25 August 2015

Penambahbaikan Klausa 6.0 Pengurusan Sumber MS ISO 9001:2008 Menurut Perspektif Islam Menggunakan Model Kano

 
 
Oleh : Zulhimi Attakiri
 
1.1    PENGENALAN

Perkembangan pengurusan terkini memperlihatkan bahawa persoalan kualiti dalam pengurusan menjadi agenda penting dalam setiap organisasi awam mahu swasta bagi meningkatkan mutu pengurusan, perkhidmatan dan peningkatan produktiviti.

International Organization For Standardization atau ISO merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang menggabungkan organisasi daripada seluruh dunia yang bertanggungjawab membentuk piawaian antarabangsa bagi pengurusan kualiti dan jaminan sistem. Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001 adalah salah satu daripada piawaian yang telah ditetapkan lebih bertujuan untuk menentukan keperluan-keperluan sistem pengurusan kualiti yang boleh digunakan untuk penggunaan dalaman oleh organisasi, atau untuk persijilan, atau untuk tujuan kontrak. SPK ini menumpukan kepada keberkesanan sistem pengurusan kualiti bagi memenuhi keperluan pelanggan.

MS ISO 9001:2008 menekankan kepuasan pelanggan dan penambahbaikan yang berterusan. Piawaian ini telah dibahagikan kepada 8 klausa seperti berikut :
1)    Skop
2)    Rujukan Normatif
3)    Terma-terma dan definisi
4)    Sistem Pengurusan Kualiti
5)    Tanggungjawab Pengurusan
6)    Pengurusan Sumber
7)    Realisasi Produk
8)    Pengukuran, Penganalisisan dan Penambahbaikan

Kajian ini hanya menumpukan kepada Klausa 6.0 Pengurusan Sumber yang berkait rapat dengan tanggungjawab organisasi terhadap sumber manusia. Perincian klausa ini dapat dilihat dalam Jadual 1.1.

Menurut Bohlander et. al (2001) PSM merangkumi penggabungan semua tenaga kerja yang pelbagai untuk mencapai matlamat bersama. Manakala Ivancevich (2001) pula mentakrifkan PSM sebagai fungsi yang dilaksanakan dalam organisasi bagi membantu memudahkan penggunaan sumber manusia secara berkesan untuk mencapai matlamat organisasi dan individu.

Liong Lim  dalam Mursidi Ahamad (2005) pula menyebut bahawa PSM ialah penggunaan aset sumber manusia secara efektif untuk mencapai matlamat organisasi secara berterusan. Ia meliputi urusan utama iaitu perjawatan, pemilihan, latihan, motivasi, ganjaran dan compensation.

Muhammad Nasri dan Ab. Aziz (2005) menyebut bahawa PSM dalam perspektif Islam bermaksud pelaksanaan amalan pengurusan dalam usaha untuk memupuk, membangun dan memperkembangkan dan seterusnya keberkesanan penggunaan sumber dalam diri untuk mencapai peningkatan diri dan ummah.

Menurut Mursidi Ahamad (2005), skop perbincangan PSM berkisar tentang  :
1)    Perancangan sumber manusia
2)    Perjawatan, perekrutan dan pemilihan
3)    Penggajian dan intensif kewangan
4)    Pembangunan sumber manusia dan latihan
5)    Penilai prestasi
6)    Hubungan industri

Dalam Islam, matlamat utama terhadap pengurusan sumber menurut Islam ialah mencapai keredaan Allah. Dengan sebab itu, segala langkah dan agenda yang diatur berkaitan PSM mesti menepati peruntukan di dalam Al-Quran dan Hadis.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran, Az-Zhariyyat  51:56

Maksudnya: Dan (ingatlah), Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku (Allah).

Imam Al-Alusy (1270H) menyebut dalam mentafsirkan ayat ini antara lain ialah : Tidaklah Allah menciptakan jin dan manusia kecuali tunduk dengan segala keputusan Ku (Allah).

Konsep PSM tidak disebut secara jelas dalam Al-Quran, Hadis mahupun perbahasan ulama’. Tetapi penekanan terhadap konsep sumber manusia ditekan secara menyeluruh dalam semua sudut termasuk dalam pengurusan sumber manusia dalam sektor kerja.

Kajian ini memfokuskan kepada beberapa aspek dalam pengurusan sumber yang berkaitan dengan aspek hak dan kebajikan pekerja dan aspek keselamatan bersosial. Kajian ini juga akan melihat tuntutan syariah dalam menangani aspek ini bagi memastikan kualiti dan produktiviti dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

1.2    LATAR BELAKANG KAJIAN

Sumber manusia merupakan elemen perkara penting yang perlu dititik beratkan oleh sesebuah organisasi. Selain daripada tanggungjawab memberikan latihan, kemahiran, persekitaran dan infrastruktur yang selesa. Aspek kebajikan dan kebersamaan dalam peningkatan kualiti perlu di ambil kira. Kepuasan pelanggan tidak akan tercapai dengan baik jika pengurusan sumber manusia tidak mampu menguruskan aspek-aspek berkenaan dengan sumber manusia mengikut yang sepatutnya.

Pekerja     perlu dianggap sebagai rakan kongsi dalam sesebuah syarikat dan bukannya merupakan kos tambahan kepada organisasi. Penglibatan pekerja juga dipraktikkan untuk menyedarkan pihak pekerja tentang pentingnya sumbangan mereka dalam peningkatan kualiti dan produktiviti sesebuah organisasi. Tanpa kesedaran ini, maka sesebuah syarikat agak sukar untuk memasuki dunia perniagaan yang semakin mencabar (Parasuraman 2002).

Penglibatan pekerja dalam organisasi tidak dapat dijana dengan baik jikalau hak dan kebajikan pekerja tidak dipandang penting oleh majikan. Dalam hal ini, Islam telah meletakkan kepentingan pelaksanaan kebajikan kepada pekerja melalui Sabda Nabi SAW :

Maksudnya: Orang-orang yang bekerja di bawahmu adalah saudara-saudara mu yang diberi keizinan oleh Allah untuk bekerja di bawahmu. Seseorang yang mengambil saudaranya sebagai pekerja wajib memberikannya makanan dari apa yang dia makan dan memberi pakaian daripada apa yang ia pakai. Dan para pekerja tidak boleh dibebankan dengan tugas-tugas di luar kemampuan mereka. Jika kamu telah berikan mereka tugas berat, maka anda hendaklah menolong mereka

Kalaulah dalam bab hamba sahaya, Islam telah menetapkan aspek kebajikan sebegini rupa, bagaimana dengan layanan terhadap seorang pekerja yang merdeka dan diberi gaji atau upah. Semestinya layanan dan kebajikan seorang pekerja lebih dijaga dan dijamin haknya. Bahkan hadis ini juga menjadi hujah bagi para ulama’ Islam untuk mewajibkan kepada majikan supaya memastikan keperluan asasi pekerja perlu dijaga sama ada soal yang berkaitan dengan tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya.

Dengan sebab itu, pemahaman konsep Islam penting kepada pekerja khususnya pekerja Islam. Konsep pengawasan kendiri akan dapat terlaksana tanpa perlu kepada pengawasan disiplin yang ketat berlandaskan keyakinan pekerja bahawa pekerjaan adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Kongres Kesatuan Pekerja (Malaysian Trades Union Congress) atau ringkasnya MTUC telah melaporkan pelbagai isu yang membabitkan penganiayaan dan penindasan terhadap pekerja. Menurut MTUC sebagaimana yang dilaporkan dalam portal Kementerian Sumber Manusia bahawa hampir 100,000 pengawal keselamatan warga Malaysia terpaksa meletak jawatan ekoran penetapan gaji yang terlampau rendah iaitu antara RM 300.00 sehingga RM 550.00 dalam waktu kerja selama 12 jam sehari (Berita Harian 2010).

Kadar ini dilihat terlampau rendah berbanding dengan kos kehidupan harian semakin meningkat dari hari ke hari. Bahkan menurut kementerian Sumber Manusia lagi, hampir 34% daripada 1.3 juta jumlah pekerja berada di bawah tahap kemiskinan dengan tangga gaji di bawah paras RM 700.00 sebulan (Berita Harian 2010).

Analisis gaji yang ditawarkan majikan dalam program Fast Track Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi bulan Oktober – Disember 2009 menunjukkan gaji purata pekerja tempatan seperti dalam jadual 1.2

Jadual 1.2 Fast track: gaji dan elaun purata pekerja tempatan  mengikut sub
   industri sektor pembuatan
Sub-Industri
Gaji Pokok
(RM)
Elaun Tetap
(RM)
Gaji Kasar
(RM)
Elektrik & Elektronik
547.82
202.16
749.98
Perabot
679.12
94.80
773.98
Plastik
636.19
136.55
772.74
Sarung Tangan Getah
565.14
169.96
735.10
Tekstil
613.99
116.53
730.52
JUMLAH PURATA
626.76
135.46
762.20

Sumber : Kementerian Sumber Manusia 2010


Hasil daripada ketidakcukupan gaji akan berlakunya penyelewengan dan pecah amanah serta jenayah luaran yang berleluasa. Ini juga akan menimbulkan masalah tekanan keluarga dan sebagainya. Menurut Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) Profesor Dr.Mahmood Nazar Mohamed bahawa lazimnya individu yang menghadapi tekanan akan menunjukkan pelbagai simptom termasuk kurang daya ingatan, tidak hadir kerja tanpa sebab, dan kemurungan (Utusan Online 2003).
.
Selain daripada itu, antara aspek yang menyentuh hak dan kebajikan pekerja, khususnya pekerja Islam ialah hak mengamalkan agama. Maksud mengamalkan agama di sini mencakupi hak untuk menunaikan sembahyang, puasa, memakai pakaian yang menutup aurat dan termasuk juga larangan Islam daripada bekerja di tempat yang haram seperti urusan penjualan yang berkaitan dengan arak dan urusan perbankan yang berkaitan dengan riba.

Termasuk dalam isu agama juga kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Khalid Samad ketika melawat Kilang Carlsberg pada 5 Ogos 2010 menyebut bahawa hampir separuh pekerja kilang tersebut beragama Islam (Khalidsamad.com 2010).

Antara hak yang perlu difahami oleh majikan terhadap pekerja juga ialah keperluan untuk memahamkan pekerja tentang keperluan beragama. Islam sentiasa menekankan terhadap penganutnya persoalan amanah dan kebertanggungjawaban dalam menjalankan setiap tugasan. Umat Islam telah ditanamkan keyakinan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan sama ada ada kebaikan atau keburukan akan ditulis dalam catatan amal yang akan dipertontonkan di hadapan Allah pada hari akhirat nanti. Ini merupakan antara konsep pengawasan kendiri yang perlu ditanamkan kepada setiap pekerja khususnya pekerja Islam.

Timbul isu penipuan kepada cuti sakit, rasuah di kalangan pegawai imigresen dan sebagainya adalah hasil daripada hilangkan penekanan tentang nilai-nilai yang dianjurkan oleh agama.
Ini adalah kerana Islam tidak hanya melihat hubungan di antara manusia tetapi keupayaan pengurusan untuk menggabungkan di antara matlamat pengurusan dengan matlamat sebenar iaitu menuju keredaan Allah SWT (Mursidi Ahamad  2005).

Dengan sebab itu, di antara tanggungjawab yang perlu disediakan oleh sesebuah organisasi ialah pembentukan  latihan yang bersifat kerohanian ke arah pemahaman dan pengamalan agama khususnya Islam bagi membendung keperluan-keperluan yang bersifat dalaman seperti penipuan, rasuah, tidak bertanggungjawab, membazir masa dan sebagainya. Pengisian sebegini merupakan antara hak pekerja yang mesti dilunaskan oleh organisasi bagi mencapai peningkatan kualiti dan produktiviti dalam gerak kerja syarikat. Ini semua antara beberapa isu yang bersangkut paut dengan aspek hak dan kebajikan pekerja yang biasa berlaku di kalangan pekerja.

Aspek keselamatan merupakan antara aspek yang perlu ditekankan dalam perkara yang berkaitan dengan pengurusan sumber. Penyelidik akan menyenaraikan beberapa contoh dalam isu ini seperti jaminan keselamatan dalam perkhidmatan, gangguan seksual, kerja luar (out station) dan keselamatan kerja malam. Termasuk dalam aspek ini juga ialah sejauh mana kemampuan sesebuah organisasi menyusun persekitaran supaya menjadi lebih selamat dan menimbulkan ketenangan di kalangan pekerja khususnya wanita.

Kajian Sabhita (2001) mendapati bahawa antara 42% hingga 70% pekerja wanita di negara ini (Malaysia) telah mengalami gangguan seksual (Ishak bin Mad Shah. 2004).

Malaysia telah mula memperkenalkan Kod Amalan Untuk Mencegah Dan Membasmi Gangguan Seksual di tempat kerja pada 17 Ogos 1999 di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia. Namun kod amalan ini tidak mempunyai sebarang implikasi undang-undang dan tidak diwajibkan kepada semua majikan mematuhinya. Ia hanya garis panduan bagi majikan menggubal satu kenyataan dasar berkaitan dengannya (Siti Fatimah 1999).

Gangguan seksual telah memberi satu pengalaman yang amat mengerikan dan menyeksa ke atas mangsa. Perasaan mangsa tertekan, benci, marah dan hilang pertimbangan sehingga menjejaskan kesihatan dan mengakibatkan tekanan emosi dan fizikal serta lain-lain penyakit yang berpunca daripada tekanan tersebut. Mangsa juga mungkin mengalami trauma emosi, cemas, gelisah, sugul dan terhina (Kementerian Sumber Manusia, 1999).

Islam mempunyai yang tersendiri untuk mencegah gangguan seksual ini daripada berlaku. Bermula daripada penanaman perasaan takwa dalam setiap orang pekerja, penetapan etika berpakaian yang menutup aurat, tidak membenarkan berdua-duaan dalam keadaan yang mencurigakan sehingga peringkat pelaksanaan hukuman. Ini semua antara konsep pencegahan yang dilakukan oleh Islam (Perincian dalam Bab 2).

Dalam aspek keselamatan juga, kerja pada waktu malam  perlu dilihat dengan lebih terperinci. Isu yang disebutkan di sini sama ada soal keselamatan pekerja wanita yang pulang dan juga soal kesihatan dan pergaulan antara keluarga.

Mengikut kajian yang dilakukan terhadap pekerja-pekerja wanita di kilang elektronik yang bekerja secara shif oleh Zailina dan Mat Yusof (1986), pekerja-pekerja ini akan berdepan dengan masalah kesihatan fisiologi, sosial dan permasalahan emosi. Daripada 100 sampel yang diambil hampir 73% mengalami gangguan makan, 87% mengalami gangguan tidur siang. Selain daripada itu, pekerja ini juga dilihat jarang menyertai sebarang aktiviti sosial seperti bersukan, kebudayaan dan agama.

Kesemua ini akan memberi kesan emosi pekerja, pembangunan institusi keluarga, hubungan kekeluargaan dan hubungan sosial antara satu sama lain.

Kesibukan dengan tugasan, kerja lebih masa, kerja luar yang tidak dipantau secara sepatutnya juga antara perkara yang perlu dilihat dengan lebih terperinci dalam aspek keselamatan.

Mengikut pandangan Peguam Syarie Musa Awang dalam rencana Kosmo menyebut kes penceraian akibat isteri curang meningkat 20% setiap tahun. Menurut beliau, antara punca utama ialah isteri banyak menghabiskan masa di tempat kerja sehingga kurangnya masa bersama dengan keluarga di samping banyak meluahkan masalah rumah tangga kepada orang ketiga. Keadaan ini berlaku juga berlaku kepada suami (Kosmo 2010).

1.4 PERNYATAAN MASALAH   

Sebagaimana yang dimaklumi MS ISO 9001:2008 merupakan piawaian yang menekankan tentang keperluan untuk memenuhi keperluan pelanggan. Klausa yang berkaitan dengan permasalahan yang disebutkan termaktub dalam klausa 6.0 Pengurusan Sumber. Klausa ini dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu :
1)    Bekalan Sumber
2)    Sumber Manusia
3)    Infrastruktur
4)    Persekitaran kerja.

Berdasarkan permasalahan yang berlaku, klausa 6.0 Pengurusan Sumber MS ISO 9001:2008  yang ada sedia ada tidak mampu menangani permasalahan dalam aspek-aspek yang disebutkan khususnya aspek yang berkaitan dengan keperluan pelanggan dalaman (pekerja) secara menyeluruh seperti aspek hak dan kebajikan dan aspek keselamatan  pekerja sebagaimana yang telah ditimbulkan dalam perenggan sebelum ini.

Walaupun dalam klausa ini telah memperuntukkan penekanan terhadap latihan dan kemahiran kepada pekerja. Tetapi latihan dan kemahiran tersebut lebih tertumpu dalam bidang tugasan untuk menarik kepuasan pelanggan tanpa menyentuh latihan dan kursus yang berkaitan hak keperluan pekerja atau latihan tentang kursus pembangunan kendiri pekerja.

Dalam klausa 8.0 penambahbaikan berterusan MS ISO 9001:2008  juga tidak meletakkan kepentingan penambahbaikan keperluan pekerja. Oleh itu penambahbaikan perlu dilakukan supaya sistem pengurusan kualiti dipandang dengan lebih lengkap, sesuai dan memberi keadilan kepada semua pihak.

Prinsip syariah yang berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis akan menjadi asas pengkajian sebagai satu penyelesaian alternatif (utama) dalam penambahbaikan yang dicadangkan. Ini kerana Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada sekian alam.

1.5 OBJEKTIF KAJIAN

Berdasarkan kepada pernyataan masalah yang disebutkan itu, maka objektif kajian ini ialah :
1) Mengenal pasti kekurangan dalam klausa 6.0 Pengurusan Sumber mengikut perspektif Islam dalam aspek keselamatan bersosial dan aspek hak dan kebajikan pekerja
2) Mengukur tanggapan penambahbaikan dalam klausa 6.0 Pengurusan Sumber  menerusi Model Kano
3) Membandingkan keperluan penambahbaikan klausa 6.0 Pengurusan Sumber berdasarkan pecahan faktor demografi

1.6 KEPENTINGAN KAJIAN

Penambahbaikan terhadap klausa 6.0 Pengurusan Sumber MS ISO 9001:2008 secara langsung dengan mengikut pembahagian yang telah ditetapkan dalam klausa ini mengikut konsep Islam.

Organisasi dapat mengenal pasti punca permasalahan sosial yang boleh mengganggu operasi kerja di pejabat dan kaedah penyelesaian menurut Islam. Organisasi juga dapat mengetahui hak dan kebajikan pekerja menurut Islam yang diperlukan pekerja. Kesan daripada pelaksanaan ini dijangka mampu meningkatkan lagi kualiti dan produktiviti syarikat melalui pendekatan mesra pekerja.

Manakala pekerja dapat memahami sejauh mana hak dan kebajikan masing-masing yang di jaga oleh Islam. Pengetahuan ini penting kepada pekerja supaya majikan tidak mengeksploitasikan tenaga kerja tanpa diberi ganjaran dan hak yang sepatutnya.

Kajian ini sesuai kepada semua sektor khususnya dalam sektor pembuatan bagi memastikan mutu perkhidmatan untuk mencapai kepuasan pelanggan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

1.7  SKOP KAJIAN

Kajian ini hanya memfokuskan kepada klausa 6.0 Pengurusan Sumber MS ISO 9001:2008 yang dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu Bekalan Sumber, Sumber Manusia, Infrastruktur dan persekitaran kerja. Penumpuan kajian ini juga hanya menumpukan kepada aspek hak dan kebajikan pekerja dan aspek keselamatan bersosial yang akan dikaitkan dengan 4 bahagian dalam klausa 6.0 Pengurusan Sumber ini.

Pengkajian perincian syariah akan ditumpukan kepada isu tersebut berpandukan kepada Al-Quran, Hadis, kajian Ulama’ silam dan kontemporari. Perbahasan hukum yang melibatkan isu perbahasan mazhab akan diringkaskan sebaik mungkin dan akan di ambil mengikut pandangan yang paling kuat dan sesuai untuk diaplikasikan dalam suasana semasa.

1.8 KESIMPULAN


Keseluruhan daripada bab ini lebih banyak menumpukan kepada permasalahan yang timbul dari kalangan pekerja daripada aspek keselamatan bersosial dan aspek hak dan kebajikan pekerja. Kedua-dua aspek dilihat tidak disentuh dalam klausa 6.0 Pengurusan Sumber MS ISO 9001:2008 bagi menangani permasalahan yang sedia ada. Oleh itu, kajian perlu dilakukan bagi membuat penambahbaikan dalam klausa dengan menjadikan Islam sebagai asas penambahbaikan.

Teruskan Perjuangan

... Bekerja Untuk ISLAM..