29 June 2010

Antara Teori dan Tindakan

Kadang kala kedengaran suara sumbang seseorang aktivis terhadap penulisan buku penyelidikan Ilmiah yang dikeluarkan oleh Ahli Akademik. Ada yang mencemuh, ada yang sekadar membaca semata-mata tanpa mengambil perhatian, ada yang sekadar membaca kulit, isi langsung tidak disentuh.

Alasan yang dikeluarkan mudah sahaja, ahli akademik hanya berteori. Mereka bukan terlibat dalam medan yang sebenar. kalau ahli akademik turun padang pasti dia tidak mampu bertindak sebagaimana kita bertindak.

Ini merupakan antara suara yang biasa kedengaran bagi mereka yang tidak berminat dengan teori-teori akademik yang kadang kala memeningkan, kadang kala tidak terjejak di bumi, kadang kala tidak logik.

Teori boleh dikira sebagai pendapat yang bersifat pandangan yang tidak dapat dibuktikan dengan kukuhnya yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara.

Ketika Dr. William Edwards Deming mengemukakan teori dan falsafah baru yang lebih tersusun untuk mengaplikasikan teknik-teknik teknikal dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam pengurusan, rakyat Amerika memandang sinis dengan pelbagai cacian dan ejekan.

Tetapi negara Jepun yang cukup berminat dengan teori tersebut dan terus melantik beliau menjadi perunding untuk memajukan industri Jepun. Hasilnya dapat dilihat pada hari ini bagaimana pembangunan Industri Jepun jauh terkedepan daripada Amerika. Bahkan Amerika terpaksa belajar daripada Jepun dalam beberapa isu dalam teknologi.

Ini hasil daripada sebuah teori yang dipandang sinis pada awalnya.

Tidak dinafikan bahawa kadang-kadang teori yang dikemukakan terlampau idealistik dan tidak mampu dilaksanakan. Tetapi ini bukan menjadi satu alasan untuk idea ini dibuang begitu sahaja.

Teori atau pandangan yang dikemukakan akan lebih bermakna jika pengemuka teori seorang yang terjun dalam bidang yang diceburinya secara praktikal.

Kalau seorang pengemuka teori sekadar pandai berteori tetapi tidak memahami sistem semasa akan menyebabkan teori tersebut boleh dibakulsampahkan.

Inilah bezanya Ulamak yang hanya pandai membaca kitab semata-mata dengan ulamak yang hebat dalam memahami kitab turath dan terjun dalam masyarakat. Bahkan Ulamak ditakrifkan sebagai orang yang berilmu dan memahami suasana semasa.

Begitu juga dalam bidang yang lain.

terlampau berteori tanpa mampu mengaplikasi dalam tindakan dianggap sebagai satu pemikiran sia-sia.

Terlampau bertindak tanpa bergerak mengikut formula dan pemikiran yang jelas akan membentuk satu gerak kerja yang sia-sia.

Teori dibentuk untuk memudahkan, menyusun dan memperkasakan sebarang bentuk aktiviti. Apa guna teori yang cantik, jika perlaksanaannya dibiarkan begitu sahaja.

Inilah antara hebatnya Islam. Al-Quran tidak diturunkan dengan mendatangkan teori semata-mata. Bahkan diutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menterjemahkan sebarang bentuk arahan dan larangan Al-Quran menjadi satu perlaksanaan kepada manusia selain daripada menjelaskan sebarang kerumitan yang timbul.

Al-Quran menjadi asas kepada percambahan pandangan dan tindakan dalam memperkasakan kehidupan manusia. Islam bukan sahaja teori yang tersimpan dalam khazanah emas. Bahkan Islam telah pun dibuktikan keberkesanan dalam membimbing manusia untuk melangkah dengan lebih jauh ke hadapan.

Islam tidak dapat dilihat kehebatannya sekarang dengan sebab penganutnya sendiri tidak yakin kepada Islam. Dalam masa yang sama penganut agama lain mula merasa percaya dan yakin dengan kehebatan Islam dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.

Kesimpulan daripada tajuk ini ialah Teori dan Tindakan perlu sentiasa diselarikan. Jangan pesimis terhadap teori yang dilemparkan.

Jangan memandang rendah kepada mereka yang bergerak tanpa sebarang strategi tersusun, berkemungkinan mereka bergerak atas pengalaman.

Kedua-dua elemen ini perlu dalam memperkasakan setiap perkara khususnya dalam menggerakkan setiap perkara.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

28 June 2010

Ulamak dan UMNO tidak sekufu'

2-3 hari ini heboh isu kemasukan ulamak-ulamak muda ke dalam Parti kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO-Pekembar). kemasukan ulamak muda ini menimbulkan pelbagai reaksi dan polemik dari pelbagai pihak.

Ada yang memuji, ada yang mengutuk. ada juga yang menyebut bahawa kemasukan ulamak muda dalam UMNO ini kerana terpaksa dengan sebab penyebaran isu JI sekarang ini. Tapi penulis tidak pasti kebenaran kenyataan ini.

Penulis bersetuju dengan kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am antara lain menyebut ; boleh dirujuk di sini :

Muncullah projek Dhirar yang diperintahkan Allah SWT untuk dimusnahkan. Walaupun namanya masjid, tetapi tujuannya untuk memecahbelahkan. Lalu menjadi tanggungjawab para ilmuwan sekalian untuk mengenal pasti yang mana satukah projek masjid dhirar dan yang mana pula tidak. Ini penting agar para ilmuwan yang akan muncul sebagai golongan ulamak tidak terperangkap dengan politik dhirar tanpa disedari.

Ketika Penjajah mula mengharamkan segala bentuk pergerakan yang berhaluan kiri seperti Hizbul Muslimin, AWAS, API dan sebagainya. Ulamak haraki mula kehilangan rentak untuk bergerak.

Di atas niat supaya isu-isu Umat Islam diperkatakan di peringkat nasional, terdapat segelintir Ulamak terlibat dalam Biro agama UMNO.

Pun begitu, para ulamak ketika itu mula mual dengan sikap UMNO yang begitu banyak menghalalkan perkara yang diharamkan seperti penganjuran judi loteri, tarian kaberat dan sebagainya.

PAS wujud hasil daripada tindakan UMNO mehalalkan apa yang telah diharamkan.

Kewujudan PAS yang diasaskan oleh para Ulamak adalah antara lain untuk memastikan bahawa Al-Quran bukan sahaja di "agama rasmikan" semata-mata. Tetapi para Ulamak ini mahupun Al-Quran direalisasikan.

UMNO tidak bertegas dengan isu Islam. Judi bola diharamkan selepas timbul pelbagai desakan dari seluruh negara.!

UMNO tidak bertegas dengan isu Islam. Aurat dan arak di pandang remeh dengan sebelah mata oleh para pemimpinnya.

UMNO tidak bertegas dengan isu Islam. Qanun Jenayah Syariah terus menerus ditolak dengan pelbagai alasan untuk tidak dilaksanakan walaupun kebejatan moral semakin bercambah.

Jadi, macam mana Ulamak hendak berperanan dalam UMNO.? Nak menentang sikap pemimpin UMNO ini.? mampukah mereka ?

Ulamak terdahulu terlibat dalam UMNO ketika mana semua parti politik diharamkan.

Jadi, apa keperluan Ulamak hari ini terlibat dengan UMNO.?

Teringat ucapan Saifuddin Nasution dalam parlimen antara lain melontarkan tuduhan bahawa dalam pejabat pemuda UMNO pun ada arak.!.

PAS berselisih pandangan dengan UMNO bukan dengan perkara ranting. PAS berselisih dengan UMNO ialah dengan isu pokok.

Sebab itulah, Ulamak dan UMNO tidak sekufu'.

apabila suami isteri tidak sekufu. pelbagai isu timbul seperti pergaduhan rumah tangga, kekok dalam menjalani kehidupan. Ini akan memungkinkan berlaku perceraian.

kekalkah Ulamak-ulamak muda ini dalam UMNO?

www.attakiri.blogpot.com

Bekerja Untuk Islam...

26 June 2010

Islam dan Yakin

"alah tua nanti aku bertaubatlah" "rilekslah bro, muda hanya sekali" "kali ni je aku buat, pasni berubahlah"

Ini antara ungkapan yang biasa didengari apabila ada sebahagian sahabat yang menegur perbuatan sesetengah belia yang leka dengan hidup gaya santai dan libur.

Kebiasaan apabila diminta untuk melaksanakan kewajipan sembahyang, ditangguhkan. Apabila diminta untuk berpuasa, beribu alasan diberikan. Apabila diminta untuk menjadi belia yang baik, ego menidakkan.

Kenapa isu ini berlaku?. Adakah perlaksanaan Islam begitu sukar ? Adakah Islam penyebab kepada manusia menjadi serius tanpa berhibur?

Persoalan sebegini kadang kala berlegar di benak pemikiran.

Islam datang untuk memandu manusia ke arah pembinaan tamadun yang tepat dan kena pada fitrah manusia.

Sifat semulajadi manusia memerlukan pergantungan. Sifat semulajadi manusia sukakan kebaikan. Sifat semulajadi bencikan kejahatan. Sifat semulajadi manusia inginkan kedamaian, keselamatan, kebahagian dan semua bentuk kebaikan.

Islam datang dengan menyertakan penyelesaian untuk kebaikan manusia.

Ketika Nabi SAW memulakan dakwah di Mekah, persoalan Iman (aqidah) menjadi asas dalam dakwah.

Kenapa Iman menjadi perkara pokok?

Secara semulajadi, manusia perlu kepada tuhan. Dengan sebab itu, kadang kala manusia mereka cipta tuhan dalam pelbagai bentuk dan imaginasi sebagai alat untuk mereka mengadu harapan dan meletakkan pergantungan.

Islam datang untuk memperbetulkan pandangan manusia dan terus menyembah Allah Yang Esa.

Penekanan Islam terhadap Iman bukan sekadar menyuruh manusia beriman kepada Allah tanpa pembuktian dan dalil. Bahkan dalam Al-Quran begitu banyak bukti dan penjelasan yang boleh diterima oleh akal manusia tentang kewujudan dan kekuasaan Allah SWT.

Keyakinan yang ditanam dengan penjelasan yang jelas telah menimbulkan kecintaan dan sayang manusia kepada Allah SWT.

Tanpa keyakinan, cinta dan sayang tidak dapat diwujudkan.

Apabila keyakinan bertukar menjadi Iman. Segala arahan dan larangan akan dipatuhi.

Lihatlah keimanan para sahabat yang sanggup mati kerana Islam. Bahkan apabila datang kepada mereka ayat suruhan atau larangan, pasti mereka bersegera untuk mematuhinya.

Situasi masyarakat sekarang berdepan dengan krisis keyakinan kepada Allah SWT. Islam bukan sahaja sekadar melakukan rukun yang lima. tetapi Islam perlu diselarikan dengan rukun Iman yang enam.

Rukun Islam yang lima akan menjadi payah dan sukar dilaksanan tanpa pemahaman dan keyakinan terhadap Rukun Iman yang enam.

Jadi persoalan yang perlu dilontarkan ialah sejauh mana keyakinan kita kepada Allah ? sejauh mana kita merasa pergantungan kepada Allah ? sejauh mana kita merasa sayang kepada Allah ?

Ini merupakan satu muhasabah dan perjuangan yang perlu dilakukan oleh umat Islam yang cintakan Islam.

Hasil daripada keyakinan akan membentuk keimanan yang jitu kepada Allah. Hasil daripada Keimanan melahirkan keikhlasan dalam beramal. Hasil daripada Keikhlasan membuahkan keredhaan dan rahmat Allah SWT.

Pun begitu bukan bermakna segala perjuangan perlu dihentikan untuk memantapkan Iman. bahkan Iman dan Amal perlu diselarikan pergerakan.

sekadar bermuhasabah diri pada hari sabtu.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

23 June 2010

kenangan lalu (2002-2007) IV : THABAT DALAM MENEMPUHI JALAN DAKWAH

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu."(af-Fussilat ayat 30)


Thabat di dalam kerja untuk melaksanakan Islam bukan satu perkara yang mudah, walaupun ianya senang di sebut dengan lidah di dalam pengucapan umum, tetapi perlaksanaannya memerlukan kepada persediaan yang cukup rapi dari sudut pentarbiyahan rohani dan jasmani. Kerana itulah Allah swt telah menyatakan di dalam wahyunya


Firman Allah yang bermaksud : Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi( ) Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (al-Ankabut ayat 2-3)


Sebelum penulis mengupas lebih lanjut tajuk ini, lebih baik rasanya diterangkan dahulu makna Thabat untuk lebih memahamkan pembaca sekelian.


Thabat ialah perkataan bahasa arab yang bermaksud Tetap dan teguh. Dan yang lebih tepat lagi ialah istiqamah dalam melaksanakan sesuatu kerja yang diberi.


Sudah menjadi sunnatullah bagi mereka yang ingin memikul risalah nubuwwah ini, mereka akan berdepan dengan pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi samada cabaran dari sudut kemiskinan atau kekayaan, cabaran daripada keluarga sendiri atau masyarakat setempat. Kesemua cabaran ini, memungkinkan seseorang itu hilang istiqamahnya dalam meneruskan kerja-kerja dakwah tersebut.


Kadang-kadang selalu kedengaran di telinga sahabat-sahabat sekelian seperti aku boring dah bagi semangat kat orang, boring dah bagi peringatan kat orang, mereka bukan berubah pun, bahkan balik-balik aku jugak yang kena buat kerja.


Sahabatku, bayangkan kalau Rasulullah SAW dan jugak sahabat-sahabat baginda bersikap demikian. Bagaimana dengan kita hari ini,? jawabnya Islam tidak akan sampai kepada kita.


Kalau kita menyingkap sirah perjalanan dakwah baginda ketika di mekah dahulu, bagaimana penyampaian dakwah dilakukan kepada rombongan-rombongan haji. Dakwah rasulullah bukan terus diterima, bahkan dicemuh pulak dan sebagainya. Yang lebih menyedihkan lagi, Rasulullah berdakwah untuk membina, Abu Lahab pergi terus mengutuk dan cuba meruntuhkan perjuangan baginda secara lansung di depan Nabi!.


Tetapi bagaimana sikap baginda ketika itu, baginda terus berusaha, tidak berjaya tahun ini, tahun depan ada lagi, tidak berjaya tahun depan, cuba lagi pada tahun seterusnya. sehingga Allah swt telah membuka pintu hati kaum aus dan khazraj menerima Islam dan berbaiah dengan Rasulullah SAW dengan mudah. Inilah hasil daripada thabatnya nabi menyebarkan dakwah.


Zaman kini, manusia lebih selesa berdakwah dalam keadaaan selesa, tanpa tekanan, tanpa cabaran, tanpa kesusahan dan sebagainya.


Apakah mereka sudah lupa akan firman Allah SWT yang sentiasa mengingatkan kepada pejuang-pejuang agamanya yang bermaksud


Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (al-Baqarah 214)


Maksudnya :Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar. (ali imran 142)


Apa yang perlu dingat, ganjaran yang besar bagi mereka yang bekerja dengan penuh kesungguhan, bukan mereka yang bekerja sambil lewa. Hanya mereka yang istiqamah sahaja yang dapat ganjaran yang sepatutnya bukannya golongan yang berputus asa.


Di dalam waqi’ seorang pelajar, thabat merupakan satu perkara yang cukup penting, khususnya bagi mereka yang pernah menempuhi kegagalan. Tanpa thabat, kemungkinan ada kalangan mereka dah berhenti sekerat jalan, bercampur pula dengan cabaran-cabaran yang pelbagai di bumi syam khususnya. Apa yang perlu ada bagi penuntut-penuntut ilmu Islam ini, mereka perlu ada satu hadaf yang khusus untuk menaikkan kembali semangat yang telah hilang.


Di sana ada beberapa cara bagaimana untuk terus thabat dan istiqamah di dalam sesuatu khususnya di dalam dakwah islamiyyah ini, cukuplah penulis nukilkan di sini 2 cara sahaja, selebihnya pembaca boleh cari sendiri.


Pertama : iman yang teguh.


Ini boleh dibuat dengan sentiasa memperdekatkan diri dengan pencipta, jangan hanya dekat imtihan sahaja, kalau boleh biar berterusan.


Kedua : ukhuwwah yang mantap.


Yang dimaksudkan ukhuwwah di sini ialah ukhuwwah fillah. Kerana itulah, pejuang-pejuang islam perlu mencari sahabat boleh menegur kita bila-bila masa sahaja. Bukannya sahabat-sahabat yang sibuk mengampu dan memuji tak tentu pasal.


Memang sudah menjadi satu fitrah manusia bahawa mereka perlu hidup berjemaah, semuanya saling memerlukan di antara satu sama lain. Ini bertentang dengan fahaman wujudiyyah yang menyatakan manusia berseorangan dan tidak perlu kepada bantuan orang lain.


Sheikh usamah ar-Rifaie pernah menyebut di dalam salah satu tazkirah ramadhannya dalam menafsirkan ayat 54 daripada surah ar-Rum


Maksudnya :Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.


Beliau menimbulakan satu persoalan Kenapa Allah SWT menyebut perkataaan من ضعف bukan dengan أضعف?


Ini adalah kerana Allah taala menyebut Min Dha’fii dengan makna, Manusia ini, memang zatnya itu lemah, kerana mereka dijadikan daripada Air mani yang hina, kemudian mereka diberikan kekuatan oleh Allah SWT, tetapi manusia ini dengan kesombonannya, mereka hanya bertawakkal dengan kekuatan mereka sahaja tanpa terus bergantung kepada Allah. Kekuatan tersebut samada dari segi kekuatan akal fikiran ataupun kekuatan jasmani…


Intabihlah wahai manusia yang lemah. Begitulah sikap manusia, apabila mereka lupa kepada pencipta mereka sendiri. Kerana itulah manusia perlu hidup saling bantu membantu di antara satu sama lain khususnya di dalam amal Islami..


Jadi marilah sama-sama kita berazam bermula hari ini, untuk terus bersatu demi melihat kegemilangan umat Islam yang pernah digemilangkan dahulu kembali bersinar.


Kita bukan generasi yang sekadar mengenang sejarah tetapi kita adalah generasi yang akan membina sejarah dengan dasar yang kukuh iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Dan pembinaan ini memerlukan kepada pengorbanan yang jitu dan thabat yang berterusan


Firman Allah yang bermaksud :

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta) at-taubah 42


* artikel ini disiarkan dalam Majalah Al-Khauthar, Terbitan Keluarga Penuntut Terengganu Syria (KPTS) pada ogos 2006


www.attakiri.blogspot.com


Bekerja Untuk Islam...

22 June 2010

Wala' Bukan Candu

Ucapan Dasar Presiden tentang penekanan soal wala' menimbulkan sedikit polemik. Bahkan sokongan daripada perwakilan Kedah yang menyatakan bahawa untuk mengekalkan kemenangan, wala' perlu diberikan kepada Presiden untuk melontarkan pelbagai idea-idea besar demi kepentingan parti menjadi agak gempita.

Rentetan daripada itu juga, terdapat sesetengah blogger yang mempertikaikan bahawa PAS tidak membenarkan pemimpin dikritik dengan sebab teguran Presiden kepada para pembawa berita dalam ucapan penggulungan baru-baru ini.

Wala' dilihat seolah-olah candu yang merosakkan PAS. Wala' dilihat sebagai cara kepimpinan PAS mempertahankan diri daripada kekurangan. Wala' dilihat sebagai alat untuk pemimpin mengekalkan kuasa.

Di antara kehebatan sesebuah organisasi samada bersifat keuntungan ataupun tidak ialah kesetiaan ahli kepada kepimpinan organisasi. Dalam masa yang sama juga kepimpinan juga perlu memastikan supaya ahli organisasi berpuas hati dengan kepimpinannya.

Wala' bukan bermakna memberi kesetiaan membabi buta. Bahkan Islam sendiri telah memberi garis panduan dalam soal ketaatan dan kesetiaan.

Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak. Ketaatan kepada pemimpin adalah bergantung kepada ketaatan kepada Allah dan Rasul.

Tapi perlu diingat, selagi mana pemimpin bertindak dalam keadaan tidak melanggar arahan Allah dan Rasul, kesetiaan perlu diberikan. Ketidakpuasan hati boleh dilontarkan dengan cara yang baik demi mengharapkan penjelasan.

Ahli boleh untuk berbincang terhadap idea yang dilontarkan secara umum. Tetapi jika keputusan telah dibuat, perlaksanaan menjadi satu kewajipan.

Teguran presiden PAS bukan kerana takut dengan kritikan. Teguran ini dilontarkan sekadar mengingatkan kepada para pembawa berita tentang cara dan etika penyebaran berita mengikut panduan agama. kepimpinan tidak mahu dek terlampu ghairah untuk memaklumkan berita sehingga kadang-kadang terlupa batas-batas agama dan boleh menghancurkan gerak kerja penyebaran Islam.

Inilah antara tanda sayangnya pemimpin kepada Ahli supaya tidak terjebak kepada perkara yang boleh mengundang murka Allah dan Rasul.

Jangan dipandang wala' sebagai doktrin pengekalan kuasa. Wala' perlu dipandang sebagai mekanisma pengukuhan organisasi.

Wala' merupakan salah satu mekanisma yang mampu memperkasakan sesebuah organisasi untuk mencapai matlamat yang tertentu. kadang kala strategi tidak perlu dihebohkan kepada umum selagi mana tidak tersasar daripada dasar dan asas perjuangan yang telah disepakati bersama.

Menyembunyikan strategi tersirat bukan bermakna mengkhianati para ahli. Rasulullah menyembunyikan arah tuju peperangan bukan untuk mengkhianati para sahabat. Tetapi lebih supaya rahsia strategi ini tidak diketahui oleh musuh yang mungkin akan menggagalkan segala operasi.

Wala' lahir hasil kombinasi pemimpin yang amanah dan ahli yang setia.

Andai kata wala' tidak di ambil penting oleh pemimpin dan pengikut, sesebuah organisasi pasti hancur kerana setiap keputusan tidak dilaksanankan di peringkat bawahan.

Sesebuah organisasi pasti lemah kerana setiap keputusan terlalu asyik dipertikaikan sehingga membantut kepimpinan merangka strategi.

Sesebuah organisasi pasti tidak dipandang hebat kerana pemimpin dilihat tidak mampu membina jaringan yang baik dengan pengikut.

Wala' Bukan perkara baru dalam agama. bahkan mekanisma ini telah lama diguna pakai oleh Rasulullah, para sahabat dan pemimpin Islam terdahulu berdasarkan panduan yang telah diberikan oleh Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

21 June 2010

Al-Fatihah untuk Ayahanda Ust.Hassan Shukri

( Artikel ini ditulis selepas dua hari kematian Allahyarham, tetapi oleh kerana penulis tengah pulang bercuti di Terengganu, Internet agak lembab)

“Baru kelihatan di Muktamar, tiba-tiba kedengaran berita, beliau telah pergi” ini antara suara yang kedengaran selepas berita kematian bekas Timbalan Presiden PAS di sebarkan dengan SMS dan website.

Ust. Hassan Shukri merupakan antara pimpinan yang begitu komited dengan Gerakan Islam ini semenjak dari muda sampai ke akhir hayatnya. Walaupun penulis tidak kenal rapat dengan beliau, tetapi melalui beberapa penulisan berkenaan dengan beliau memaparkan kehebatan dan kegahanya dalam menggerakkan PAS di belakang tabir.

Bahkan masih tergiang di telinga penulis antara isi ucapan beliau dalam program bengkel Ulamak Pelapis di taman melewar pada awal januari 2010 baru-baru ini tentang perlunya ulamak mahir dalam perlembagaan dan pengurusan PAS. Mungkin ini merupakan antara wasiat-wasiat kepada para ulamak pelapis supaya dapat menggantikan beliau sebagai Perlembagaan PAS Bergerak.

Pemimpin datang dan pergi. Ini merupakan sunnah Alam yang tidak dapat ditolak lagi. Datangnya di sambut, pergi dijulang walau dalam keadaan kesedihan

Rasulullah SAW telah meninggalkan para sahabat dalam keadaan para sahabat begitu memerlukannya. Begitu juga dengan para sahabat dan tabiin. Semuanya telah meninggalkan kita.

Tetapi peninggalan baginda dan para sahabat dikenang disebabkan keikhlasan mereka menyebarkan Islam dengan begitu komited. Rasulullah SAW telah Berjaya menyebarkan Islam dengan lengkap dan sempurna. Para Sahabat telah Berjaya menyebarkan Islam dan memahamkan kepada umat manusia erti kesyumulan Islam. para pemimpin Islam telah menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia bagi memastikan umat Manusia tidak menyirikkan Allah dan tidak dizalimi oleh pemimpin yang zalim dan korup.

Kini, pemimpin gerakan Islam telah meninggal dunia seorang demi seorang. Sebagai ahli gerakan Islam, adakah sekadar menangisi tanpa mengambil tindakan sesuatu untuk memastikan khazanah pemikiran mereka tidak terhapus.

Contohi tindakan Ibnu Abbas selepas kematian Rasulullah SAW dengan menyeru kepada para sahabat yang lain supaya berlumba-lumba mengambil ilmu sebanyak mungkin daripada para sahabat RA. Hasil daripada ketekunan beliau, akhirnya beliau dikenali sebagai Fuqaha sahabat yang menjadi rujukan kepada pemerintahan selepas Nabi SAW.

Gunakan kesempatan daripada pimpinan yang masih ada pada hari ini dengan mengambil segala bentuk pemikiran mereka dalam menggerakan PAS di masa kini. PAS tidak kurang dengan pemimpin pelapis. Tetapi pemikiran pemimpin masa kini dihadam supaya generasi pimpinan masa depan sentiasa mengambil yang baik dan mengjauhi sebarang kesilapan yang pernah dilakukan pada masa kini, kalau ada.

Tangisilah pimpinan yang pergi sebagaimana menangisnya Ibnu Abbas terhadap pemergian Rasulullah SAW. InsyaAllah, PAS akan terus bergerak hebat dan mantap di masa-masa yang akan datang.

Sesungguhnya Ust. Hassan Shukri meninggal dunia dalam keadaan jasanya disanjung oleh semua ahli PAS semuanya dalam Muktamar PAS kali ke 56.

Al-Fatihah buat beliau..

Bekerja Untuk Islam…

www.attakiri.blogspot.com