26 June 2010

Islam dan Yakin

"alah tua nanti aku bertaubatlah" "rilekslah bro, muda hanya sekali" "kali ni je aku buat, pasni berubahlah"

Ini antara ungkapan yang biasa didengari apabila ada sebahagian sahabat yang menegur perbuatan sesetengah belia yang leka dengan hidup gaya santai dan libur.

Kebiasaan apabila diminta untuk melaksanakan kewajipan sembahyang, ditangguhkan. Apabila diminta untuk berpuasa, beribu alasan diberikan. Apabila diminta untuk menjadi belia yang baik, ego menidakkan.

Kenapa isu ini berlaku?. Adakah perlaksanaan Islam begitu sukar ? Adakah Islam penyebab kepada manusia menjadi serius tanpa berhibur?

Persoalan sebegini kadang kala berlegar di benak pemikiran.

Islam datang untuk memandu manusia ke arah pembinaan tamadun yang tepat dan kena pada fitrah manusia.

Sifat semulajadi manusia memerlukan pergantungan. Sifat semulajadi manusia sukakan kebaikan. Sifat semulajadi bencikan kejahatan. Sifat semulajadi manusia inginkan kedamaian, keselamatan, kebahagian dan semua bentuk kebaikan.

Islam datang dengan menyertakan penyelesaian untuk kebaikan manusia.

Ketika Nabi SAW memulakan dakwah di Mekah, persoalan Iman (aqidah) menjadi asas dalam dakwah.

Kenapa Iman menjadi perkara pokok?

Secara semulajadi, manusia perlu kepada tuhan. Dengan sebab itu, kadang kala manusia mereka cipta tuhan dalam pelbagai bentuk dan imaginasi sebagai alat untuk mereka mengadu harapan dan meletakkan pergantungan.

Islam datang untuk memperbetulkan pandangan manusia dan terus menyembah Allah Yang Esa.

Penekanan Islam terhadap Iman bukan sekadar menyuruh manusia beriman kepada Allah tanpa pembuktian dan dalil. Bahkan dalam Al-Quran begitu banyak bukti dan penjelasan yang boleh diterima oleh akal manusia tentang kewujudan dan kekuasaan Allah SWT.

Keyakinan yang ditanam dengan penjelasan yang jelas telah menimbulkan kecintaan dan sayang manusia kepada Allah SWT.

Tanpa keyakinan, cinta dan sayang tidak dapat diwujudkan.

Apabila keyakinan bertukar menjadi Iman. Segala arahan dan larangan akan dipatuhi.

Lihatlah keimanan para sahabat yang sanggup mati kerana Islam. Bahkan apabila datang kepada mereka ayat suruhan atau larangan, pasti mereka bersegera untuk mematuhinya.

Situasi masyarakat sekarang berdepan dengan krisis keyakinan kepada Allah SWT. Islam bukan sahaja sekadar melakukan rukun yang lima. tetapi Islam perlu diselarikan dengan rukun Iman yang enam.

Rukun Islam yang lima akan menjadi payah dan sukar dilaksanan tanpa pemahaman dan keyakinan terhadap Rukun Iman yang enam.

Jadi persoalan yang perlu dilontarkan ialah sejauh mana keyakinan kita kepada Allah ? sejauh mana kita merasa pergantungan kepada Allah ? sejauh mana kita merasa sayang kepada Allah ?

Ini merupakan satu muhasabah dan perjuangan yang perlu dilakukan oleh umat Islam yang cintakan Islam.

Hasil daripada keyakinan akan membentuk keimanan yang jitu kepada Allah. Hasil daripada Keimanan melahirkan keikhlasan dalam beramal. Hasil daripada Keikhlasan membuahkan keredhaan dan rahmat Allah SWT.

Pun begitu bukan bermakna segala perjuangan perlu dihentikan untuk memantapkan Iman. bahkan Iman dan Amal perlu diselarikan pergerakan.

sekadar bermuhasabah diri pada hari sabtu.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

No comments:

Post a Comment