20 July 2010

UMNO minta kerjasama, awas....

Nampaknya isu penyatuan ini semakin berlarutan dari hari ke hari. Bahkan kali ini, ramai ulamak-ulamak digunakan untuk memperkukuhkan hujah betapa pentingkan pengabungan ini dilakukan.

Dalam hal ini Penulis hanya memasukkan kembali tulisan yang pernah dipaparkan pada tahun 2008 selepas PAS dan Pakatan Rakyat menang besar dalam PRU2008. Tulisan ini sekadar renungan kembali.

walaupun begitu, dalam hal ini, PAS perlu berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan kerana silap keluarkan kenyataan, pengundi atas pagar akan lari daripada mengundi PAS..

Mungkin UMNO telah menjangkakan PAS tidak akan terima pelawaan ini. tetapi Pelawaan ini sebagai tanda kononnya UMNO begitu prihatin dengan penyatuan berbanding PAS.

Tulisan tersebut boleh di rujuk di sini ( Pertembungan PAS dan UMNO)

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

14 July 2010

kenangan lalu (2002-2007) V : Membina Syaksiah Dalam Kepimpinan

Ketika penulis mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Universiti Malaya yang belajar di Ma'had Lughah, Syria, mereka ada menyebut tentang moral masyarakat yang semakin menurun dan bertambah teruk dari masa ke semasa.

Sekarang ini, bukan setakat perempuan, kaum lelaki pun tidak dibenarkan berjalan malan berseorangan di Bandaraya Kuala Lumpur. Bagi penulis sendiri, ini bukan satu perkara yang baru kerana ini dapat dibaca di akhbar-akhbar dalam versi internet. Hatta tetamu yang datang dari Malaysia pun menceritakan tentang perkara yang sama.

Kalau dikaji dengan lebih mendalam, kenapa keadaan ini berlaku, sedangkan Malaysia telah diwar-warkan sebagai sebuah negara Islam yang bertamadun yang dikononkan digelar Ummu Hadharah dan berkonsepkan Islam Hadhari!!!!! (kenyataan ini pada tahun 2005). Kenapa gejala keruntuhan moral berlaku, ? kenapa perkara ini tidak berlaku dikala Islam dapat memerintah dunia bermula zaman Rasulullah sehingga kerajaan Islam yang berpusat di Kota Istanbul, Turki.?

Penulis tidak berminat untuk menceritakan tentang kepentingan penubuhan kerajaan Islam yang sebenar kerana ia memerlukan kepada perbincangan yang khusus dan ilmiah. Tetapi apa yang ingin ditumpukan ialah peranan pemimpin dalam membentuk ahli atau rakyatnya ke arah cintakan Islam sebagai cara hidup.

Rasulullah pernah menyatakan dalam hadisnya bahawa manusia akan mengikut cara hidup pemimpin meraka. Memang kalau dilihat dari sudut waqie, perkara ini memang pernah berlaku. Contohnya di zaman khilafah Umawiyyah yang berpusat di Damsyik (Syria).

Ulamak pernah membezakan antara corak pemerintahan Amirul Mu'minin Umar Abdul Aziz dan khalifah yang lain.

Di zaman Umar Abdul Aziz, Rakyatnya menjadi pemurah, sentiasa menumpukan kepada kajian ilmiah dan perkara yang sewaktu dengannya. ini kerana pemimpinnya seorang Ulamak yang cintakan ilmu dan selalu mengajak rakyatnya bermunaqasah Ilmiah dan tidak membazirkan harta demi kepentingan peribadi.

Itu kalau pemimpinnya seorang yang baik. Contoh rakyat yang mengikut akhlak pemimpinnya yang menjurus ke arah kerosakan, rasanya terlampau banyak dan tidak perlu disebutkan kerana pembaca boleh melihat sendiri suasana sekarang.

Tujuan penulis mengketengahkan tajuk ini supaya sidang pembaca memikir dan merenung kembali tugas yang bakal dipikul oleh semua yang bergelar pelajar Islam.

Tugas ini bukan satu tugas yang boleh dianggap enteng dan mudah diselenggarakan. kerana berapa ramai para daie yang gugur dalam bidang dakwah sebelum sampai ke akhir. Oleh kerana itu, pelajar Islam itu sendiri, selain mempersiapkan diri dalam ilmu pentadbiran dan sebagainya (walaupun itu penting), perlu juga membuat persiapan dari sudut pembinaan syaksiah dalam membina sesuatu organisasi yang lebih mantap.

Dan ini sepatutnya dipandang sebagai perkara yang paling utama dalam sesuatu organisasi. Cuba lihat sendiri, bagaimana sirah Rasulullah SAW yang mendidik dan mentarbiah para sahabatnya sehingga mampu memimpin berpandukan Al-Quran dan Sunnah dan mereka juga terkenal dengan syaksiah yang tegas lagi berhimmah serta berkaliber sehingga menggerunkan musuh-musuh Islam ketika itu.

Kerana itulah, seorang pelajar Islam perlu sentiasa membaca dan mengkaji Sirah Rasulullah SAW dan sejarah hidup para sahabat, khulafa' Ar-Rasyidin dan juga khalifah-khalifah Islam selepasnya.

Bagaimana mereka mendidik diri mereka sendiri dan membina keperibadian yang begitu hebat, lihatlah peribadi seorang pemuda yang bernama Muhammad AL-Fateh, bagaimana Syaksiah beliau,? bagaimana hubungannya dengan Allah SWT sehingga dikatakan bahawa Muhammad Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat tahajjud selepas Baligh. Maka munasabahlah Allah SWT memberi kelebihan kepada beliau untuk merealisasikan hadis yang bermaksud :

"Akan dibuka Kota Kontantinapel, dan sebaik-baik ketua adalah ketuanya, sebaik-baik tentera adalah tentera yang bersama ketika itu"

Kerana itulah, seorang yang dilantik menjadi kepimpinan perlu sentiasa muhasabah, muraqabah, muatabah terhadap diri masing-masing ke arah menjadi yang terbaik dan sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk masing-masing merubah akhlak yang buruk kepada keadaan yang lebih baik dan menyeru pula kepada rakyat-rakyat mereka.

Dengan istilah lain : Perbaikilah diri kamu dan disamping itu serulah orang lain

Dan perlu diingat, sesuatu jawatan yang dipegang merupakan amanah yang akan dipersoalkan, dan sepatutnya seorang pimpinan itu tidak boleh mengeluarkan perkataan yang boleh diistilahkan sebagai lepas tengguk seperti " aku mana tahu, orang pilih aku" kerana setiap mereka yang memilih pasti telah memberi kepercayaan kepada calon pemimpin yang mereka setujui.

Dan apabila telah dipilih ketika itulah seseorang itu akan tahu apa erti amanah sebenarnya dan pada masa itu, seseorang yang sedar dengan tangungjawab tersebut pasti akan cuba mentarbiyyah diri agar sentiasa menjadi terbaik atau disebut Qudwah Hasanah.

Penulis meletakkan kepentingan tarbiyyah dalam kepimpinan kerana dalam suasana sekarang ini, Malaysia semakin kekurang kepimpinan yang berlatarbelakangkan ulamak yang dikira cekap dalam mentadbir dan mentarbiyyah masyarakat kerana yang ada akan pergi tapi penggantinya belum diketahui lagi.

Lihatlah sendiri, berapa ramai pelajar-pelajar yang lulusan agama yang terlibat langsung dengan masyarakah, semuanya itu boleh dibilang dengan jari!!!!.

Jadi ditangan siapakah lagi yang diharapkan kalau bukan dari kalangan kita sendiri, Ingat Islam itu akan bangkit kembali, walaupun kita tidak memperjuangkannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Wahai Orang Beriman, Adakah kamu mahu aku menunjukkan kepada kamu suatu perniagaan (yang keuntungannya) dapat melepaskan diri kamu dari azab neraka.? (caranya ) hendaklah kamu beriman kepada Allah SWT dan RasulNya dan kamu berjuang fisabillah dengan harta-harta dan jiwa-jiwa kamu" As-Sof

Dengan sebab itu jangan kita melepaskan peluang yang Allah SWT berikan kepada kita kerana kalau peluang ini ditolak, Allah akan menggantikan kaum yang lain untuk menegakkan Islam itu sendiri kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud :

Wahai orang yang beriman, sesiapa yang berpaling dari kalangan kamu daripada agamanya (Islam), maka Allah SWT akan mendatangkan satu kaum yang Allah Taal kasih kepada mereka dan mereka kasih kepada Allah...)


Oleh itu, kepada yang terlibat dengan kepimpinan, Sedarlah, kami telah memberi kepercayaan kepada kamu untuk memimpin kami, jadi laksanakanlah amanah ini dengan semampu mungkin dan jangan kamu jadikan amanah ini sebagai langkah untuk kamu dihumbankan ke neraka, tetapi jadikan kepimpinan ini sebagai ibadah dan Jihad ke JalanNya.

* Artikel ini untuk dikeluarkan untuk Majalah Al-Khauthar bawah kelolaan Keluarga Penuntut Terengganu Syria (KPTS), Damsyik pada 6 Jumada Ula 1426 bersamaan dengan 13 Jun 2005.

* Artikel tidak diedit kecuali dari sudut kesalahan ejaan sahaja untuk mengekalkan keasliannya.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

12 July 2010

Tukar Tonggak Melayu Lebih Selamat

2 - 3 bulan kebelakangan ini banyak isu-isu yang berkaitan tentan nasib melayu yang bakal dipinggirkan jikalau terus berada dalam keadaan sekarang. Ini termasuk beberapan kenyataan Tun Dr. Mahathir dalam membicarakan isu orang Melayu.

Ekoran daripada itu, mula timbul idea penyatuan antara UMNO dan PAS supaya agenda Melayu dapat diperkasakan. Bahkan terdapat beberapan pandangan termasuk utusan hari ini memaparkan bahawa PAS akan lebih berpeluang melaksanakan agenda Islam bersama dengan UMNO daripada bersama dengan Pakatan Rakyat.

PAS telah mengalami pengalaman perit ketika bersama UMNO. Walaupun pada mulanya PAS mampu mengetengahkan pelbagai agenda Islam bersama UMNO pada awal tahun 70'1n. Namun, PAS akhirnya ditendang begitu sahaja tanpa banyak bicara. Mungkin berlaku beberapa kesilapan daripada pihak PAS dalam beberapa isu . Tetapi tindakan drastik BN menendang PAS merupakan satu tragedi yang tidak dapat dimaafkan.

PAS semenjak awal penubuhanya begitu sinonim dengan melayu. Ini kerana bagi masyarakat Malaysia, Islam itu Melayu Melayu itu Islam. Dengan sebab itu, PAS banyak menguasai kawasan orang Melayu khususnya di Kelantan dan Terengganu.

PAS yang memegang prinsip Islam telah membuktikan mampu mentadbir dengan adil dan tanpa penyelewengan. Kelantan yang telah ditadbir selama 20 tahun terbukti sebagai sebuah kerajaan yang bersih daripada sebarang bentuk penyelewengan. Walaupun terdapat beberapa laporan telah dibuat kepada SPRM. Tetapi kesemua laporan berakhir dengan ketiadaan kes.

PAS juga telah membuktikan keteguhan kepada prinsip perjuangan apabila kesemua wakil rakyat PAS tidak terlibat dengan agenda lompat parti yang telah mengemparkan negara baru-baru ini.

Ini semua menandakan bahawa dengan prinsip dan dasar perjuangan Islam telah membawa PAS dan ahli menjadi lebih Istiqomah dalam perjuangan dan lebih ke arah konsep keadilan untuk semua.

PAS bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam isu Islam seperti mana yang pernah di putuskan dalam Muktamar PAS Pusat di Perak dan Shah Alam. Bekerjasama bukan bermakna bersatu.

PAS pernah membela perobohan Kg. Berambang, PAS pernah membela isu Natrah, PAS pernah menentang PPSMI yang sampai sekarang tidak ada penyelesaian konkrit.

PAS juga pernah membantah pemansuhan tulisan jawi, PAS menentang segala bentuk pengekplotasian terhadap peneroka felda dengan penubuhan Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (ANAK) yang dipengerusikan oleh Sdr. Mazlan Aliman.

Semua penentangan ini untuk membuktikan bahawa PAS membela Bangsa Melayu yang dizalimi.

Ini belum termasuk penentangan PAS terhadap sebarang bentuk kemungkaran yang bukan sahaja boleh merosakkan agama, bahkan bangsa itu sendiri seperti anjuran konsert-konsert yang boleh merosakkan maruah bangsa. penentangan terhadap judi bola sepak, bantahan terhadap ketidakadilan dalam sistem pilihanraya dan pelbagai lagi.

Ini belum lagi menyentuh isu pembaziran dan rasuah yang menelan jutaan ringgit.

Isu-isu inilah menggambarkan bahawa PAS komited dengan isu-isu Islam dan Melayu.

Kesemua isu-isu ini diwujudkan oleh Kerajaan yang diketuai oleh UMNO.

Oleh itu, sudah sampai masanya bangsa Melayu bersedia untuk menukar tonggak pergantungan daripada UMNO yang banyak melakukan kerosakan kepada agama kepada tonggak yang baru yang berasaskan kepada asas yang teguh dan kuat.

Dasar perjuangan PAS bukan sekadar hiasan dalam buku perlembagaan. Dasar ini menjadi asas dalam pergerakan PAS semenjak dari tahun 1951 sehingga sekarang.

Sudah sampai masanya Bangsa Melayu kembali kepada PAS..

Anda tentu yakin dengan Parti Islam Semalaysia (PAS)

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

09 July 2010

IKRAM..tunggu dan lihat

Minggu lepas, penulis dimaklumkan tentang penubuhan IKRAM yang telah ditubuhkan pada Jun baru-baru ini. Penulis dengan segera mencari maklumat berkenaan dengan IKRAM samada daripada website IKRAM sendiri dan pandangan-pandangan berkenaan tentang IKRAM.

Penulis tertarik dengan pandangan Prof. Dr. Badhlihisham dalam harakahdaily (klik di sini) yang agak meragui pergerakan IKRAM di masa akan datang.

Sekadar dakwaan sebagai wakil Ikhwanul Muslimin di Malaysia tidak memadai. Ikhwanul Muslimin sekarang ini sudah berpecah kepada banyak puak yang mempunyai pandangan-pandangan yang pelbagai. Perpecahan ini termasuk tentang keperluan meng"alami"kan perjuangan Ikhwan atau tidak.

Jadi, bagaimana untuk mendakwa wakil ikhwanul muslimin dalam keadaan kepimpinan Ikhwanul Muslimin masih berbeza pandangan dalam soal ini.

Tidak dinafikan Ikhwanul Muslimin merupakan antara gerakan Islam yang terbaik dari sudut penyusunan agenda tarbiyyah dan Dakwah. Tetapi jangan lupa bahawa PAS adalah gerakan Islam pertama yang mengabungkan agenda Siyasah, tarbiyyah dan dakwah dalam pergerakannya.

Sering kali penulis ditanya tentang berbilang-bilang jemaah dan hukumnya. Dalam hal ini, penulis sering menyebut penulis kurang bersetuju dengan berbilang-bilang jemaah kerana berkemungkinan boleh membawa saingan permusuhan antara satu sama lain.

Tetapi dalam konteks Malaysia yang sedia ada sekarang, kita terpaksa mengakui bahawa wujudnya berbilang-bilang jemaah. Cuma apa yang perlu dikagumi ialah kejayaan PAS dalam mengtunggalkan gerakan Islam dari sudut politik kepartian.

Penulis bersetuju dengan banyaknya NGO-NGO Islam tetapi bukan dengan banyaknya jemaah-jemaah Islam.

Ya, memang tidak dinafikan bahawa Prof. Dr. Yusof Al-Qaradhawi berpandangan bahawa berbilang-bilang jemaah dibolehkan untuk saling kuat menguatkan antara satu sama lain. Realiti yang berlaku ialah kekadang terdapat isu yang saling rebut-merebut dan memusuhi antara satu sama lain.

IKRAM telah mendakwa sebagai sebuah gerakan Islam yang akan membangkitkan ummah. Ini akan menimbulkan polemik baru dalam dimensi dakwah. Hizbut Tahrir pun mendakwa sedemikian.

Dari sudut strateginya, bagaimana untuk membangkitkan ummah. Teori boleh diberikan, bagaimana dengan perlaksanaannya. Perlu diingat, Dakwah tidak berjaya diluaskan kecuali dengan dimasukkan elemen politik.

Rasulullah diperintahkan oleh Allah untuk berhijrah ke Madinah selepas pelancaran dakwah tidak berjaya diluaskan di Mekah. Selepas penubuhan sebuah negara, barulah Islam berjaya dilaksanan secara menyeluruh dan dakwah Islam tersebar ke merata dunia.

Berkemungkinan, perjuangan IKRAM akan menuju ke arah penubuhan sebuah parti politik. Apabila ini berlaku, sudah tentu berlaku pertembungan antara PAS dan IKRAM.

Jadi adakah diwaktu ini berbilang-bilang jemaah dianggap sebagai satu kebaikan atau sebagai pemecahan undi orang Islam dalam mencapai visi yang sama.

Oleh itu, sama-samalah kita tunggu dalam lihat sejauh mana pergerakan IKRAM dalam membangkitkan ummah kembali.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

07 July 2010

Sambutan Ramadhan, mulakan pada hari ini...

Umat Islam telah memasuki akhir bulan Rejab. Ini bermakna masa berbaki dalam sebulan lebih untuk umat Islam menyambut bulan kebesaran Islam bulan Ramadhan.

Kelebihan Ramadhan tidak perlu dipertikaikan lagi. Maklumat mengenai bulan Ramadhan samada daripada Al-Quran dan Hadis begitu banyak dilonggokkan kepada masyarakat samada dalam bentuk media cetak ataupun elektronik.

Yang berbaki ialah bagaimana kesanggupan umat Islam untuk menyambutnya dengan merebut peluang-peluang yang ada.

Apabila tiba 1 Ramadhan, kebanyakan umat Islam begitu bersemangat untuk menyambutnya dengan memulakan dengan baik samada ibadah yang wajib seperti berpuasa dan sunat seperti menyegerakan berbuka, melambatkan sahur dan berqiamullai dan sebagainya.

Ya, Ibadat wajib pasti diteruskan. Bagaimana dengan perkara sunat?. Seminggu pertama boleh bertahan, masuk minggu ke 2 dan seterusnya. Ibadat sahur ditinggalkan, Qiamullai apatah lagi. Ini belum termasuk solat terawih yang semakin kurang rakaatnya dari semasa ke semasa.

Ini belum lagi disentuh soal tingkah laku dan percakapan dalam bulan ramadhan yang kadang-kadang dapat mengurangkan mutu kualiti puasa tersebut.

2 bulan sebelum tiba ramadhan, sesetengah umat Islam mula sibuk untuk memikir tema sambutan aidilfitri dan tempahan baju raya. Tempahan baju raya terpaksa dibuat awal kerana bimbang tukang jahit tidak lagi menerima tempahan di awal bulan ramadhan.

Ini adalah situasi biasa yang berlaku.

Tetapi bagaimana dengan persiapan kita untuk menyambut Ramadhan?

Ramadhan adalah bulan untuk melatih umat Islam supaya mencapai ketaqwaan kepada Allah SWT. Dalam bulan ini, Syaitan akan digantung peranannya dalam menyesatkan manusia. Yang berbaki hanya nafsu manusia yang sentiasa mendorong kepada kejahatan.

Dengan sebab itu, Nabi menyarakan agar ramadhan disambut dengan sebaik-baiknya dengan melaksanakan kebaikan dengan sebanyak-banyaknya seperti berjaga-jaga dalam berkata-kata, berhati-hati dalam tingkah laku, bersih jiwa daripada sebarang kekotoran, kuatkan rohani dengan qiamullai, stabilkan metabolisma dengan menyegerakan berbuka dan lewatkan sahur dan sebagainya.

Melakukan segala amalan tersebut amat sukar apabila dimulakan pada awal ramadhan. sememangnya waktu tersebut, peranan syaitan telah terbelenggu. Tetapi tabiat buruk yang menjadi kebiasaan diri amat sukar dikikis.

Oleh itu, Jalan yang terbaik ialah dengan mulakan sambutan awal ramadhan bermula sekarang. Jadual muhasabah harian secara berperingkat perlu dicoretkan mulai sekarang.

Jadual pengamalan ibadat sunat perlu mula dilakarkan mulai sekarang supaya ibadat tersebut boleh dilaksanakan secara berperingkat dengan penuh istiqomah.

Ini juga termasuk jadual pembacaan Al-Quran yang sepatutnya ditingkatkan mutunya dari semasa ke semasa bermula dengan pembetulan tajwid bacaan sehingga kepada kefahaman makna bacaan Al-Quran.

Ini termasuk dengan melatih lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati tanpa sebab yang munasabah, melatih hati daripada berprasangka buruk, melatih anggota daripada mengzalimi manusia yang lain.

Segala perancangan untuk menyambut ramadhan mesti dimulakan sekarang supaya ISTIQOMAH dapat dicapai dalam menghabiskan sebulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang memungkinkan kita mendapat markah penuh.

Doakan supaya Ramadhan kali ini diberikan rezeki oleh Allah supaya bertemu dengan Malam Qadar.

Kejayaan menyambut Ramadhan pada tahun ini bermula pada hari ini.

Tulisan ini sebagai satu muhasabah untuk diri penulis sendiri.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...

04 July 2010

Tasawwuf itu Akhlak

"Ya Sheikh, bagi pendapatmu, Thoriqat mana yang aku perlu ikuti" tanya seorang pelajar kepada Prof. Dr. Said Ramadha Al-Buthi.

"Saya rasa baik kamu masuk dengan thoriqat muhammad" jawab Dr. Buthi secara bersahaja.

Thoriqat muhammad bukan bermaksud thoriqat muhammadiyyah. Tapi thoriqat muhammad ini bermaksud ialah cukuplah dengan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Syria merupakan antara tempat yang paling banyak guru-guru thoriqat. Ini belum termasuk dengan thoriqat yang menyimpang daripada agama. Bahkan sesetengah guru-guru thoriqat mengambil kesempatan daripada ketaksuban ahlinya dengan membuat pelbagai aktiviti yang kadang kala diluar batasan akal.

Saranan Prof. Dr. Said Ramadhan Al-Buthi (Beliau masih hidup lagi kini) ada kebenarannya. Beliau bukan mengingkari thoriqat. tetapi beliau bimbang pemuda yang bertanya itu terjebak dengan thoriqat yang sesat atau penyertaanya dalam thoriqat menyebabkan pengajian wajib ditinggalkan.

Perwatakan Prof. Dr. Said Ramadhan Al-Buthi sama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. dari sudut ketegasan, kelembutan dan peribadinya. Mungkin pandangan politik berbeza tapi kedua-duanya begitu minat dengan tasawwuf.

Bahkan Dr. Said Ramadhan ini antara ulamak yang mensyarahkan Kitab Hikam 'Atoillah As-sakandari dan Risalah Qusyairiah.

Ini menandakan bahawa beliau bukan anti tasawwuf. Tasawwuf bukan bermakna kita mesti menyertai thoriqat tertentu.

Tasawwuf dengan pengertian mudah ialah proses penyucian hati untuk mencapai tahap kecintaan kepada Allah.

Dengan sebab itu, beberapa himpunan zikir di amalkan supaya hati yang kotor dapat dibersihkan dengan zikir-zikir yang dibaca dan dijadikan amalan harian.

Penulis sering kali menyebut bahawa zikir-zikir yang diulang bukan sekadar untuk membasahi bibir atau untuk meningkatkan darjat semata-mata. Tetapi zikir yang diulang hendaklah diserapi makna dan pengertian dalam diri.

Penulis cukup tertarik dengan penjelasan Tuan Guru Presiden PAS dalam menterjemahkan Tasawwuf sebagai akhlak.

Penjelasan yang ringkas dan mudah difahami.

Ya, Tassawuf itu akhlak.

Penulis pernah melihat seorang yang didakwa ahli sufi, yang menjadi pembaca kitab-kitab tasawwuf, yang mahir dengan ilmu-ilmu dan maqam-maqam tasawwuf tetapi tidak berakhlak dengan akhlak yang baik.

Dalam keadaan pergaulan yang agak bebas dan perkara syubhat dijadikan salah satu sumber pendapatan. Ini akan merosakkan akhlak seorang Muslim yang mengaku diri menjadi sufi.

Ahli Sufi bukannya pembaca kitab sufi. Ahli Sufi ialah mereka yang berakhlak dengan akhlak Nabi.

Sebagaimana Nabi berakhlak dengan akhlak Al-Quran, begitu juga dengan Ahli Sufi.

Oleh itu, elemen tasawwuf menjadi penting kepada gerakan Islam. Hasil daripada penekanan Tasawwuf atau akhlak ini mampu menghasilkan keutuhan dalam Gerakan Islam.

Tasawwuf sentiasa mengajar kepada hambanya supaya sentiasa menjaga hati daripada perasaan hasad, mengumpat, mengadu domba, mempelekeh orang lain dan sebagainya.

Ini antara elemen untuk memperkuatkan gerakan Islam. sebab itu Sheikh Said Hawwa pernah menyebut tentang peri pentingnya kewujudan "Sufi Haraki" (ahli gerakan yang bersifat dengan sufi).

Penekanan tentang akhlak dalam berjemaah, wala' dan thiqah antara elemen tasawwuf yang perlu difahami oleh semua ahli gerakan.

Berakhlak baik merupakan arahan Allah SWT kepada manusia melalui wahyu yang diturunkan kepada para Nabi.

Oleh itu, tassawuf bukan untuk orang tertentu tetapi untuk semua umat Islam dalam memperbaiki akhlak dan membersihkan hati masing-masing.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam..

02 July 2010

Iman dan Perjuangan

Penulis tertarik dengan satu soalan daripada Muslimat kepada Tuan Guru Dato' Seri Presiden tentang bagaimana para amilin hendak menjawab jika ditanya PAS tidak mementingkan peningkatan rohani dalam pergerakan. Hilangnya pendekatan rohani ini menyebabkan ramai daripada remaja yang cintakan Islam mula tidak berminat dengan PAS dan menyertai usrah-usrah anjuran "lain".

Tuan Guru Dato' Seri Presiden menjawab dengan mudah " sebenarnya kadang-kadang, kita hanya berzikir dengan sesuatu zikir tanpa mengenal pengasas kepada susunan zikir atau tarikat tersebut. Hampir kesemua pengasas tarikat seperti Sheikh Abu Hasan As-Syazilie, Sheikh Daud Al-Fatani dan ramai lagi yang dikenali sebagai guru tarikat terlibat dalam perjuangan Islam".

Penulis merasakan bahawa inilah antara fahaman yang perlu diterapkan kepada semua petugas dalam mendepani cakap-cakap bahawa PAS tidak mementingkan rohani.

Seorang sahabat pernah menceritakan kepada penulis bahawa satu ketika di salah sebuah masjid di Yaman, terdapat seorang pemuda bangun untuk memberi tazkirah tentang hebat dan besarnya pahala berjihad di Afghanistan. kebetulan beliau merupakan bekas mujahidin yang terlibat dalam menjatuhkan Soviet Union ketika itu.

Tiba-tiba bangun ahli jemaah masjid yang lain membangkang saranan tersebut dengan menyatakan bahawa sebelum kita bercakap soal jihad, Iman dan rohani perlu dipertingkatkan barulah boleh bercakap soal jihad.

Bangkangan di balas bangkangan, pemuda yang bertazkirah tentang jihad itu menempelak balik dengan menyatakan bahawa jihad merupakan antara penyebab kepada bertambahnya Iman kepada Allah SWT.

Iman dan Amal sesuatu perkara yang perlu diselarikan. kedua-dua ini perlu bergabung dan bergantung antara satu sama lain untuk menghasilkan Istiqamah dalam perjuangan.

Allah SWT pernah menceritakan tentang suasana tentera Muslimin ketika datangnya bala tentera Ahzab yang mengepung Bandar Madinah dengan firmannya yang bermaksud :

dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera azhab , berkatalah mereka (orang beriman) : "Inilah yang telah dijanjikan Allah dan rasul kepada Kami, dan benarlah Allah dan RasulNya". Dan (angkatan musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi kesan kepada mereka selain daripada menambahkan Iman dan penyerahan bulat-bulat kepada Allah.(al-Ahzab : 22)

Hal yang sama juga tentang pendirian para Sahabat RA apabila timbul khabar angin tentang kemunculan semula tentera Musyrik untuk menyerang para sahabat selepas mengalami kekalahan dalam peperangan Uhud. Lalu para sahabat ini berkata sebagaimana di rakamkan dalam Al-Quran yang bermaksud :

Mereka juga apabila diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka : "bahawa kaum (kafir Quraisy) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu. oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya ". Maka berita itu menambahkan iman mereka lalu berkata :"cukuplah Allah untuk (menolong) kami. dan Ia sebaik-sebaik Pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami) (Ali Imran : 173)

Kenyataan ini membuktikan bahawa Iman akan bertambah dengan perjuangan. di samping itu tidak dinafikan bahawa zikir merupakan antara pengulangan yang perlu dilakukan.

Tetapi perlu difahami bahawa zikir bukan semata-semata bacaan tertentu, dalam bilangan tertentu, dengan tujuan tertentu semata-mata.

Zikir ialah satu bacaan yang penting dan perlu dilihat setiap maknanya supaya menambahkan keyakinan terhadap sesuatu perkara.

Sebagai contoh pembacaan Ayat kursi selepas solat yang menjadi wirid umat Islam. Kalau dilihat kepada makna ayat ini mengambarkan bahawa Umat Islam mesti yakin dan percaya kepada pemantauan Allah dan kekuasaaNya. Jadi ayat tersebut di baca dan diulang untuk menjadikannya satu keyakinan kepada umat Islam supaya berjaga-jaga dalam melakukan apa jua tindakan.

Iman adalah perkara dalaman. Pamerkanlah dalam bentuk tindakan. Antara tindakan hasil daripada Iman ialah kemantapan dan istiqamah dalam melaksanakan gerak kerja Islam.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...