29 June 2010

Antara Teori dan Tindakan

Kadang kala kedengaran suara sumbang seseorang aktivis terhadap penulisan buku penyelidikan Ilmiah yang dikeluarkan oleh Ahli Akademik. Ada yang mencemuh, ada yang sekadar membaca semata-mata tanpa mengambil perhatian, ada yang sekadar membaca kulit, isi langsung tidak disentuh.

Alasan yang dikeluarkan mudah sahaja, ahli akademik hanya berteori. Mereka bukan terlibat dalam medan yang sebenar. kalau ahli akademik turun padang pasti dia tidak mampu bertindak sebagaimana kita bertindak.

Ini merupakan antara suara yang biasa kedengaran bagi mereka yang tidak berminat dengan teori-teori akademik yang kadang kala memeningkan, kadang kala tidak terjejak di bumi, kadang kala tidak logik.

Teori boleh dikira sebagai pendapat yang bersifat pandangan yang tidak dapat dibuktikan dengan kukuhnya yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara.

Ketika Dr. William Edwards Deming mengemukakan teori dan falsafah baru yang lebih tersusun untuk mengaplikasikan teknik-teknik teknikal dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam pengurusan, rakyat Amerika memandang sinis dengan pelbagai cacian dan ejekan.

Tetapi negara Jepun yang cukup berminat dengan teori tersebut dan terus melantik beliau menjadi perunding untuk memajukan industri Jepun. Hasilnya dapat dilihat pada hari ini bagaimana pembangunan Industri Jepun jauh terkedepan daripada Amerika. Bahkan Amerika terpaksa belajar daripada Jepun dalam beberapa isu dalam teknologi.

Ini hasil daripada sebuah teori yang dipandang sinis pada awalnya.

Tidak dinafikan bahawa kadang-kadang teori yang dikemukakan terlampau idealistik dan tidak mampu dilaksanakan. Tetapi ini bukan menjadi satu alasan untuk idea ini dibuang begitu sahaja.

Teori atau pandangan yang dikemukakan akan lebih bermakna jika pengemuka teori seorang yang terjun dalam bidang yang diceburinya secara praktikal.

Kalau seorang pengemuka teori sekadar pandai berteori tetapi tidak memahami sistem semasa akan menyebabkan teori tersebut boleh dibakulsampahkan.

Inilah bezanya Ulamak yang hanya pandai membaca kitab semata-mata dengan ulamak yang hebat dalam memahami kitab turath dan terjun dalam masyarakat. Bahkan Ulamak ditakrifkan sebagai orang yang berilmu dan memahami suasana semasa.

Begitu juga dalam bidang yang lain.

terlampau berteori tanpa mampu mengaplikasi dalam tindakan dianggap sebagai satu pemikiran sia-sia.

Terlampau bertindak tanpa bergerak mengikut formula dan pemikiran yang jelas akan membentuk satu gerak kerja yang sia-sia.

Teori dibentuk untuk memudahkan, menyusun dan memperkasakan sebarang bentuk aktiviti. Apa guna teori yang cantik, jika perlaksanaannya dibiarkan begitu sahaja.

Inilah antara hebatnya Islam. Al-Quran tidak diturunkan dengan mendatangkan teori semata-mata. Bahkan diutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menterjemahkan sebarang bentuk arahan dan larangan Al-Quran menjadi satu perlaksanaan kepada manusia selain daripada menjelaskan sebarang kerumitan yang timbul.

Al-Quran menjadi asas kepada percambahan pandangan dan tindakan dalam memperkasakan kehidupan manusia. Islam bukan sahaja teori yang tersimpan dalam khazanah emas. Bahkan Islam telah pun dibuktikan keberkesanan dalam membimbing manusia untuk melangkah dengan lebih jauh ke hadapan.

Islam tidak dapat dilihat kehebatannya sekarang dengan sebab penganutnya sendiri tidak yakin kepada Islam. Dalam masa yang sama penganut agama lain mula merasa percaya dan yakin dengan kehebatan Islam dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.

Kesimpulan daripada tajuk ini ialah Teori dan Tindakan perlu sentiasa diselarikan. Jangan pesimis terhadap teori yang dilemparkan.

Jangan memandang rendah kepada mereka yang bergerak tanpa sebarang strategi tersusun, berkemungkinan mereka bergerak atas pengalaman.

Kedua-dua elemen ini perlu dalam memperkasakan setiap perkara khususnya dalam menggerakkan setiap perkara.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

No comments:

Post a Comment