29 December 2009

Macam mana kalau dipositifkan...

2 hari sebelum ini, Selangor dikejutkan dengan demontrasi yang dianjurkan oleh Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi PAS Selangor (GKPPNS) bagi mendesak kepimpinan parti supaya keluar dari Pakatan Rakyat. Walaupun Demontrasi tersebut hanya dihadiri oleh 20 orang sahaja, tetapi publisiti yang diberikan cukup besar oleh media arus perdana.

Ekoran daripada itu, PAS Pusat telah mengarahkan Perhubungan PAS Selangor untuk menyiasat dalang disebalik demontrasi tersebut. PerhubunganPAS selangor pula akan mengambil tindakan disiplin kepada siasatan membuktikan bahawa demontrasi tersebut disertai oleh ahli PAS.

Kalau dipandang dari sudut negatif memang perkara tersebut satu perkara yang boleh merosakkan Pakatan dan menguntungkan Barisan. Alasan desakan tersebut sama dengan seperti lontaran rayuan Umno kepada PAS supaya mengadakan kerajaan campuran bersama atas semangat bangsa Melayu sebelum ini.

Pertamanya penulis bersetuju atas tindakan pantas PAS untuk menyiasat dalang disebalik demontrasi ini. berkemungkinan demontrasi ini dirancang oleh pihak yang masih gilakan kuasa untuk berkuasa kembali. Mungkin ini termasuk dalam perancangan rampasan negeri Selangor yang dikatakan akan dilakukan pada awal Januari 2010. Penulis tidak pasti kesahihan khabar tersebut. biarlah khabar tersebut melayang seperti angin berlalu.

Itu kalau demontrasi tersebut dinegatifkan. Kalau tindakan tersebut dipositifkan, macam mana tindakan PAS.? macam mana kalau demontrasi tersebut dihadiri oleh ramai ahli PAS yang tidak berpuas hati dengan gerak kerja PAS yang dilihat terlampau mengalah kepada PKR dan DAP?.

Ini semua andaian kosong semata-mata. tetapi tidak dinafikan terdapat ahli PAS yang masih sangsi dengan Pakatan PAS bersama dengan DAP dan PKR. Kadang kala penulis terdengar cakap-cakap kedai kopi di kalangan ahli PAS yang mengondem beberapa tindakan PAS yang dilihat terlalu mengalah.

Penulis menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pimpinan PAS di peringkat pusat dan negeri. bagi penulis Pimpinan PAS tidak akan menggadaikan prinsip parti walaupun bersama Pakatan. Bahkan kebersamaan PAS bersama PKR dan DAP dalam satu Pakatan merupakan perkara yang tidak bercanggah dengan Syariat.

PAS perlu mengambil kesempatan ini untuk menerangkan kepada ahli konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik) antara PAS dan PKR dan DAP. Ramai ahli PAS yang belum faham tentang konsep ini dan sejauh mana konsep ini dapat dilaksanakan.

Perkataan Tahaluf mungkin difahami. Tetapi macam mana dengan konsepnya?, macam mana pantang larangnya.? apakah Pakatan rakyat sama seperti tahaluf siyasi.? macam mana tindakan PAS kalau tindakan DAP dan PKR merugikan Islam dan sebagainya.

Ini semua antara perkara penting yang perlu ditekankan kepada ahli berpandukan hujjah syarak dan realiti politik Malaysia.

Mungkin sebelum ini, demontrasi hanya disertai oleh orang yang berlakon sebagai ahli PAS yang kononnya tidak berpuas hati.

Tidak mustahil kalau demontrasi akan datang disertai oleh ahli PAS yang tidak berpuas hati dan dengan jumlah yang ramai.

Tindakan pengcegahan perlu dilakukan dengan segera.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja untuk Islam...

27 December 2009

Biar Berpakat sebelum Pakatan

Konvensyen PAKATAN RAKYAT (PR)yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini berakhir dengan jayanya . Pelbagai liputan dan ulasan yang dibuat bagi mengambarkan betapa seriusnya PR untuk pergi ke Putrajaya bagi mengantikan BN yang semakin hari semakin menemui pengakhirannya.

Begitulah sunnatullah dalam pentadbiran negara. Parti memerintah tidak akan selama-lamanya memerintah. Manakala parti pembangkang tidak akan selama-lamanya membangkang. Suatu ketika keadaan ini akan menjadi sebaliknya. Itulah realiti yang dapat dilihat sekarang.

Yang tinggal kepada manusia ialah kebertanggungjawaban dan amanah yang telah dipikul. Adakah amanah tersebut dipikul dengan sebaik-baiknya atau dijadikan sebagai tempat menunjukkan kesombongan dan kekuasaan.

Seminar Pemerkasaan Parti Islam Semalaysia (PAS) pun berakhir dengan jayanya. segala cadangan dan kritikan perwakilan di ambil serius sebagai jalan untuk memulihkan kekuatan parti.

Jawatankuasa disiplin pula telah diaktifkan dengan sepenuhnya bagi menyiasat setiap dakwaan yang merosakkan parti. Inilah antara permintaan yang telah dicadangkan oleh hampir semua perwakilan dalam seminar tersebut.

Walaupun seminar sudah pun berakhir dengan niat dan tekad untuk memperkasakan parti dan ketepikan segala perbezaan, tetapi suasana berlaku adalah sebaliknya.

Isu Politik Kelantan menjadi isu pertama yang dipanaskan oleh sesama sendiri. CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan menjadi kerusi panas dan popular sehingga 1Malaysia.

Mungkinlah disebabkan kerana Menteri Besar Kelantan melantik menantunya sendiri sebagai CEO. Ariffahmi menjadi nama yang begitu popular dikalangan rakyat Malaysia. Yang lebih menampakkan popularnya ialah kenyataan pimpinan PAS tempatan yang saling bercanggah antara satu sama lain. Perpecahan dianggap satu populariti.

Sebelum ini, Tuan Guru Musyidul Am telah diasak oleh musuh dengan isu samseng, mencarut, doa laknat dan sebagainya. semua isu ini dapat ditangani dengan baik dengan sebab pimpinan bersatu. Bahkan Tuan Guru begitu bersemangat untuk menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan dan kejahilan UMNO terhadap Islam.

Itu isu yang membabitkan serangan musuh. Isu Ariffahmi adalah isu dalaman yang sedang diperbesarkan-besarkan oleh musuh. Kenapa pimpinan tempatan dan pusat seolah-olah bertelagah sesama sendiri dan meluahkannya melalui media arus perdana.

Bukankah isu ini telah diselesaikan sebaik sahaja Presiden berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan.!

Ini merupakan satu tekanan yang kuat buat Tuan Guru Mursyidul Am merangkap Menteri Besar Kelantan. Kalau serangan dari BN sahaja tidak menimbulkan masalah kerana ianya memang sentiasa terjadi. Tapi kalau serangan dalaman, ianya agak membebankan.

Ya, mungkin hujjah demokrasi menjadi asas dalam kritikan ini. tapi adakah itu perlu dalam keadaan media arus perdana tidak berpihak kepada PR.?. bukankah isu ini boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu diwar-warkan kepada media. Ataupun pengwar-waran ini berniat untuk pukul menantu sindir mertua?. penulis tidak berniat untuk bersangka sampai ke situ.

Ini belum lagi termasuk isu Selangor yang dianggap bergolak. Pesuruhjaya (PJ) PAS selangor begitu hebat dikritik kerana beberapan tindakannya yang dianggap merugikan PR. Bahkan Presiden dipersalahkan kerana masih mengekalkan PJ Selangor yang sedia ada sekarang ini.

Yang lebih dahsyat keputusan mesyuarat dibocorkan yang kononnya presiden terus berdegil untuk mengekalkan PJ selangor walaupun majoriti tidak bersetuju (penulis tidak pasti sejauh mana kebenarannya). bagi penulis setiap keputusan mesyuarat wajib dihormati walaupun keputusan tersebut tidak memuaskan hati individu.

ini semua antara ketidaksepakatan yang semakin jelas kelihatan dan sentiasa diperbesarkan melalui media-media alternatif. ini semua mungkin antara penyebab kekalahan dan kemerosotan PAS dalam Pilihanraya Umum ke13.

Kalau kita boleh mengetepikan perbezaan dalam rakan Pakatan dengan penuh sabar dan berhemah, kenapa kita tidak boleh mengetepikan perbezaan pandangan sesama sendiri.

Kalau kita boleh bertolak ansur dengan rakan Pakatan dalam isu calon pilihanraya dengan penuh bijaksana, kenapa kita tidak boleh bertolak ansur sesama sendiri dalam perkara strategi.

Kalau kita mengharapkan agar rakan-rakan Pakatan menyelesaikan segala permasalah Pakatan secara muafakat tanpa war-warkan kepada media. kenapa kita tidak melaksanakannya dalam parti kita.

Apakah Keteguhan PAKATAN lebih penting daripada Keteguhan Parti sendiri.

Apakah Kesepakatan PAKATAN lebih penting daripada Kesatuan parti sendiri.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk ISLAM...

23 December 2009

warna warni kehidupan

Tahun 1430 telah berlalu, tahun 2009 pula sedang menemui penghujungnya. Setahun berlalu pasti menemui pelbagai pengalamana baru yang kadang-kadang mencabar, kadang-kadang menyedihkan, kadang-kadang menggembirakan. semua ini dianggap sebagai asam garam sebuah kehidupan.

Kali ini penulis agak lambat menulis tentang tahun baru, bahkan pada kali ini, blog sentiasa dibiarkan tanpa update. Malas mungkin dijadikan alasan utama. nak buat macam mana, Iman selalu naik dan turun. (tulisan lepas boleh lihat di sini)

Masuknya tahun 1431 dan 2010, bermakna sudah 2 tahun blog Bekerja Untuk Islam berada di alam cyber. Hingga kini, penulis berjaya menulis 334 artikel. Bilangan tersebut begitu kecil kalau dibandingkan dengan blogger yang lain.

Di atas niat untuk menterjemahkan Islam ke atas setiap isu yang berlaku, penulis cuba mengulas setiap isu dengan gaya bersahaja dan tidak membebankan pembaca. penulis pun tidak pasti, adakah tulisan penulis menyenangkan pembaca atau memuakkan pembaca. hanya pembaca yang mampu menilai tulisan. penulis tidak mahu syok sendiri.

Kadang kala penulisan penulis menimbulkan kritikan yang cukup tajam bahkan ditusuk dengan kata-kata nista seperti ustaz penipu dan sebagainya. kadang kala penulisan penulis dipuji dengan pelbagai pujian yang begitu menyenangkan seperti Pemimpin perlulah bersikap seperti penulis ini dan sebagainya.

Apa-apa pun, penulis berterima kasih atas setiap kritikan dan pujian. semoga semua ini akan menguatkan jati diri penulis untuk terus berjihad dalam alam penulisan.

Sejak dari mula lagi, penulis akan memastikan setiap penulisan atau pandangan yang hendak dilontarkan mesti berasaskan kepada fakta yang jelas dan bukan niat untuk memburukkan sesiapa. Disiplin ini terus menerus penulis gunakan sehingga kini.

Islam telah meletakkan kaedah pengambilan hadis dengan begitu ketat. mekanisma pengambilan hadis jangan hanya digunapakai untukHadis Nabi SAW semata-mata. Bahkan ianya wajar diperluaskan kepada pengambilan fakta, cerita dan sebagainya. sistem sanad (pembawa hadis) perlu dipastikan dalam setiap fakta yang dilontarkan. sikap lontar sembunyi tangan perlu dibanteras dari diri seorang blogger.

Tahun Lepas, kehidupan penulis hanya bertiga, kini telah berempat. Tahun lepas, penulis hanyalah seorang pekerja, kini penulis seorang pekerja dan seorang pelajar. itulah realiti sebuah kehidupan. bahkan penulis selalu berharap setiap tahun yang berlalu memberi satu pengalaman dan peningkatan hidup yang baru dan jangan disia-siakan.

Masa itu terlampau berharga. Jangan biarkan begitu sahaja. Masa yang berlalu kematian yang menjelma. oleh itu, hargailahnya dengan penuh istiqomah.

Selamat Menyambut Tahun Baru (1430 /2010)

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk ISLAM...

22 December 2009

Natrah ; Contohi Perjuangan Ahmad Ibrahim

Selepas kematian Natrah @ Hurbedina Maria Hertogh pada 18 oktober 2009, masyarakat Malaysia mula terkenangkan kembali peristiwa pemurtadan Natrah yang dirancang secara tersusun oleh pihak Belanda sehingga memaksa Suami Natrah Mansor Adabi dan Ibu Angkat nya Che' Aminah berputih mata dan berendam air mata sehingga ke akhir hayat.

Pemisahan kasih sayang yang berlaku begitu tragis begitu menghenyakkan hati umat Islam yang ketika itu cukup terasa dengan keegoan penjajah yang bertindak tanpa mempedulikan perasaan dan sentiviti umat Islam.

Sudah begitu lama penulis tercari-cari peristiwa sebenar disebalik apa yang berlaku terhadap Natrah. Alhamdulillah, akhirnya penulis terjumpa dengan buku Natrah (cinta, rusuhan, air mata) hasil nukilan Fatini Yaacob.

Tulisan yang cukup bersahaja tetapi mampu menjawab segala persoalan penulis tentang suasana yang berlaku sebelum dan selepas natrah dilarikan ke belanda. Penulis cukup berterima kasih kepada pengarang yang begitu bersusah payah menyiapkan penyelidikan tentang natrah sehingga sanggup mencari Natrah di Amerika Syarikat.

Isu Natrah telah memperlihatkan bagaimana begitu mudah undang-undang Syariah dibatalkan oleh undang-undang Sivil apabila perkahwinan Natrah yang sah di sisi undang-undang syariah berjaya dibatalkan oleh Undang-undang Sivil.

Penulis tidak berminat untuk mempersoalkan beberapa kesilapan Che' Aminah dalam isu Natrah sehingga berlakunya apa yang berlaku. Bagi Penulis, apa telah berlaku itu telah berlaku. kalau kesilapan itu dipersoalkan, sampai bila-bila isu ini tidak akan selesai.

Ahmad Ibrahim (Tan Sri Prof. Emeritus) merupakan peguam pertama Che' Aminah bagi menuntut hak penjagaan. Walaupun pada permulaannya, kemenangan berpihak kepada pihak belanda, tetapi akhirnya atas kepetahan hujjah Ahmad Ibrahim, Mahkamah memutuskan hak penjagaan Natrah mesti dikembalikankepada Ibu Angkatnya Che' Aminah.

Selepas mendapat hak penjagaan tersebut, Che' Aminah terus bertindak mengahwinkan Natrah dengan Mansor Adabi (atas suka sama suka bukannya paksaan) di Singapura tanpa pengetahuan Ahmad Ibrahim yang menyebabkan hak penjagaan natrah kembali ke tangan Belanda dengan alasan undang-undang Belanda (Natrah masih warganegara Belanda) tidak membenarkan pernikahan di bawah umur 18 tahun.

Che' Aminah beranggapan bahawa dengan kekuatan undang-undang Syariah yang telah mengsahkan perkahwinan tersebut, Pihak Belanda pasti tidak dapat mengambil kembali Natrah. Tetapi apa yang diharapkan tidak berlaku, bahkan dengan sebab pernikahan inilah, Natrah dirampas kembali dari tangan Che' Aminah dan Mansor Adabi.

Ahmad Ibrahim begitu kecewa dengan apa yang berlaku yang memperlihatkan betapa lemahnya undang-undang syariah di sisi undang sivil. Oleh itu, walaupun peristiwa Natrah telah berlalu dengan kekalahan kepada Islam, Beliau terus memperjuangkan untuk menaiktarafkan undang-undang syariah supaya setanding dengan undang-undang sivil.

kegigihan Ahmad Ibrahim dapat dilihat dengan jelas dengan memperkemaskan undang-undang Islam di Singapura dan Di Malaysia, beliau juga mengasaskan Majlis Ugama Islam Singapura dan menjadi peguam negara Singapura yang pertama bukan dari kalangan Inggeris.

Apabila Ahmad Ibrahim berpindah ke Malaysia pada tahun 1969, beliau begitu banyak mendrafkan undang-undang pentadbiran dan undang-undang keluarga Islam. bahkan beliau juga terlibat dalam draf undang-undang Hudud, Qisas dan Ta'zir di Kelantan pada tahun 1993.

Ahmad Ibrahim antara insan yang bertanggungjawab mendraf artikel 121(A) dalam perlembagaan Perseketuan yang menyebut bahawa setiap keputusan mengenai umat Islam tidak boleh dicabar di Mahkamah Sivil, hanya mahkamah Syariah yang mesti memutuskannya. akhirnya draf ini diluluskan di parlimen pada tahun 1988.

Kegagalan dalam Isu Natrah tidak dibiarkan berlalu dengan begitu sahaja. bahkan kegagalan itu dikaji dan diteliti puncanya agar tidak berlaku di masa akan datang. Inilah antara contoh perjuangan Tan Sri Prof Emeritus Ahmad Ibrahim.

Jangan biarkan kegagalan membelengku diri dan terus menerus berlalu. Tapi jadikan setiap kegagalan sebagai tapak untuk mencapai kejayaan di masa mendatang.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk ISLAM...

04 December 2009

Teguran itu perlu..tapi

Seminar Pemerkasaan Parti baru-baru ini berlangsung dengan begitu harmoni tanpa ada peristiwa diluar jangkaan. walaupun pada permulaannya agak hangat, tapi kehangatan tersebut berakhir dengan semangat ukhuwwah untuk bersama-sama melihat PAS terus cemerlang dengan prinsip dan dasar perjuangan Islam.

Seminar ini juga memperlihatkan kehebatan perwakilan melontarkan pandangan, cadangan dan kritikan membina buat para pimpinan-pimpinan. Ini membuktikan perwakilan bukanlah seorang yang menyucikan pemimpin tetapi menghormati pemimpin.

ketaatan kepada pimpinan diberikan selagi mana pemimpin masih bergerak atas landasan Islam. apabila pemimpin terpesong, teguran akan diberikan terus menerus tanpa mengenal penat dan lelah. inilah dia keistimewaan ahli PAS yang terus istiqamah dengan perjuangan parti.

walaupun hari ini, ramai yang mempersoalkan isu Thiqah dan wala' yang dianggap semakin tidak relevan kononya akan menyekat demokrasi dalam parti. sebenarnya, dakwaan sebegini memperlihatkan ketidakfahaman maksud thiqah dan wala' itu sendiri. thiqah dan wala' bukan bermakna menyucikan pimpinan dari sebarang kesalahan dan kritikan. thiqah dan wala' ialah memberi kepercayaan kepada pimpinan untuk merancang dan bertindak demi kepentingan parti yang juga merupakan kepentingan Islam.

kritikan dan pandangan boleh diberikan melalui saluran dan cara yang betul. kalau ahli PAS ingin membetulkan kepimpinan. kritikan yang diberikan mestilah berfakta dan membina. bukannya kritikan yang penuh dengan emosi, membabi buta dan tanpa fakta.

selain daripada saluran parti melalui mesyuarat Agung dan muktamar. penulis berpandangan ahli PAS boleh menggunakan sepenuhnya blog-blog pimpinan yang ada untuk menegur dan memberi cadangan secara terus kepada pimpinan untuk dibawa kepada perbincangan. tetapi dengan syarat, pemberi komen mesti bertanggungjawab atas komentar tersebut. lebih-lebih lagi sekarang, Presiden PAS juga telah membuka akaun Facebook. jadi gunakan peluang yang ada untuk bertanya, memohon penjelasan, memberi pandangan dan sebagainya.

isu wala' bukannya isu dalam gerakan Islam sahaja. bahkan mana-mana organisasi yang ada pun mewajibkan ahli memberi kepatuhan kepada pimpinan untuk merancang dan bertindak. kalau isu ini diketepikan begitu sahaja. mana-mana organisasipun pasti hancur. jadi jangan pandang perkataan wala' itu menggerunkan. pandang wala' itu sebagai mekanisma pengukuhan organisasi.

Perkembangan blog pada awalnya begitu menguntungkan politik pembangkan dengan tersebarnya pelbagai maklumat tentang kebokrokan kerajaan Barisan Nasional (BN). lebih-lebih media arus perdana terlampau menganaktirikan berita yang merugikan pemerintah.

Pun begitu, blog juga boleh menimbulkan kenegatifan kepada PAS apabila digunakan untuk memenangkan ahli politik tertentu, menjatuhkan ahli politik tertentu, menaikkan ahli politik tertentu dan sebagainya. ini semua kesan daripada terlampau suka berpolitik dalam PAS.

Penulis selalu sebutkan bahawa PAS ialah parti politik. Dalam masa yang sama PAS juga ialah Gerakan Dakwah dan Tarbiyyah. Dalam politik PAS, ada dakwah dan Tarbiyyah, Dalam Dakwah ada Politik dan tarbiyyah, Dalam Tarbiyyah ada politik dan dakwah.

Apa guna segala kecanggihan kalau digunakan untuk merosakkan ukhuwwah. Apa guna kecerdikan kalau digunakan untuk mencantas. Apa guna kewibawaan kalau digunakan untuk mengangkat bakul sendiri.

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk ISLAM...