19 February 2010

Hari Belia Bangi 2010


Di jemput kepada semua warga Malaysia yang tinggal berdekatan supaya bersama-sama meriahkan Hari Belia Bangi 2010 pada :

21 Februari 2010 / Ahad / Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi.

" JOM BERIADAH DAN BERSANTAI BERSAMA KAMI"

13 February 2010

Syiar Islam hanya Maulidur Rasul ?

Hari ini, Pemimpin UMNO sibuk mempertikaikan tindakan kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dikatakan membatalkan perarakan tahunan Maulidur Rasul. Terkini ialah kenyataan daripada Timbalan Perdana Menteri tentang isu ini antara lain menyebut :

“Saya mahu bertanya kepada kerajaan Pulau Pinang khususnya Guan Eng. Adakah dia mahu menunjukkan satu sikap baru bahawa dia tidak lagi bersama mendukung hasrat dan cita-cita umat Islam di negeri berkenaan?(Utusan online, 13.2.10)

Walaupun kenyataan ini telah pun dinafikan oleh exco agama Pulau Pinang Haji Abdul Malek Abul Kasim. tetapi berita angin ini dibiarkan terus menerus tersebar bagi menggambarkan bahawa kerajaan negeri tidak prihatin terhadap umat Islam di Pulau Pinang.

Penulis tidak pernah menentang perarakan maulidur rasul anjuran pihak kerajaan walaupun sambutan ini tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. tetapi cukupkah dengan hanya perarakan maulidur rasul menunjukkan bahawa kita serius untuk mendukung hasrat dan cita-cita umat Islam.?

Adakah dengan hanya mengadakan perarakan ini cukup untuk membuktikan bahawa kita sayangkan Rasulullah SAW.?

Adakah pihak kerajaan hanya sensitif jika ada kerajaan negeri tidak mengadakan perarakan maulidur Rasul.? bagaimana dengan sambutan hari valentine pada 14 februari yang telah diisytiharkan Haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan bakal di sertai oleh remaja Islam.? adakah kerajaan akan bertindak tegas.?

Adakah pihak kerajaan tidak sensitif terhadap kebejatan moral umat Islam ini.? bahkan begitu banyak fakta daripada rumah perlindungan wanita yang memaparkan bahawa selepas 9 bulan daripada sambutan tahun baru dan sambutan hari kemerdekaan bilangan yang masuk rumah perlindungan tersebut pasti bertambah.

Tidak sensitifkan pihak kerajaan tentang isu ini.?

Antara perkara penting yang dilakukan oleh Rasulullah selepas di lantik menjadi Rasul ialah membina generasi pemuda dengan akhlak yang baik. ini dibuktikan dengan ucapan Jaafar bin Abi Talib kepada Raja Habsyah yang menekankan soal pembinaan akhlak bersama dengan masyarakat dengan mengjauhi segala perbuatan-perbuatan yang syirik, zalim dan keji.

Menyayangi Rasulullah bukan hanya dengan perarakan semata-mata. Menyayangi Rasulullah dengan kita mengikut apa yang telah ditinggalkan oleh Nabi.!

ini belum dibincangkan lagi soal pendidikan negara yang kelihatan begitu memisahkan antara subjek agama dengan subjek yang lain. Matapelajaran agama dijadikan sampingan bukan kewajipan. bahkan silibus pengajian agama begitu cetek dan tidak menggambarkan kesyumulan Islam.

Tidak sensitifkah kerajaan terhadap isu ini.?

Kalau si anak sekadar mewar-warkan kepada umum bahawa dia begitu menyayangi ibu-bapanya tetapi dalam masa yang sama arahan ibu-bapanya tidak diikuti. Agaknya bagaimana perasaan ibu-bapa tersebut. gembira atau kecewa.?

Fikir-fikirlah

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk ISLAM...

12 February 2010

Hasan Al-Banna bukan sekadar wacana..

Selepas kejatuhan Khilafah Islamiyyah yang berpusat di Istanbul, Turki pada awal tahun 20'an. umat Islam berada dalam moral yang tersangat rendah. Perpecahan kalangan umat Islam begitu teruk. Umat Islam dilihat seolah-olah hilang nahkoda untuk sampai ke matlamatnya.

Setiap individu mula menafsirkan Islam mengikut persepsi masing-masing. Ada yang memandang Islam sebagai ruang untuk menyucikan hati semata-mata. Ada yang memandang Islam sebagai wadah untuk berpolitik semata-mata. Ada yang memandang Islam sebagai tempat bagai sesiapa yang ingin tinggalkan dunia semata-mata. Pelbagai lagi andaian-andaian tentang Islam hasil daripada runtuhnya khilafah Islamiyyah. Ini belum termasuk perpecahan dari sudut Salaf dan Khalaf.

Imam Hasan Al-Banna antara individu yang bertanggungjawab dalam mengembalikan kefahaman kesempurnaan Islam kepada masyarakat. Melalui Ikhwanul Muslimin, pergerakan beliau bersama-sama rakan seperjuangan berjaya menerap dan membangkitkan semangat untuk menegakkan kembali khilafah Islam yang pernah tersungkur.

Melalui usul 20 yang dikemukakan itu mampu menyatukan kembali umat Islam yang berada Di mesir. bahkan usul tersebut digunapakai dinegara-negara yang lain sebagai asas untuk membina pendokong dan pejuang-pejuang Islam.

Selepas beliau dibunuh secara terancang oleh kerajaan Mesir. Manhaj pembinaan ikhwanul Muslimin begitu berkembang pesat di negara-negara arab. bahkan kebanyakan gerakan Islam mengambil manhaj Ikhwanul Muslimin dalam membina pendokong dan pejuang Islam.

Hasan Al-Banna telah meninggalkan umat Islam dengan manhaj penyatuan. walaupun hampir 80 tahun beliau telah pergi, kesannya masih terasa hingga kini. Sampai hari ini orang bercakap tentang kehebatan Hasan Al-Banna. Sampai hari ini musuh gerun mendengar namanya. sampai hari ini pemimpin diktator negara arab terus menerus melarang penjualan buku-buku beliau.

Hari ini , Khususnya di Malaysia. begitu banyak jemaah mendakwa bahawa mereka mengikut manhaj ikhwanul Muslimin dalam pergerakan. kononnya atas dasar tarbiyyah rela bertengkar sesama jemaah. kononnya atas dasar tarbiyyah rela bekerjasama dengan musuh.

bahkan PAS pernah dituduh tidak islamik kerana tidak mengamalkan strategi ikhwanul muslimin. agak pelik.

Tidak dinafikan bahawa pergerakan PAS ada sedikit tempias daripada pergerakan ikhwanul Muslimin. tetapi tidak semestinya pergerakannya perlu sama 100%. Pergerakan PAS begitu fleksibel selagi mana tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Manhaj ikhwanul muslimin menjadi rujukan tetapi bukan sebagai satu penggunaan yang wajib.

Manhaj Ikhwanul Muslimin meninitik beratkan kesatuan. tetapi jemaah yang kononnya mengambil manhaj ikhwanul muslimin rela berpecah sesama sendiri. yang lebih dahsyat rela bersubahat dengan musuh untuk menghancurkan sahabat sendiri. adakah ini yang diinginkan oleh Hasan Al-Banna.?

Buatlah seribu wacana pemikiran, dakwah, strategi Hasan Al-Banna sekalipun pasti tidak akan berjaya kalau hanya dijadikan kajian ilmiah semata-mata tanpa pengamalan secara praktikal.

Buatlah pelbagai karnival bagi mengenang jasa beliau sekalipun pasti tidak akan berjaya selagi mana pemikiran beliau tidak dijadikan rujukan dalam pergerakan.

Mengenang tokoh bukan hanya dengan mengkaji pemikiran. Mengenang tokoh dengan mengambil roh perjuangannya untuk diteruskan di bumi sendiri.

ini baru dengan Imam Hasan Al-Banna. macam dengan Rasulullah SAW...agaknya bagai langit dan bumi.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk ISLAM...

29 December 2009

Macam mana kalau dipositifkan...

2 hari sebelum ini, Selangor dikejutkan dengan demontrasi yang dianjurkan oleh Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi PAS Selangor (GKPPNS) bagi mendesak kepimpinan parti supaya keluar dari Pakatan Rakyat. Walaupun Demontrasi tersebut hanya dihadiri oleh 20 orang sahaja, tetapi publisiti yang diberikan cukup besar oleh media arus perdana.

Ekoran daripada itu, PAS Pusat telah mengarahkan Perhubungan PAS Selangor untuk menyiasat dalang disebalik demontrasi tersebut. PerhubunganPAS selangor pula akan mengambil tindakan disiplin kepada siasatan membuktikan bahawa demontrasi tersebut disertai oleh ahli PAS.

Kalau dipandang dari sudut negatif memang perkara tersebut satu perkara yang boleh merosakkan Pakatan dan menguntungkan Barisan. Alasan desakan tersebut sama dengan seperti lontaran rayuan Umno kepada PAS supaya mengadakan kerajaan campuran bersama atas semangat bangsa Melayu sebelum ini.

Pertamanya penulis bersetuju atas tindakan pantas PAS untuk menyiasat dalang disebalik demontrasi ini. berkemungkinan demontrasi ini dirancang oleh pihak yang masih gilakan kuasa untuk berkuasa kembali. Mungkin ini termasuk dalam perancangan rampasan negeri Selangor yang dikatakan akan dilakukan pada awal Januari 2010. Penulis tidak pasti kesahihan khabar tersebut. biarlah khabar tersebut melayang seperti angin berlalu.

Itu kalau demontrasi tersebut dinegatifkan. Kalau tindakan tersebut dipositifkan, macam mana tindakan PAS.? macam mana kalau demontrasi tersebut dihadiri oleh ramai ahli PAS yang tidak berpuas hati dengan gerak kerja PAS yang dilihat terlampau mengalah kepada PKR dan DAP?.

Ini semua andaian kosong semata-mata. tetapi tidak dinafikan terdapat ahli PAS yang masih sangsi dengan Pakatan PAS bersama dengan DAP dan PKR. Kadang kala penulis terdengar cakap-cakap kedai kopi di kalangan ahli PAS yang mengondem beberapa tindakan PAS yang dilihat terlalu mengalah.

Penulis menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pimpinan PAS di peringkat pusat dan negeri. bagi penulis Pimpinan PAS tidak akan menggadaikan prinsip parti walaupun bersama Pakatan. Bahkan kebersamaan PAS bersama PKR dan DAP dalam satu Pakatan merupakan perkara yang tidak bercanggah dengan Syariat.

PAS perlu mengambil kesempatan ini untuk menerangkan kepada ahli konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik) antara PAS dan PKR dan DAP. Ramai ahli PAS yang belum faham tentang konsep ini dan sejauh mana konsep ini dapat dilaksanakan.

Perkataan Tahaluf mungkin difahami. Tetapi macam mana dengan konsepnya?, macam mana pantang larangnya.? apakah Pakatan rakyat sama seperti tahaluf siyasi.? macam mana tindakan PAS kalau tindakan DAP dan PKR merugikan Islam dan sebagainya.

Ini semua antara perkara penting yang perlu ditekankan kepada ahli berpandukan hujjah syarak dan realiti politik Malaysia.

Mungkin sebelum ini, demontrasi hanya disertai oleh orang yang berlakon sebagai ahli PAS yang kononnya tidak berpuas hati.

Tidak mustahil kalau demontrasi akan datang disertai oleh ahli PAS yang tidak berpuas hati dan dengan jumlah yang ramai.

Tindakan pengcegahan perlu dilakukan dengan segera.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja untuk Islam...

27 December 2009

Biar Berpakat sebelum Pakatan

Konvensyen PAKATAN RAKYAT (PR)yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini berakhir dengan jayanya . Pelbagai liputan dan ulasan yang dibuat bagi mengambarkan betapa seriusnya PR untuk pergi ke Putrajaya bagi mengantikan BN yang semakin hari semakin menemui pengakhirannya.

Begitulah sunnatullah dalam pentadbiran negara. Parti memerintah tidak akan selama-lamanya memerintah. Manakala parti pembangkang tidak akan selama-lamanya membangkang. Suatu ketika keadaan ini akan menjadi sebaliknya. Itulah realiti yang dapat dilihat sekarang.

Yang tinggal kepada manusia ialah kebertanggungjawaban dan amanah yang telah dipikul. Adakah amanah tersebut dipikul dengan sebaik-baiknya atau dijadikan sebagai tempat menunjukkan kesombongan dan kekuasaan.

Seminar Pemerkasaan Parti Islam Semalaysia (PAS) pun berakhir dengan jayanya. segala cadangan dan kritikan perwakilan di ambil serius sebagai jalan untuk memulihkan kekuatan parti.

Jawatankuasa disiplin pula telah diaktifkan dengan sepenuhnya bagi menyiasat setiap dakwaan yang merosakkan parti. Inilah antara permintaan yang telah dicadangkan oleh hampir semua perwakilan dalam seminar tersebut.

Walaupun seminar sudah pun berakhir dengan niat dan tekad untuk memperkasakan parti dan ketepikan segala perbezaan, tetapi suasana berlaku adalah sebaliknya.

Isu Politik Kelantan menjadi isu pertama yang dipanaskan oleh sesama sendiri. CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan menjadi kerusi panas dan popular sehingga 1Malaysia.

Mungkinlah disebabkan kerana Menteri Besar Kelantan melantik menantunya sendiri sebagai CEO. Ariffahmi menjadi nama yang begitu popular dikalangan rakyat Malaysia. Yang lebih menampakkan popularnya ialah kenyataan pimpinan PAS tempatan yang saling bercanggah antara satu sama lain. Perpecahan dianggap satu populariti.

Sebelum ini, Tuan Guru Musyidul Am telah diasak oleh musuh dengan isu samseng, mencarut, doa laknat dan sebagainya. semua isu ini dapat ditangani dengan baik dengan sebab pimpinan bersatu. Bahkan Tuan Guru begitu bersemangat untuk menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan dan kejahilan UMNO terhadap Islam.

Itu isu yang membabitkan serangan musuh. Isu Ariffahmi adalah isu dalaman yang sedang diperbesarkan-besarkan oleh musuh. Kenapa pimpinan tempatan dan pusat seolah-olah bertelagah sesama sendiri dan meluahkannya melalui media arus perdana.

Bukankah isu ini telah diselesaikan sebaik sahaja Presiden berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan.!

Ini merupakan satu tekanan yang kuat buat Tuan Guru Mursyidul Am merangkap Menteri Besar Kelantan. Kalau serangan dari BN sahaja tidak menimbulkan masalah kerana ianya memang sentiasa terjadi. Tapi kalau serangan dalaman, ianya agak membebankan.

Ya, mungkin hujjah demokrasi menjadi asas dalam kritikan ini. tapi adakah itu perlu dalam keadaan media arus perdana tidak berpihak kepada PR.?. bukankah isu ini boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu diwar-warkan kepada media. Ataupun pengwar-waran ini berniat untuk pukul menantu sindir mertua?. penulis tidak berniat untuk bersangka sampai ke situ.

Ini belum lagi termasuk isu Selangor yang dianggap bergolak. Pesuruhjaya (PJ) PAS selangor begitu hebat dikritik kerana beberapan tindakannya yang dianggap merugikan PR. Bahkan Presiden dipersalahkan kerana masih mengekalkan PJ Selangor yang sedia ada sekarang ini.

Yang lebih dahsyat keputusan mesyuarat dibocorkan yang kononnya presiden terus berdegil untuk mengekalkan PJ selangor walaupun majoriti tidak bersetuju (penulis tidak pasti sejauh mana kebenarannya). bagi penulis setiap keputusan mesyuarat wajib dihormati walaupun keputusan tersebut tidak memuaskan hati individu.

ini semua antara ketidaksepakatan yang semakin jelas kelihatan dan sentiasa diperbesarkan melalui media-media alternatif. ini semua mungkin antara penyebab kekalahan dan kemerosotan PAS dalam Pilihanraya Umum ke13.

Kalau kita boleh mengetepikan perbezaan dalam rakan Pakatan dengan penuh sabar dan berhemah, kenapa kita tidak boleh mengetepikan perbezaan pandangan sesama sendiri.

Kalau kita boleh bertolak ansur dengan rakan Pakatan dalam isu calon pilihanraya dengan penuh bijaksana, kenapa kita tidak boleh bertolak ansur sesama sendiri dalam perkara strategi.

Kalau kita mengharapkan agar rakan-rakan Pakatan menyelesaikan segala permasalah Pakatan secara muafakat tanpa war-warkan kepada media. kenapa kita tidak melaksanakannya dalam parti kita.

Apakah Keteguhan PAKATAN lebih penting daripada Keteguhan Parti sendiri.

Apakah Kesepakatan PAKATAN lebih penting daripada Kesatuan parti sendiri.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk ISLAM...

23 December 2009

warna warni kehidupan

Tahun 1430 telah berlalu, tahun 2009 pula sedang menemui penghujungnya. Setahun berlalu pasti menemui pelbagai pengalamana baru yang kadang-kadang mencabar, kadang-kadang menyedihkan, kadang-kadang menggembirakan. semua ini dianggap sebagai asam garam sebuah kehidupan.

Kali ini penulis agak lambat menulis tentang tahun baru, bahkan pada kali ini, blog sentiasa dibiarkan tanpa update. Malas mungkin dijadikan alasan utama. nak buat macam mana, Iman selalu naik dan turun. (tulisan lepas boleh lihat di sini)

Masuknya tahun 1431 dan 2010, bermakna sudah 2 tahun blog Bekerja Untuk Islam berada di alam cyber. Hingga kini, penulis berjaya menulis 334 artikel. Bilangan tersebut begitu kecil kalau dibandingkan dengan blogger yang lain.

Di atas niat untuk menterjemahkan Islam ke atas setiap isu yang berlaku, penulis cuba mengulas setiap isu dengan gaya bersahaja dan tidak membebankan pembaca. penulis pun tidak pasti, adakah tulisan penulis menyenangkan pembaca atau memuakkan pembaca. hanya pembaca yang mampu menilai tulisan. penulis tidak mahu syok sendiri.

Kadang kala penulisan penulis menimbulkan kritikan yang cukup tajam bahkan ditusuk dengan kata-kata nista seperti ustaz penipu dan sebagainya. kadang kala penulisan penulis dipuji dengan pelbagai pujian yang begitu menyenangkan seperti Pemimpin perlulah bersikap seperti penulis ini dan sebagainya.

Apa-apa pun, penulis berterima kasih atas setiap kritikan dan pujian. semoga semua ini akan menguatkan jati diri penulis untuk terus berjihad dalam alam penulisan.

Sejak dari mula lagi, penulis akan memastikan setiap penulisan atau pandangan yang hendak dilontarkan mesti berasaskan kepada fakta yang jelas dan bukan niat untuk memburukkan sesiapa. Disiplin ini terus menerus penulis gunakan sehingga kini.

Islam telah meletakkan kaedah pengambilan hadis dengan begitu ketat. mekanisma pengambilan hadis jangan hanya digunapakai untukHadis Nabi SAW semata-mata. Bahkan ianya wajar diperluaskan kepada pengambilan fakta, cerita dan sebagainya. sistem sanad (pembawa hadis) perlu dipastikan dalam setiap fakta yang dilontarkan. sikap lontar sembunyi tangan perlu dibanteras dari diri seorang blogger.

Tahun Lepas, kehidupan penulis hanya bertiga, kini telah berempat. Tahun lepas, penulis hanyalah seorang pekerja, kini penulis seorang pekerja dan seorang pelajar. itulah realiti sebuah kehidupan. bahkan penulis selalu berharap setiap tahun yang berlalu memberi satu pengalaman dan peningkatan hidup yang baru dan jangan disia-siakan.

Masa itu terlampau berharga. Jangan biarkan begitu sahaja. Masa yang berlalu kematian yang menjelma. oleh itu, hargailahnya dengan penuh istiqomah.

Selamat Menyambut Tahun Baru (1430 /2010)

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk ISLAM...

22 December 2009

Natrah ; Contohi Perjuangan Ahmad Ibrahim

Selepas kematian Natrah @ Hurbedina Maria Hertogh pada 18 oktober 2009, masyarakat Malaysia mula terkenangkan kembali peristiwa pemurtadan Natrah yang dirancang secara tersusun oleh pihak Belanda sehingga memaksa Suami Natrah Mansor Adabi dan Ibu Angkat nya Che' Aminah berputih mata dan berendam air mata sehingga ke akhir hayat.

Pemisahan kasih sayang yang berlaku begitu tragis begitu menghenyakkan hati umat Islam yang ketika itu cukup terasa dengan keegoan penjajah yang bertindak tanpa mempedulikan perasaan dan sentiviti umat Islam.

Sudah begitu lama penulis tercari-cari peristiwa sebenar disebalik apa yang berlaku terhadap Natrah. Alhamdulillah, akhirnya penulis terjumpa dengan buku Natrah (cinta, rusuhan, air mata) hasil nukilan Fatini Yaacob.

Tulisan yang cukup bersahaja tetapi mampu menjawab segala persoalan penulis tentang suasana yang berlaku sebelum dan selepas natrah dilarikan ke belanda. Penulis cukup berterima kasih kepada pengarang yang begitu bersusah payah menyiapkan penyelidikan tentang natrah sehingga sanggup mencari Natrah di Amerika Syarikat.

Isu Natrah telah memperlihatkan bagaimana begitu mudah undang-undang Syariah dibatalkan oleh undang-undang Sivil apabila perkahwinan Natrah yang sah di sisi undang-undang syariah berjaya dibatalkan oleh Undang-undang Sivil.

Penulis tidak berminat untuk mempersoalkan beberapa kesilapan Che' Aminah dalam isu Natrah sehingga berlakunya apa yang berlaku. Bagi Penulis, apa telah berlaku itu telah berlaku. kalau kesilapan itu dipersoalkan, sampai bila-bila isu ini tidak akan selesai.

Ahmad Ibrahim (Tan Sri Prof. Emeritus) merupakan peguam pertama Che' Aminah bagi menuntut hak penjagaan. Walaupun pada permulaannya, kemenangan berpihak kepada pihak belanda, tetapi akhirnya atas kepetahan hujjah Ahmad Ibrahim, Mahkamah memutuskan hak penjagaan Natrah mesti dikembalikankepada Ibu Angkatnya Che' Aminah.

Selepas mendapat hak penjagaan tersebut, Che' Aminah terus bertindak mengahwinkan Natrah dengan Mansor Adabi (atas suka sama suka bukannya paksaan) di Singapura tanpa pengetahuan Ahmad Ibrahim yang menyebabkan hak penjagaan natrah kembali ke tangan Belanda dengan alasan undang-undang Belanda (Natrah masih warganegara Belanda) tidak membenarkan pernikahan di bawah umur 18 tahun.

Che' Aminah beranggapan bahawa dengan kekuatan undang-undang Syariah yang telah mengsahkan perkahwinan tersebut, Pihak Belanda pasti tidak dapat mengambil kembali Natrah. Tetapi apa yang diharapkan tidak berlaku, bahkan dengan sebab pernikahan inilah, Natrah dirampas kembali dari tangan Che' Aminah dan Mansor Adabi.

Ahmad Ibrahim begitu kecewa dengan apa yang berlaku yang memperlihatkan betapa lemahnya undang-undang syariah di sisi undang sivil. Oleh itu, walaupun peristiwa Natrah telah berlalu dengan kekalahan kepada Islam, Beliau terus memperjuangkan untuk menaiktarafkan undang-undang syariah supaya setanding dengan undang-undang sivil.

kegigihan Ahmad Ibrahim dapat dilihat dengan jelas dengan memperkemaskan undang-undang Islam di Singapura dan Di Malaysia, beliau juga mengasaskan Majlis Ugama Islam Singapura dan menjadi peguam negara Singapura yang pertama bukan dari kalangan Inggeris.

Apabila Ahmad Ibrahim berpindah ke Malaysia pada tahun 1969, beliau begitu banyak mendrafkan undang-undang pentadbiran dan undang-undang keluarga Islam. bahkan beliau juga terlibat dalam draf undang-undang Hudud, Qisas dan Ta'zir di Kelantan pada tahun 1993.

Ahmad Ibrahim antara insan yang bertanggungjawab mendraf artikel 121(A) dalam perlembagaan Perseketuan yang menyebut bahawa setiap keputusan mengenai umat Islam tidak boleh dicabar di Mahkamah Sivil, hanya mahkamah Syariah yang mesti memutuskannya. akhirnya draf ini diluluskan di parlimen pada tahun 1988.

Kegagalan dalam Isu Natrah tidak dibiarkan berlalu dengan begitu sahaja. bahkan kegagalan itu dikaji dan diteliti puncanya agar tidak berlaku di masa akan datang. Inilah antara contoh perjuangan Tan Sri Prof Emeritus Ahmad Ibrahim.

Jangan biarkan kegagalan membelengku diri dan terus menerus berlalu. Tapi jadikan setiap kegagalan sebagai tapak untuk mencapai kejayaan di masa mendatang.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk ISLAM...