25 June 2012

PAS, Gerakan Islam & Tumpuan Antarabangsa


Pengumuman rasmi pilihanraya presiden Mesir telah diumumkan semalam yang menyaksikan Dr. Mohamad Mursi dinobatkan sebagai Presiden Mesir. Pengumuman yang asalnya pada 21 Jun ditangguhkan selepas mendapat laporan penyelewengan dalam Pilihanraya.

Pun begitu, isu tindakan mahkamah perlembagaan Mesir membatalkan semua pilihanraya parlimen masih belum diselesaikan lagi. Pihak Tentera dilihat cuba untuk menguasai pentadbiran Negara dengan membuat pelbagai penambahan dalam perlembagaan mesir yang baru.

Sebelum ini, selepas kematian Muammar Ghadafi, Jucacakap pemerintah sementara Libya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa parti-parti yang bertanding mesti parti yang bukan berasaskan agama, etnik dan kelompok.

Kenyataan ini telah menarik kemarahan pimpinan gerakan Islam di sana dan mendesak supaya keputusan itu ditarik balik.

Ikhwanul Muslimin pernah bekerjasama dengan Jamal Abdul Naseer dan Anuar Sadat dalam menggulingkan sistem monarki yang zalim di bawah pemerintahan Raja Farouk. Selepas pergulingan Berjaya, Ikhwanul Muslimin dikhianati sehingga para pendokongan ikhwanul dibunuh habis-habisan sehingga sampai di zaman Husni Mubarak.

Pada tahun 1992, Barisan Penyelamat Islam (FIS) pernah memenangi hamper 80% kerusi parlimen. Namun Presiden Algeria ketika itu, Benjedid bersama pimpinan tentera, Mohammed Boudiaf telah menggulingkan kuasa dan menafikan hak kemenangan yang telah dikecapi oleh FIS.

Seorang pelarian Syria pernah menceritakan kepada penulis tentang sukarnya gerakan Islam menyuarakan pandangan dalam Majlis Tindakan Rakyat Syria yang ahlinya terdiri dari pelbagai ideologi. Keadaan ini amat memerlukan seorang pemimpin yang tegas dan mahir dalam berdepan dengan selok-belok politik. Setakat pemimpin yang mewakil gerakan Islam masih mampu berdepan dengan suasana sedemikin

Kesukaran ini berlaku, apabila terdapat satu golongan yang kadang kala mempergunakan sokongan umat Islam untuk merampas kuasa, namun apabila berkuasa, hak untuk Islam mentadbir dinafikan dengan pelbagai alasan.

Dunia telah memperlihatkan pelbagai lakaran sejarah gerakan Islam yang kadang kala ditipu oleh rakan seperjuangan sendiri, digulingkan selepas mendapat kuasa, dipergunakan oleh golongan tertentu untuk terus berkuasa dan sebagainya.

Apa yang berlaku sebelum ini, memaparkan bagaimana musuh-musuh Islam terus menerus menentang kebangkitan Islam walau dengan apa cara sekalipun

Sebab itu, PAS perlu sentiasa melihat dan mengkaji pergerakan dan strategi rakan-rakan seperjuangan di seluruh dalam berdepan dengan lawan dalam Negara dan lawan peringkat antarabangsa.

Musuh terus menyerang

Musuh terus merancang

Musuh pasti akan meranapkan gerakan yang ingin menegakkan Islam

Kalau kebangkitan ikhwanul Muslimin di Mesir boleh membangkitkan semangat Islam di Asia Barat

Tidak mustahil kebangkita PAS boleh menaikkan semangat Islam di Asia Tenggara.

Oleh itu, strategi terbaik perlu diatur sebaik mungkin.

Yakinkan kepada kepimpinan sendiri lebih baik dari meyakini pemimpin yang lain walaupun dari parti rakan sendiri.

Kawan politik berbeza dengan sahabat dalam Jemaah.

Teruskan Perjuangan

…Bekerja Untuk Islam…

9.21 malam, Kg. Teras Jernang

22 June 2012

Iktibar Syaaban : Kebaikan perlu dilatih

Kita mula memasuki bulan syaaban. Bermakna bulan ramadan bakal tiba tidak lama lagi. Menjadi kebiasaan bagi segelintir umat Islam, apabilan tiba awal ramadan, pelbagai amalan sunat selain solat terawih dilakukan seperti membaca Al-Quran, Qiamullai, solat dhuha dan sebagainya. Namun menjadi kebiasaan segelintir umat Islam juga, segala amalan yang dijalanbkan hanya mampu dilayari di separuh perjalanan sahaja. 

Kalau difikirkan, mengapa perkara sebegini boleh berlaku, bukankah pada bulan ramadhan peranan syaitan dengan dibekukan?. Sepatutnya umat Islam bertambah semangat untuk melaksanakan segala bentuk amalan sunat sebab penggangu utama sudah hilang.?

Kadang kala manusia terlupa bahawa dalam diri manusia, elemen yang menyerus kepada kejahatan selaian syaita ialah hawa nafsu yang tidak dilatih dengan kebaikan sehingga selalu cenderung terhadap perkara larangan Allah SWT.

Apabila kedua-dua elemen ini bergabung dalam menyeru kejahatan atau perkara negatif, maka agak sukar bagi seseorang untuk mengubah diri menjadi seorang yang lebih baik atau positif.

Perubahan mendidik nafsu bukan boleh dilakukan secara mendadak kerana perubahan mendadak boleh menyebabkan kita meninggalkan amalan itu secara mendadak.

Pernah suatu ketika di zaman persekolahan menengah dahulu, penulis mendirikan sembahyang sunat rawatib setiap waktu secara mendadak selama 3 hari. Kesan perubahan mendadak itu menyebabkan penulis meninggalkan solat sunat rawatib selama 3 bulan dek kerana fikirkan bahawa amalan sunat sebelum ni dah banyak.

Sebab itulah Nabi bersabda : Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah berkekalan walaupun sedikit  (Hadis direkod oleh Bukhari dan Muslim)

Untuk menjadikan sesuatu perbuatan menjadi kebiasaan, latihan perlu dilakukan sehingga amalan atau perbuatan tersebut menjadi darah daging yang sukar dipisahkan.

Imam Ibnu Qayyim pernah menyatakan bahawa dalam jihad membangunkan jiwa (menentang hawa nafsu) dipecahkan kepada 5 peringkat :
  1. Jihad mempelajari ilmu khususnya ilmua agama : Tanpa ilmua, bagaimana seseorang tahu membezakan antara kebaikan mahupun keburukan. sebagaimana contoh : Marah adalah sesuatu sifat yang dikeji, tapi terdapat perkara yang sifat marah itu dibolehkan, jadi ini memerlukan kepada ilmu.
  2. Jihad untuk mengamalkan ilmu : ilmu tanpa amalan hanya mendatangkan kemurkaan Allah semata-semata. bahkan inilah antara sifat golongan ahli kitab
  3. Jihad dalam menyampaikan ilmu : Ilmu yang diamalkan mesti disampaikan kepada orang lain untuk sama-sama di ambil manfaat kerana apabila kebaikan tidak berkembang boleh menyebabkan pengamal kebaikan tidak istiqamah sebab selalunya suasana boleh mempengaruhi keadaab
  4. Jihad dalam bersabar atas seruan yang dijalankan : Perjuangan memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Sesiapan yang cinta dan sebarkan sebarang bentuk kebaikan pasti akan berdepan dengan cacian atau pulau oleh sesiapa yang bencikan kebaikan. Contoh pegawai imengresen yang tidak memakan rasuah akan dipandangan sinis oleh pegawai yang sentiasa mengambil peluang untuk mendapatkan rasuah.
Peringkat-peringkat ini dikeluarkan menandakan bahawa kebaikan perlu dilatih. Kebaikan tidak lahir dengan secara spontan. Seorang pemarah, memerlukan masa untuk menukarkan cepat marah kepada rasional. kaki penipu perlukan masa untuk menjadi seorang yang sentiasa bercakap benar,

Bahkan graduan mahasiswa memerlukan masa untuk belajar memberi komitmen dalam alam pekerjaan yang kadang kala memerlukan kelincahan dalam menjalankan tugasan.

Kesemua perkara ini memerlukan LATIHAN

Bulan Rejab telah pun berakhir...

Bermula Syaaban. 

"Saidatina Aisyah pernah berkata: Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa suata dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan syaaban

Dalam hadis ini, penulis melihat bahawa perlunya umat Islam mula melaksanakan amalan kebaikan secara berperingkat supaya tidak terkejut. Nabi perbanyakkan berpuasa di bulan syaaban sebagai persediaan untuk berpuasa di bulan ramadhan.

Jangan kita mulakan amalan kebaikan bermula awal ramadhan, bahkan mulakan amalan kebaikan mulai sekarang secara berperingkat agar apabila tiba ramadhan, nafsu manusia berjaya ditundukkan. Apabila nafsu ditundukkan, segala kebaikan lebih mudah dilaksanakan dalam ramadhan lebih-lebih peranan syaitan dibekukan.

Lakarkan jadual mulai sekarang dan senaraikan apakah amalan sunat yang ingin didarah dagingkan..Apa dia sifat negatif yang ingin dikoyakkan dari diri untuk dihilangkan.

Semua ini dibuat supaya selain daripada memudahkan seseorang membuat amalan kebaikan di bulan ramadhan, bahkan memudahkan seseorang terus istiqamah dalam amalan tersebut walaupun selepas ramadhan.

Kita bukan penyembah ramadhan, tetapi ramadhan perlu dijadikan batu loncatan untuk kita melatih sebarang bentuk amalan kebaikan supaya didarah dagingkan selepas ramadhan..

Gunakan syaaban sebagai warming up  untuk ramadhan..Jadikan ramadhan sebagai pendarahdaging segala amalan kebaikan yang ingin dilekatkan...

Ibnu Atoillah As-Sakandari pernah menyebut : Istiqomah itulah karamah yang paling utama

Teruskan Perjuangan

...Bekerja Untuk Islam...

12.00 am, Kg. Teras Jernang

20 June 2012

Diktator Basyar Al-Asad pasti sampai penghujungnya

"Di sini, nama Basyar Al-Asad dilarang sebut, kita sebut Pak Long je untuk ganti nama Basyar Asad" Pesanan abang-abang senior ketika penulis mula sampai di bumi yang diberkati Syria. Arahan ini dikeluarkan kerana Syria memang terkenal sebagai negara yang banyak SBnya. 

SB ada dimerata-rata tempat sampai tahap si ayah tidak percaya pada anaknya dan tidak berani bercakap apa-apa berkenaan dengan kezaliman pemimpin negara khuatir anaknya menjadi SB dan melaporkan kepada pihak atasan.

Ini antara gambaran sebuah kerajaan yang zalim kepada rakyatnya.

Semenjak berlaku perberontakan seawal tahun 2011, penulis tidak mencoretkan suatu pun kisah mahupun pandangan. Malah penulis tidak terlibat secara langsung dengan bantahan-bantahan yang dibuat oleh Pemudan PAS mahupun NGO-NGO Islam.

Kadang kala, malu menjamah muka dalam keadaan penulis pernah menghirup air tangan ulamaknya hampir 5 tahun. Pun begitu penulis cuba semampu mungkin untuk mengambil tahu perkembangan terkini dari sahabat-sahabat yang masih berada di sana. 

Syria tidak sunyi daripada berlaku pergulingan kuasa selepas mendapat kemerdekaan dari Perancis. Pergulingan kuasa akan berlaku yang biasanya melibatkan ketua ketenteraan mengambil alih kuasa presiden. Selepasa Hafiz Al-Asad (ayah Basyar Al-Asad). Hafiz Al-Asad telah menggunakan segala kekuatan tentera dan penindasan bagi memastikan kuasa yang ada padanya tidak digulingkan

Biasalah, orang yang naik dengan cantasan pasti takut dirinya dicantas oleh orang lain sebagaimana dia mencantas.

Pada awal tahun 80'an, Ikhwanul Muslimin Syria pernah mencuba untuk menggulingkan kuasa daripada Hafiz Al-Asad, namun cubaan ini berjaya dipatahkan kerana terdapat pengkhianat dalam gerakan tersebut sehingga perancangan tersebut gagal. Ekoran daripada itu, Hafiz Al-Asad telah membunuh hampir 100,000 orang rakyatnya sendiri dengan dakwaan bahawa mereka ini merupakan golongan yang ingin menggulingkan kerajaan.

Selepas peristiwa tersebut, penindasan dan kezaliman didahsyatkan lagi. Pemuda-pemuda tidak dibenarkan bersembahyang subuh berjemaah di masjid, jiran tetangga tidak boleh berkumpul dalam rumah lebih dari 3 orang. Ulamak yang disyaki menyebarkan fahaman politik dan jihad akan ditangkap dan dibunuh begitu sahaja. Kouta Haji hanya akan diberikan kepada orang tua yang berumur 50 ke atas sahaja kerana bimbang ada perancangan di Mekah untuk guling kerajaan jika orang muda pergi dan pelbagai lagi bentuk kezaliman dan penindasan.

Penindasan ini dilakukan kerana mereka tahu mereka adalah pemerintah yang zalim. Hanya orang zalim sahaja takut terhadap kezalimannya. Kalau mereka memerintah dengan adil tidak timbul isu penggulingan kuasa mahupun kebenciaan rakyat.

Ketika penulis mula sampai di sana, keadaan tersebut agak reda. Pemuda-pemuda mula dibenarkan bersembahyang subuh berjemaah di masjid. Namun kezaliman yang lain masih tetap diteruskan. Antaranya askar berhak merampas barang-barang jualan di pasar bila-bila dia mahu. Pelajar asing dilarang berada dalam rumah orang arab. visa untuk belajar agama disekat untuk pelajar luar. Universiti-universiti Islamik tidak diberikan lesen untuk menjalankan aktiviti pendidikan standard. Sesiapa yang disyaki menyimpan buku Ikhwanul Muslimin pasti ditangkap walaupun rakyat asing dan seribu macam lagi kezaliman yang dijalankan termasuk penipuan dalam pilihanraya.

Rakyat Syria adalah rakyat yang cintakan Islam. Buktinya hampir setiap pengajian, masyarakatnya penuh memenuhi masjid menuntut ilmu lebih-lebih lagi golongan belianya. Kebanyakan belianya adalah golongan yang cintakan ulamak dan ilmu. Namun masing-masing terpaksa memendamkan terhadap sebarang bentuk kezaliman yang berlaku.

Sebab itu, penulis berpandangan bahawa jika ruang demokrasi diberikan kepada rakyat Syria, nescaya gerakan Islam akan mendapat sokongan padu dari masyarakatnya. Yang berbaki tinggal ialah sejauh mana kemampuan dan strategi gerakan Islam di sana untuk mendapat kuasa daripada tangan Basyar Al-Asad.

Ketika Husni Mubarak di puncak kuasa, pernah terlintas dibenak penulis bahawa Husni Mubarak hampir mustahil dijatuhkan. tapi perkara yang mustahil telah berlaku secara realitinya hari ini.

Basyar Al-Asad mungkin mendapat sokongan besar daripad Syiah samada Iran, Hizbullah. Namun ingat, selagi mana dia memerintah dengan zalim maka dia pasti akan jatuh. cuma masa yang menentukan samada dalam masa terdekat atau memakan masa bertahun.

Kezaliman Basyar pasti akan sampai pengujungnya.. Syria tidak sunyi dari rakyatnya yang ikhlas berjuang dan pemimpin yang berkaliber dalam memimpin negaranya.

InsyaAllah, penulis akan cuba terlibat dengan kemampuan yang sedia ada dalam mengutuk sebarang bentuk kezaliman Basyar Al-Asad terhadap rakyatnya. Hanya pemimpin gila sahaja yang sanggup membunuh rakyatnya sendiri. 

Kezaliman Basyar pasti sampai penghujungnya...Yakinlah...

Hanya Allah tempat pengaduan KITA.

Ya Allah...Berikan ketabahan kepada pejuang-pejuang agamanu dalam berdepan dengan kezaliman Basyar Al-Asad. Teguhkan pendiri mereka, satukan hati-hati mereka, kurniakan kekuatan kepada mereka. 

Ya Allah, Ya Tuhanku. Sesungguhnya Basyar telah berlaku zalim kepada rakyatnya, telah membunuh ulamak;ulamak kami, telah membuatkan si anak menjadi yatim, membuatkan si isteri menjadi balu, telah membuatkan siibu dan bapa menangis kerana anak mereka dibunuh...Hancurkan Basyar Ya Allah, Jatuhkan Basyar dari memegang tampuk kuasa Ya Allah..Sesungguhkan kepada engkau kami mengadu segala-galanya. Sesungguhnya pengetahuan Mu amat luasa Ya Allah...Kepada Mu aku mengadu Ya Allah, Ya Rahmaan, Ya Rahim

Sesungguhnya Syria adalah bumi yang diberkati. Aku tetap rindu pada mu Syria..

Teruskan Perjuangan

...Bekerja Untuk Islam...

8.54 malam, Kg. Teras Jernang

19 June 2012

Syiah dan LGBT : antara kuasa dan cakap

Isu syiah bergema hampir 5 muka surat dalam sinar harian. isu gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) terus menerus terpancar bermula daripada gerakan bersih 2.0 sehingga kini. Mungkin sebab pengerusi bersama Bersih 2.0 adalah Dato S.Ambiga menyebabkan isu LGBT terus dinobatkan menjadi isu utama atau mungkin tidak.

Begitu juga dengan isu Syiah. Adakah kerana ingin menjahanamkan karakter pemimpin tertentu sehingga tajuk ini diperluaskan. atau pihak media memang ingin membongkar rahsia gerakan syiah yang dilihat sedang menyebarkan fahamannya dalam masyarakat Malaysia. kalau niatnya ikhlas, alhamdulillah

Tujuan untuk mendapat kuasa adalah memudahkan seseorang atau kumpulan mencapai agenda tertentu supaya dapat dilaksanakan dengan perbentukan polisi dan perlaksanaan di semua peringkat dan lapangan. Kuasa juga dapat memandu manusia yang degil untuk mencapai apa yang diinginkan pihak penguasa.

Dengan sebab itu, Islam menuntut umatnya agar berjuang untuk mendapatkan kuasa supaya semua agenda Islam dapat dilaksanakan dalam memastikan pembangunan negara dapat dijalankan secara mampan dan sempurna mengcakupi aspek pembangunan manusia dan pembinaan pembangunan dan kemajuan.

Dalam kedua-dua isu ini, PAS memang menentang keras kedua-duanya samada dalam isu LGBT mahupun syiah. isu LGBT dilihat sebagai salah satu perkara yang boleh merosakkan fitrah manusia dalam pertumbuhan dan pembinaan generasi akan datang.

Kalau tidak kasar, mereka boleh diklafikasikan sebagai orang kelainan upaya untuk bahagian dalaman. Kalau mereka yang tidak mempunyai tubuh badan yang sempurnan boleh digelar sebagai orang kelainan upaya (OKU). Mengapa tidak untuk golongan yang hormonnya mungkin berbeza dengan manusia biasa.

Bukan niat penulis untuk menghina, tetapi lebih untuk menarik perhatian kerajaan dalam merancang untuk merawat golongan sebegini. Kerajaan melalui majlis agama bukan sekadar perlu bercakap menentang atau mengharamkan gerakan golongan ini semata-mata. tetapi perlu memikirkan kaedah penyelesaian yang konkrit bagi membantu memulihkan golongan sebegini.

Bantuan yang diberikan bukan sekadar penerapan nilai agama semata-mata. tetapi dalam aspek perubatan juga perlu dilihat supaya dapat dijalankan kajian atau ubatan yang mampu mengembalikan perasaan yang songsang menjadi normal kembali. Mungkin pihak kerajaan perlu mengadakan seminar antarabangsa bagi membantu golongan sebegini kembali kepada fitrah asal kejadian manusia.

Inilah bezanya antara kuasa dan cakap. Pembangkang hanya boleh menentang golongan sebegini dalam bentuk percakapan atau seminar semata-mata. Tidak lebih dari itu.  Kalau kerajaan hanya pandai bercakap menentang golongan ini semata-mata. Maka kerajaan sama taraf dengan pembangkang.

Sebab itu penulis sebutkan, kalau kerajaan hanya bercakap soal penentangan LGBT tanpa tindakan, bermakna kerajaan hanya menangguk air keruh untuk mengambil peluang politik semata-mata.

Begitu juga dengan isu syiah. kerajaan jangan hanya bercakap tentang pengharaman semata-mata. tetapi penjelasan yang jelas perlu diberikan kepada rakyat tentang bahaya syiah yang semakin menular. letakkan satu slot dalam televisyen tentang perbezaan ideologi syiah dan ahli sunnah. Kenapa syiah silap dan sebagainya. ini semua menandakan bahawa kerajaan serius untuk menidakkan pengaruh syiah dalam Malaysia.

PAS hanya mampu memecat ahlinya yang terlibat secara rasmi dalam syiah. tetapi kerajaan mampu untuk menidakkan perkembangan syiah daripada terus berkembang. Kalau kerajaan tidak mampu menggunakan kuasa baik serahkan kepada PAS dan Pakatan Rakyat sahaja.


Teruskan perjuangan

...Bekerja Untuk Islam...

10.15 malam, Teras Jernang

18 June 2012

Jaga Akhlak dan Baca Al-Quran - Allayarham Al-Fadhil Ust. Yahya Othman



Ketika kakak penulis menghantar SMS berkenaan dengan berita kematian Allahyarham Ust. Yahya Othman, penulis dalam keadaan agak terkejut. Bukan tidak menerima berita kematian. Cuma penulis tidak pernah dengar yang beliau sakit teruk. 

Di zaman waktu belajar, penulis terlibat banyak usrah dan sering bertukar-tukar naqib. Kadang kala penulis selalu terfikir macam mana usrah boleh membina pemuda yang bertaqwa. macam mana usrah boleh melahirkan pemuda yang FAHAM. Namun persoalan itu, penulis biarkan berlalu begitu sahaja tanpa jawapan. Mungkin pendekatan naqib yang tidak menarik atau isi kandungan yang tidak kemas.

Penulis pernah diberi peluang mengikuti usrah kendalian Ust. Yahya Othman dalam satu masa. Usrah yang berjalan selama 2 jam itu begitu berkesan dalam diri penulis. setiap ucapan dan tutur kata yang dikeluarkan bagai manik yang berjurai meninggalkan bekas dan ingatan yang cukup tajam.

Bagi penulis, inilah usrah yang sebenar yang melahirkan generasi pemuda yang sedia berkorban untuk ISLAM. Pendekatan beliau yang bersahaja tetapi sarat dengan nasihat berhujjah Al-Quran boleh membuatkan penulis mengalirkan air mata. Bahkan nasihat beliau dalam usrah tersebut penulis gunakan berkali-kali dan dijadikan mukaddimah dalam setiap ucapan penulis kepada pelajar dan mahasiswa sebagai pedoman bersama.

antara lain beliau menyebut "Akhi, kamu tahu apa makna gerakan Islam. gerakan Islam adalah Islam yang bergerak. Jadi setiap ahli gerakan Islam mesti menjadi Islam yang bergerak. setiap ahli gerakan islam mesti berakhlak dengan akhlak islam."

antaranya lagi " antara kelemahan ahli gerakan Islam ialah selalu culas dalam membaca Al-Quran. Sepatutnya ahli gerakan Islam perlu memperbanyyakkan bacaan Al-Quran sebab itu sumber utama kita"

Sebutan mudah tapi memberi makna yang mendalam.

Terima kasih buat Allahyarham Ust. Yahya Othman di atas mutiara yang pernah diberikan. Walaupun penulis hanya sempat sekali berusrah (dalam kuantit 7 orang) dengan beliau, namun kata-kata beliau tetap penulis sebarkan dan cuba diamalkan sampai-sampai bila-bila insyaAllah.

Semoga Allahyarham bersemadi dengan aman dan penuh ketenangan di alam sana. Sesungguhnya tidak rugi orang yang mewaqafkan diri dalam perjuangan

Al-Fatihah buat Guruku Allayarham Al-Fadhil Ust. Yahya Othman.

Teruskan Perjuangan

...Bekerja Untuk Islam...

11.45 malam, Teras Jernang

Kemenangan Ikhwanul Muslimin penambah semangat Himpunan Hijau Ke Putrajaya

Semalam kita baru dikejutkan dengan berita sedih dengan kematian Al-Fadhil Ust. Yahya Othman yang merupakan tokoh murabbi PAS. Beliau sebelum ini pernah menerima tarbiyyah secara sistematik dari Ikhwanul Muslimin di waktu mudanya. Bahkan Tuan Guru Presiden PAS pernah menyebut bahawa Ust. Yahya merupakan satu-satu ahli PAS yang sempat dengan semua mursyidul Am kecuali Imam Hasan Al-Banna.

Hari ini, Gerakan Islam telah mendapat berita gembira dengan kemenangan tidak rasmi Dr. Muhamed Morsi yang mewakili Ikhwanul Muslimin sebagai presiden Mesir. Walaupun disaat kempen, pelbagai propaganda dilemparkan kepada calon ikhwan dengan pelbagai tuduhan. Alhamdulillah, rakyat Mesir tahu membezakan di antara intan dan kaca.

Bertembung antara dua berita...satu sedih..satu gembira.. Tetapi jika difikirkan, sesungguhnya orang beriman hatinya akan sentiasa rindu untuk segera bertemu dengan Allah SWT. Semoga modal yang arwah keluarkan ketika hidupnya mendapat pulangan dan keuntungan yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT

Berkenaan dengan kemenangan ikhwanul Muslimin. Kalau difikirkan sebelum ini siapa sangka Husni Mubarak berjaya digulingkan oleh kuasa rakyat. Bahkan beliau sempat melihat gerakan Islam yang dibenci dan dimusuhi beliau berjaya mengambil tampuk pemerintahan Mesir. Ini semua antara kuasa Allah SWT yang berkuasa menukarkan manusia daripada di atas turun ke bawah, dari bawah naik ke atas.

"Sesungguhnya mempertahankan kemenangan lebih sukar daripada mencapai kemenangan" antara ucapan Tuan Guru Presiden PAS ketika PAS Terengganu mencapai kemenangan dalam PRU 1999. 

Cabaran yang terbesar kepada Presiden Mesir yang baru ialah macam mana nak laksanan keadilan Islam kepada rakyat mesir. seluruh dunia akan melihat gerak lincah politik pimpinan baru ikhwanul muslimin yang semestinya membawa nama Islam.

Ketika kemenangan revolusi Islam Iran, dunia barat berjaya menenggelamkan kemenangan tersebut dengan menimbulkan polemik sunni dan syiah. Kini, kemenangan Ikhwanul Muslimin boleh dianggap sebagai kemenangan gerakan Islam seluruh dunia. Sesungguhnya gerakan islam bersedia untuk mengambil kuasa dan mampu memerintah.

Bahkan kalau dikira dari sudut sejarah, PAS antara gerakan Islam pertama yang berjaya mendapat kuasa memerintah bermula tahun 1959 lagi.

Semoga kemenangan ini mampu menaikkan semangat jentera PAS untuk terus teguh bersama PAS dan teguh menyemarakkan himpunan Hijau ke Putrajaya...

Islam adalah agama yang memerintah..

Teruskan Perjuangan

...Bekerja Untuk Islam...

9.05 malam, Teras Jernang...