dipercayai berkuasa! dan Dialah Pencipta yang tiada bandinganNya lagi yang maha mengetahui. Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki sesuatu hanya Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu : "jadilah engkau". maka ia terus menjadi. Oleh itu akuilah kesucian Allah, tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan

Percaya kepada Allah akan mengaitkan kepada kepercayaan kewujudan Hari Akhirat, Percaya kepada kewujudan hari Akhirat akan mengaitkan kepercayaan kewujudan dosa dan pahala. Kepercayaan kepada dosa dan pahala akan membawa kepada konsep pengawasan kendiri yang mampu mengawal mengawal manusia daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT walaupun tanpa pengawasan penguatkuasa.

Namun dalam masa yang sama tidak dinafikan peranan syaitan yang menyebabkan manusia kerap tergelincir dari pergerakan. Tetapi, peluang taubat kepada Allah masih terus di buka.

Manusia secara fitrah mengakui kewujudan Allah. Gambaran Al-Quran menceritakan bagaimana apabila manusia berada dalam keadaan yang cukup getir, pasti sebutan Allah akan terpacul dari mulut mereka.

Ini dijelaskan dalam surah Al-Isra' ayat 67


Maksudnya : Dan apabila kamu terkena bahaya di laut (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah ; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya) ; dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah)

Perumpamaan Al-Quran tentang musibah di lautan menunjukkan bahawa ketika itu, manusia memang tidak mampu bergantung kepada sesiapa pun samada manusia itu kaya, gagah, ramai pengikut, pemimpin dan sebagainya. Ketika itu, secara automatik, manusia pasti akan berdoa kepada Allah.

Pun begitu, memahami aqidah dengan fitrah dalaman tidak mengcukupi, ia perlu dilengkapkan dengan pemahaman ilmu agama yang diasaskan dengan asas yang Al-Quran dan hadis.

Walaupun Aqidah Islam dapat diterangkan secara rasional dan menepati akal manusia, namun masih terdapat manusia yang terus menerus sombong daripada menerima pemahaman aqidah ini.

Allah SWT telah menyebut satu kisah bagaimana terdapat dua orang sahabat yang kaya dan mempunyai sumber pendapatan daripada hasil kebun masing-masing. Kebun-kebun tersebut begitu subur dan cantik. Bahkan setiap kebun itu, terdapat aliran sungai yang menggambarkan betapa suburnya kebun-kebun itu. Namun salah seorang daripada mereka sombong dengan sebab harta yang dimiliki lebih banyak dan mempunyai pengikut yang lebih ramai daripada sahabatnya. Kesombongannya bukan sekadar itu sahaja, bahkan sombongnya sehingga mula tidak mempercayai kewujudan hari akhirat. ( rujuk Surah Al-Kahfi ; 32 - 40)

Harta, pengikut dan kuasa antara salah satu penyebab kepada sombongnya manusia daripada menerima arahan Allah. Firaun, Namrud, Abu Lahab dan seteru Allah yang lain menentang nabi-nabi yang diutuskan dengan sebab sombong dan bukan dengan sebab tidak memahami. Bahkan Nabi-nabi datang dengan membawa hujjah yang jelas, tetapi mereka terus sombong daripada menerima hakikat kebenaran itu.

Jadi, lebih baik kita berhati-hati dalam perkara ini. Pun begitu, bukan bermakna Islam mengharamkan mengumpulkan kekayaan dan mengambil ramai pekerja. Cuma sentiasa menganggap bahawa segala kurniaan adalah amanah, dan gunakanlah amanah itu dengan sebaik-baiknya.

Seseorang itu telah dianggap amanah dalam harta apabila sumber harta dijana secara halal, zakat dikeluarkan, tidak menipu dalam perniagaan dan segala perkara yang termaktub dalam perbincangan syariah.

Peringatan ini sebagai satu pesanan untuk manusia lebih berhati-hati. Jauhkan diri daripada sombong menerima peringatan walau sehebat manapun kita.

Maksudnya : Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci disisi tuhanmu


www.attakiri.blogspot.com

...Bekerja Untuk ISLAM...
(Seri Kembangan; 5.50 petang)

11 April 2011

Dia adalah pakaianmu...

Semenjak blog "bekerja untuk Islam" diwujudkan, penulis tidak pernah mencoretkan tulisan berbentuk kekeluargaan. Pernah mencuba, tetapi tidak dapat diteruskan. Mungkin kerana malu dengan diri sendiri untuk menulis berkenaan dengan kekeluargaan, atau mungkin penulis merasa pembaca boleh tengok tulisan yang lebih baik tentang motivasi kekeluargaan.

Seorang sahabat pernah memberi pesanan kepada penulis dua hari sebelum mendirikan rumah tangga. Antara pesanannya ialah apabila mendirikan rumah tangga, jangan terlampau mengharapkan kesempurnaan daripada isteri dan jangan terkejut jika our expectation begitu tersasar daripada realiti yang ada.

Pernah diceritakan kepada penulis, bagaimana sepasang kekasih pernah bercinta sampai 12 tahun, bermula dari sekolah menengah sehingga menyambung pengajian ke luar negara. Tetapi, perkahwinan yang dilangsungkan hanya kekal selama 6 bulan sahaja.

Isteri penulis pernah menceritakan apa yang didengar daripada radio Ikim.fm dalam slot motivasi kekeluargaan antara lain menyebut bahawa si isteri jangan menunjukkan kepada suami bahawa dia mampu melakukan segala-galanya di awal perkahwinan bermula daripada memasak, mengemas rumah dan membasuh kain. Ini akan membuatkan si suami tidak akan membantu isterinya dengan anggapan isteri tidak memerlukan pertolongannya. Padahnya apabila mereka mempunyai anak, suami masih lagi mempunyai anggapan yang sama ataupun berkemungkinan si suami tidak pandai dalam urusan dalam rumah. Akhirnya segala kerja dalam rumah dilakukan oleh isteri sahaja tanpa mendapat bantuan suami.

Penjelasan tentang erti perkahwinan dalam Islam cukup baik. Islam tidak pernah menganggap isteri sebagai orang gaji yang kerjanya mengemas rumah, membasuh kain dan memasak. tetapi Islam menganggap isteri seperti pakaian yang saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Seorang suami akan menyembunyikan sebanyak mungkin kecacatan pada pakaian sendiri supaya tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan pakaian yang lama tetap akan dijaga supaya tidak dilihat sebagai usang dan lama khususnya pakaian kerja.

Penulis pernah mendengar cerita bahawa seorang ulamak sebelum menceraikan isterinya pernah ditanya, "kenapa tuan ingin menceraikan isteri",

Jawab ulamak tersebut " dia adalah pakaianku, aku tidak akan menceritakan kepada umum keburukan pakaianku".

Selepas ulamak tersebut menceraikan isterinya, lantas ditanya "Kenapa Tuan menceraikan isteri Tuan".

Jawab ulamak tersebut " dia sudah tidak ada kena mengena denganku, kenapa mesti aku menceritakan keburukannya".

Ini menunjukkan bahawa aib isteri atau aib suami mesti disimpan sampai bila-bila. sama ada ketika masih dalam ikatan ataupun tidak.

Seorang sahabat yang lain pernah memberi nasihat kekeluargaan kepada penulis antara lain menyebut bahawa kunci kebahagian suami isteri adalah berterus terang. Jangan sembunyikan jika ada perkara yang tidak berpuas hati. Lebih baik berterus terang daripada menyembunyikan sesuatu perkara sampai membengkak dan dihamburkan sekaligus apabila kebencian memuncak. Ini memungkinkan perhubungan boleh menemui titik pengakhiran.

Pesanan-pesanan ini penulis amalkan ketika menjalani rumah tangga dan pesanan ini penulis perturunkan kepada sahabat-sahabat yang ingin mendirikan rumah tangga.

Penekanan Islam tentang konsep hubungan suami isteri dengan ungkapan Isteri adalah pakaian suami dan suami adalah pakaian isteri menandakan bahawa isteri bukan berdarjat rendah berbanding suami. bahkan perlantikan suami sebagai ketua keluarga bagi memudahkan keputusan dijalankan tanpa mengetepikan perbincangan dalam urusan kekeluargaan.

Oleh itu, berikan penjelasan kepada isteri dalam setiap tindak tanduk yang boleh mencurigakan isteri. Jika anda seorang pejuang, fahamkan isteri tentang erti perjuangan supaya si isteri mampu memberi pengorbanan dan kerjasama dengan sebaik mungkin.

Teguran yang dilakukan kepada isteri sama ada secara biasa atau dengan sedikit meninggi hendaklah dilakukan dengan tujuan untuk membetulkan keadaan dan bukan dalam keadaan untuk menunjukkan "kuasa" seolah-olah suami tahu segala-galanya. Sebab itu, penulis cukup tension dan jelek jika mendengar seseorang suami menegur isteri dengan menengking di hadapan ibu mertua atau di depan orang lain seolah-olah akulah yang pandai menjaga isteri.

Tidakkah si suami terfikir tentang perasaan isteri ketika teguran itu dibuat seolah-olah memalukan isteri di hadapan ibunya sendiri atau orang lain. bagaimana perasaan ibu isteri tersebut seolah-olah mengambarkan bahawa si ibu tidak pandai mendidik anaknya sendiri.

Teguran diberi adalah untuk didengari dan diikuti, bukannya untuk menunjuk "kuasa" hebatnya sang suami.

Berterus teranglah dengan isteri apabila ada sesuatu yang tidak disukai. Jangan berlakon di depan suami atau isteri kononnya diri ini sempurnya. Jika tahu ada kekurangan dalam diri, bersedialah untuk membetulkan dari semasa ke semasa. kerana manusia dilahirkan bukan dalam keadaan sempurna.

Sabda Nabi SAW :

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya : Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dengan isterinya. Dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteriku ( Hadis direkod oleh Imam Tirmizi )

Hormatilah isteri kerana ia adalah pakaianmu....

Kelihatan mama begitu tekun melayan telatah Asiah dan Khaulah (singkatannya Asilah)


Tulisan ini ditujukan khas buat isteriku ummu Asilah sempena ulang tahun perkahwinan yang ke 4. Terima kasih buat mama yang sedia menerima Abi seadanya...


Tarikh 12 April 2007 adalah tarikh yang paling berharga...

www.attakiri.blogspot.com

...Bekerja Untuk ISLAM...

(Kg. Teras Jernang; 9.16 petang)

06 April 2011

Tajdid Blog ; perbaharui semangat

Setelah agak lama menyepi secara konsisten untuk mengemas kini blog mengikut waktunya, kini penulis cuba membuat sedikit penyegaran pada template sebagai penambah sinergi untuk mengemaskini blog secara konsisten.

Menulis memerlukan disiplin yang tinggi di samping perlu kepada otak yang sentiasa berfikir untuk mengetengahkan beberapa pandangan dan isu.


Untuk memastikan penulis kembali bersemangat untuk menulis, penulis cuba untuk membuat pindaan sebanyak mungkin dalam template sebagai semangat baru untuk ke hadapan. Di samping itu, beberapa slot telah dirangka supaya blog ini sentiasa segar dengan tulisan yang baru samada berbentuk santai, pojok, serius dan sebagainya.

Doakan supaya penulis terus istiqamah dalam memperjuangkan prinsip Bekerja Untuk ISLAM..



...Teruskan Perjuangan....

...Bekerja Untuk ISLAM...

www.attakiri.blogspot.com
(Teras Jernang ; 8.46 pm)

01 April 2011

Aktiviti terhenti sementara

sekadar makluman, sebarang aktiviti mem'blog' terhenti sementara waktu kerana penulis ingin membuat sedikit perubahan dalam template dan format penulisan...doakan supaya penulis terus menerus istiqamah dalam prinsip "BEKERJA UNTUK ISLAM"